mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jadilah pemimpin kepada diri sendiri

KONSEP pemikiran ‘Reset Minda’ menekankan, betapa dalam hidup ini perlu menjaga atau mengawal akal dan hati. Hal ini adalah kerana hati akan berkait dengan emosi dan akal pula berkait dengan fikiran. Antara akal dengan hati, kedua-duanya saling berkait, yang bermaksud emosi menentukan keadaan fizikal dan fizikal pula menentukan keadaan emosi.

Contohnya jika emosi kita baik/positif (bahagia, berbaik sangka dengan orang, suka bantu tolong orang, mempermudah urusan orang dan seumpamanya) fizikal kita akan turut baik/positif (sihat, cergas, pintar, cekap, bertenaga dan seumpamanya). Demikianlah sebaliknya, jika hati kita buruk/negatif, emosi akan menjadi buruk/negatif dan akhirnya memberikan kesan kepada fizikal/tubuh badan kita.

Analoginya, ambil sebatang besi yang berkarat dan genggam besi itu sekuat-kuatnya. Tentu tangan kita berasa sakit! Adakah kita akan terus menggenggam besi berkarat itu sampai bila-bila atau kita segera melepaskannya? Dalam situasi ini adalah lebih baik jika kita membalingnya sejauh mungkin dari diri kita, agar besi itu tidak mencederakan kita lagi dan mencederakan orang sekeliling kita, terutama orang yang kita sayangi.

Begitulah dalam keadaan menempuh kehidupan ini, sesuatu yang menyakitkan hati kita, yang akan memberikan kesan negatif kepada emosi dan memeningkan akal kita mestilah kita hindarkan jauh-jauh dan sesegera mungkin. Hal ini adalah kerana apa-apa yang kita fikir dan percaya akan menjadi tindakan dan hasil kehidupan (dari segi bahagia, tenang, sihat dan kewangan kita) yang akhirnya memberikan kesan kepada fizikal.

Jika kita diumpat atau dihina orang, adakah kita akan marah dan menyimpan dendam? Patutkah kita menyimpan perasaan negatif itu hingga berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun? Sedangkan orang yang mengumpat, mengata, dan mengutuk kita itu, mungkin hanya menggunakan masanya lima minit sahaja untuk memuaskan hati negatifnya dan melunaskan tabiat negatifnya itu.

Akhirnya akibat memendam rasa, kita mengalami tekanan perasaan/stres dan mudah diserang pelbagai jenis penyakit. Jangan menyalahi nasib diri, berasa rendah diri, tidak yakin kepada kemampuan dan kebolehan diri sendiri. Ingatlah bahawa kita hamba Allah, kita sama sahaja ada lebih dan kurangnya. “Kelebihan kita melengkapkan kekurangan orang, dan kekurangan kita dilengkapkan oleh kelebihan orang lain." Yang hebat hanyalah Allah SWT.

Tip hidup bahagia

Tip untuk menjadikan kehidupan ini bahagia, ceria dan bermakna. Pertama, belajar untuk tenang dan rehat-rehatkan minda. Kedua, masuk ke dalam bilik dan duduk bersendirian, untuk renungkan diri dan bermuhasabah diri atau melihat ke dalam diri kita. Cari di mana kekurangan diri kita yang perlu diperbaiki dan di mana kebaikan yang perlu dipertingkatkan. Ingat, orang yang tidak suka hidup bersendirian bermakna dirinya berada dalam kategori orang yang tidak menyayangi dirinya. Orang yang tidak sayang akan dirinya ialah orang yang tidak sayang Allah dan tidak bersyukur kepada-Nya.

Ketiga, gunakan kaedah ‘senaman cermin minda’. Gunakan otak atau minda untuk membuat keputusan hidup kita. Bayangkan apa yang kita hendak jadi atau fokuskan pada masa akan datang, dengan tengok kekuatan dan kebolehan kita (refleksi diri). Gambaran dalam fikiran kita itulah kehidupan kita.

Keempat, cakap yang baik-baik sahaja dan fikir yang baik-baik sahaja tentang diri kita. Kerana kata-kata kita adalah doa dan tindakan Allah berdasarkan apa yang ada dalam fikiran kita. Jika kita bersangka baik maka baiklah jadinya, sebaliknya jika bersangka buruk maka buruklah jadinya.

Semoga sifat positif menjadi amalan kita dan niat untuk bahagia dan membahagiakan sentiasa ada. Ingatlah yang paling berharga dalam hidup ini ada dua. Pertama, masa. Iaitu masa lalu menjadi sempadan kehidupan kita dan masa hadapan menjadi perjuangan hidup kita. Masa yang berlalu tidak boleh ditebus, dibeli atau diganti, maka itu hargailah setiap detik waktu dengan perkara yang berharga. Kurangkan bercakap tetapi lebihkan tindakan yang cekap. Kata Profesor Hamka, “Orang yang bijaksana itu dikenali daripada ringkasnya kata-kata dan indahnya pergaulan".

Janganlah jadi orang yang hidup dalam kesedaran keegoan yang tinggi dan sangat menjaga reputasi berdasarkan tanggapan orang lain atau terlalu memikir apa yang orang lain kata. Tetapi jadilah, manusia yang kesedaran ketuhanannya sangat tinggi yang hanya fikirkan apakah pandangan Allah. Jadilah orang yang menjaga hubungannya dengan Allah dan sesama manusia serta bebas daripada penghargaan atau cemuhan manusia. Jadilah orang yang berilmu, yang menggunakan ilmunya untuk memberi ilmu yang bermanfaat kepada orang lain. Dan jadilah orang kaya yang menggunakan harta kekayaannya pada jalan Allah.

Kitalah yang memimpin diri kita, sama ada untuk mencorakkan hidup kita dengan warna-warni ceria atau warna-warni suram dalam sepanjang kehidupan kita. Bagaimana kita melihat dunia ini, ibarat kita memakai cermin mata. Jika cermin mata pilihan kita berwarna hitam, kita akan melihat dunia ini dengan warna kehitaman. Jika memakai cermin mata berwarna coklat, dunia yang kita pandang akan berwarna coklat.

Andainya kita memilih cermin mata berkaca cerah, akan cerahlah dunia yang kita pandang. Sesungguhnya tangan kitalah yang menentukan ‘cermin mata kehidupan’ pilihan kita. Maksudnya, kita yang memimpin diri kita jalan yang menjadi laluan hidup kita. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD ialah Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili dan Felo Dakwah Yadim. Utusan Malaysia Rencana 20140209

Tags: pemimpin
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments