mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ikhlas laksanakan tugasan

Kadangkala penulis terdengar juga rungutan seorang dua rakan yang bergelar pensyarah bahawa tugasan disandang sebagai ahli akademik begitu memenatkan.

Bukan saja penat de­ngan bebanan kerja yang bertimpa-timpa, malah terpaksa memenuhi piawaian ditetapkan di institusi mereka bertugas.

Antara rungutan yang sering kedengaran ialah timbunan kerja pentadbiran yang tidak pernah habis, mesyuarat mahupun kursus berpanjangan serta kelelahan melayan kerenah siswa.




PELAKSANAAN tanggungjawab pensyarah adalah tinggi untuk melahirkan generasi baru yang bakal meneruskan kesinambungan masa depan bangsa dan negara. - Gambar hiasan


Biarpun pada tanggapan penulis pokok bicara yang menjadi bebelan itu normal, mungkin tidak bagi segelintir pihak.

Justeru, penulis terta­nya-tanya adakah benar kerjaya sebagai pensyarah atau ahli akademik ini sentiasa penuh tekanan?


Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, panda­ngan segelintir pihak yang menganggap pensyarah terlalu terbeban dengan komitmen dan tanggung­jawab di universiti kurang tepat.

Beliau berkata, setiap pekerjaan tanpa mengira tahap pasti berdepan masalah, cuma terpulang kepada diri sendiri bagaimana mahu menyelesaikannya.

“Tanggapan segelintir pihak yang suka mengait­kan isu bebanan tugas boleh dikategorikan sebagai tidak matang.

“Dalam mana-mana pelaksanaan tugasan, masalah atau tekanan adalah lumrah dan kita jangan mudah melatah kerana perkara kecil.

“Kerana ia boleh menjejaskan tumpuan atau kredibiliti pekerjaan yang sedang dilaksanakan. Itu tidak profesional nama­nya,” katanya.

Beliau berkata, tidak kira pensyarah atau apa jua pekerjaan, tekanan perlu dihadapi dengan cara berhemah serta dicorakkan menjadi ‘satu budaya kerja yang me­nyeronokkan’.



ANGGAPLAH tugasan yang dilaksanakan sebagai komitmen terhadap tanggungjawab menyeluruh dalam dunia pekerjaan bagi mengelakkan diri terus terbeban dengan tekanan. - Gambar hiasan
“Bunyi macam kelakar atau mustahil sebab jika tertekan, mana mungkin boleh gembira seronok.

“Tapi, bukankah kita juga yang bertanggungjawab mencorakkan ‘warna-warni’ emosi sendiri, jadi mengapa tidak boleh melakukannya.

“Pensyarah atau apa jua pekerjaan, jadikan budaya kerja sebagai satu tanggung­jawab yang perlu dipikul dengan ikhlas,” katanya mengakui tugas pensyarah boleh dilaksanakan dengan baik andai kata tidak dibebani masalah persekitaran.

“Saya setuju jika dikatakan faktor sampingan yang membuatkan pensyarah rasa terbeban.

“Jika mereka hanya fokus pada tugasan hakiki, masalah tertekan, lambakan kerja dan sebagainya boleh diatasi.

“Semua ini menuntut perhatian atau tindakan bukan sedikit, malah membuang banyak masa, sekali gus menimbulkan kemungkinan lain pula,” katanya.

Beliau juga menolak tanggapan bebanan pensyarah terletak pada tanggungjawab profesional seperti keperluan menghasilkan jurnal, penyelidikan dan sebagainya.

Menurutnya, tanggung­jawab pelaksanaan aspek itu sebenarnya bukan bebanan tapi ia selari dengan taraf kelayakan dan profesional dimiliki.

“Pensyarah adalah ahli akademik yang sudah mencapai satu tahap pendidikan tertinggi. Mengajar pula di institusi pengajian tinggi yang bertanggung­jawab melahirkan golongan cerdik pandai.

“Jika sudah berada pada tahap itu, tanggungjawab yang dipikul juga pastinya semakin berat.

“Tidak perlu mengeluh kerana bebanan itu seiring dengan status ilmu dan kelayakan menjadi seorang ahli akademik,” katanya.

Beliau berkata, sebagai ahli akademik bertaraf profesional, pensyarah perlu meletakkan komitmen teguh untuk menghasilkan suasana persekitaran ilmu yang kondusif.



BEBANAN tugas pensyarah dalam aspek tertentu adalah selari dengan kelayakan dan kepakaran dimiliki. - Gambar hiasan


“Ini kerana persekitaran kondusif boleh membantu pensyarah lebih fokus dalam melaksanakan tugasan.

“Kepincangan dalam aspek itu juga boleh memberi kesan terhadap proses pembelajaran dan pengajaran kerana perkongsian ilmu tidak berlangsung dengan sempurna.

“Sebenarnya, kebijaksanaan pensyarah juga penting untuk mewujudkan persekitaran tugasan yang menyeronokkan. Apabila (situasi itu) wujud, pensyarah tidak mudah tertekan,” katanya.

Beliau berkata, adalah normal pensyarah ‘terbeban’ dengan komitmen yang sering diminta pihak berkaitan.

Bagaimanapun, jangan jadikan itu alasan untuk mengurangkan produktiviti diri tapi menganggap ia sebagai satu kepercayaan.

“Jika ada pensyarah yang berkeluh kesah mengatakan mereka terbeban dengan permintaan universiti misalnya, saya anggap itu satu kerugian.

“Memang sukar mahu melaksanakan banyak permintaan mahupun arahan tapi anggaplah ia sebagai satu proses untuk memantap dan mematangkan lagi ilmu sedia ada.

“Bergelar pensyarah juga tidak semestinya kita tahu banyak aspek seperti pengurusan misalnya. Jadi anggap komitmen itu sebagai wadah menimba ilmu,” katanya.

Ruhaiza Rusmin myMetro Bestari 2014/02/10

Tags: cikgu, ikhlas, pensyarah
Subscribe

  • Kafir tanpa sedar

    DIALOG “berhenti menyanyi, nanti hujan”, begitu juga seperti “awak dah solat?” dan dijawab “sudah semalam”…

  • Jangan terlalu ghairah hendak bergurau

    LANGSUNG tidak salah untuk bergurau. Namun gurauan itu perlu ada hadnya, jangan melampau hingga sengaja mereka-reka sesuatu yang langsung tidak…

  • Had adab bergurau, elak mengguris perasaan

    Kehidupan zaman ini memaksa manusia mengejar masa serta menyelinap ke segenap ruang yang ada bagi memenuhi tuntutan rohani dan material menyebabkan…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments