mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mengembalikan kegemilangan Islam

“TERLEBIH dahulu saya memanjatkan seluruh kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat bersama-sama sidang hadirin sekalian di majlis Usrah Perdana Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) kali ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur yang memberi kepercayaan kepada saya sebagai salah seorang pembentang.

“Walaupun saya sedar dengan kemampuan yang terlalu terbatas dan ilmu yang begitu dangkal, saya bukanlah orang yang terbaik bercakap di hadapan tuan/puan sekalian, namun saya cuba untuk berkongsi sedikit pengetahuan dan pengalaman saya bersama tuan/puan sekalian.

“Tajuk yang diberikan kepada saya ialah Mengembalikan Kegemilangan Islam: Peranan siapa? Setelah saya meneliti persoalan ini saya dapati saya mempunyai dua jawapan untuknya. Jawapan yang pendek dan jawapan yang panjang. Jawapan pendek saya untuk persoalan ini adalah peranan mengembalikan kegemilangan Islam ini adalah peranan semua orang Islam. Dengan menjawab persoalan tersebut selesailah tugas saya di dalam majlis berkenaan.

“Namun jawapan panjang saya pula ialah sebelum kita melihat kepada peranan siapa, adalah lebih baik kita memperhalusi ciri-ciri Muslim yang cemerlang yang dapat mengembalikan kegemilangan Islam ini."

Terdapat 10 ciri Muslim unggul yang dibahaskan oleh para ulama, khususnya Hassan Al Banna. Ciri ciri tersebut ialah:

1 Salimul akidah - akidah yang bersih merupakan seuatu yang mesti sebati di dalam jiwa Muslim. Dengan akidah yang bersih seorang Muslim dapat menghindarkan dirinya daripadamemperhambakan diri kepada makhluk kepada mengubudiahkan dirinya kepada Penciptanya. Memiliki akidah yang bersih amat penting sebagai asas pembinaan jati diri seseorang Muslim.

2 Sahihul ibadah - ibadah yang benar juga amatlah penting kerana ia merupakan perintah Allah dan RasulNya. Malah terdapat pelbagai hikmah dan kelebihan yang ada di dalam ibadah yang masih belum dapat dirungkaikan oleh sains dan teknologi.

3 Matinul khuluq - akhlak yang mantap. Sifat ini perlu disemai di dalam setiap diri Muslim dalam hubungan antara manusia ataupun dengan makhluk yang lain.

4 Qawiyul Jismi - kekuatan jasmani mengkehendaki seorang Muslim melaksanakan ajaran Islam secara optimum dengan kekuatan fizikal. Dengan kekuatan fizikal pelbagai perkara dapat dilakukan oleh orang Islam dan Rasulullah juga lebih menyintai seorang mukmin yang kuat berbanding mukmin yang lemah.

5 Muthahaqol fikri - pintar dalam berfikir merupakan salah satu sifat Rasulullah SAW. Sifat fathonah Rasulullah SAW serta pelbagai ayat al-Quran yang merangsang minda berfikir merupakan manifestasi kepentingan kepada kepintaran berfikir.

6 Muhajadatun linafsihi - berjuang melawan hawa nafsu. Hawa nafsu sebenarnya bukanlah suatu perkara yang buruk. Ia membezakan manusia dengan malaikat. Jika manusia boleh mengawal hawa nafsunya ke arah kebaikan maka hierarkinya akan menjadi lebih tinggi daripada malaikat.

7 Manazim fi syuunihi - teratur di dalam urusannya. Berurusan dengan teratur dan sistematik ditekankan di dalam al-Quran dan sunnah. Muamalah yang dilaksanakan dengan baik amatlah dipentingkan dan bermanfaat bagi semua. Walau bagaimana bagus pun sesuatu tindakan itu, jika ia tidak dibuat dengan teratur, ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang baik. Malah kebatilan yang terancang akan dapat mematahkan kebenaran yang tidak dirancang rapi.

8 Harithun ala waqtihi - mengurus dan menghargai masa. Allah SWT bersumpah di dalam al-Quran dengan menggunakan nama waktu seperti alfajr, addhuha, al asr, allail yang menunjukkan peri pentingnya menguruskan waktu dengan baik. Malah solat yang ditetapkan pada waktu tertentu juga mestilah diterjemahkan dalam kehidupan seharian kita dengan menepati waktu.

9 Qodirun alal kasbi - memiliki kemampuan berusaha atau berdikari. Ciri ini amat penting untuk kita tidak bergantung pada orang lain dan bebas daripada kongkongan pihak tertentu. Berdikari daripada aspek ekonomi juga penting kerana kefakiran itu amat hampir dengan kekufuran.

10 Naafi’un ligahirihi - bermanfaat kepada orang lain. Ciri terakhir ini merupakan tuntutan kepada orang Islam. Orang Islam tidak boleh mementingkan dirinya sahaja tetapi hendaklah memberi manfaat kepada orang lain dalam apa jua perkara.


ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my Utusan Malaysia Bicara Agama 20140213
Tags: ciri, islam
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments