mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berhukum dengan Nabi SAW

ARTIKEL kali ini masih lagi berkaitan dengan berhukum kepada Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan kerana petunjuk Nabawi adalah sebaik-baik petunjuk. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan juga keluarga baginda.

Antara syarat mengzahirkan cinta kepada Allah SWT hendaklah mengikut Baginda SAW. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT y ang bermaksud: Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya. (al-Nisa’: 65)

Sayyid Qutub berkata: “Di sini sekali lagi kita dapati, diri kita berada di hadapan syarat keimanan dan batas keIslaman yang dijelaskan oleh Allah SWT sendiri yang bersumpah dengan zat-Nya dan selepas penjelasan ini tiada lagi ruang bagi sesiapa untuk memberi sesuatu pendapat atau takwilan dalam menentukan syarat keimanan dan batas keIslaman, kecuali pendapat yang mangatakan bahawa tujuan ini adalah bergantung dengan satu azam yang tertentu sahaja dan terbatas satu kumpulan manusia sahaja.

Inilah pendapat mereka yang tidak memahami sedikit pun tentang Islam dan tidak memahami sedikit pun tentang pengungkapan al-Quran, sedangkan hakikat yang diterangkan oleh ayat ini adalah salah satu daripada hakikat-hakikat kulli/semesta Islam.

Ia diungkapkan dalam bentuk sumpah yang kuat dan bebas daripada segala ikatan dan di sana tiada ruang untuk memberi tanggapan yang salah bahawa tujuan berhakimkan kepada Rasulullah SAW ialah berhakimkan kepada peribadi beliau sendiri.

Golongan murtad

Malah tujuannya yang sebenar ialah berhakimkan kepada syariatnya dan sunnahnya. Jika tidak, maka syariat Allah SWT dan sunnah Rasul-Nya tiada lagi tempat selepas kewafatan Nabi SAW. Pendapat yang seperti ini pernah dikeluarkan oleh golongan murtad yang paling degil di zaman Khalifah Abu Bakar r.a.

Beliau telah memerangi mereka dengan peperangan yang dilancarkan ke atas orang-orang yang murtad, malah beliau telah memerangi mereka kerana perkara yang jauh lebih kecil daripada itu lagi, iaitu semata-mata kerana mereka enggan taat kepada Allah dan Rasul-Nya dalam hukum zakat dan tidak mahu menerima hukum zakat yang telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW selepas kewafatan baginda.

Dan andainya cukup untuk membuktikan ‘keIslaman’ apabila ramai orang Islam berhakimkan kepada syariat Allah SWT dan hukum-hukum Rasul-Nya, tetapi ia tidak cukup untuk membuktikan ‘keimanan’ selama tidak disertai dengan kerelaan dan penerimaan hati yang ikhlas dan penyerahan dengan penuh keyakinan.

Inilah keIslaman dan keimanan yang sebenar. Oleh itu, setiap Muslim hendaklah melihat di mana kedudukan dirinya daripada segi Islam dan di mana kedudukan dirinya daripada sudut iman sebelum dia membuat dakwaan tentang keagamaan Islam dan keimanan.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Bicara Agama 20140214
Tags: islam, murtad, rasulullah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments