mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Yang baik untuk wanita, mungkin tidak normal untuk lelaki

MEMAKAI bengkung atau berbarut adalah amalan wanita dalam pantang. Tidak kiralah bersalin secara normal atau ‘menerusi tingkap.’

Bedung pula ialah perbuatan membalut tubuh bayi dengan kain atau lampin selepas dilahirkan. Bayi juga berbengkung bagi mengelakkan perut kembung.

Kitab perbidanan dahulukala dan moden mengiktiraf amalan berbengkung, berbarut atau berbedung ini banyak kebaikan.

Pemakaiannya berkait rapat dengan kesihatan wanita pasca bersalin dan bayi yang dilahirkan. Wanita dalam pantang yang rajin berbarut dikatakan dapat mengelakkan perut dimasuki angin, buncit selain berupaya mengekalkan bentuk badan asal.

Amalan ini juga terbukti baik untuk mengembalikan kesegaran badan, mempercepatkan proses pengecutan rahim serta mengetatkan otot-otot yang lemah kerana bersalin.

Bagi yang menyusukan bayi pula, berbengkung dapat menyediakan posisi penyusuan yang betul.

Berbedung pula boleh mengelakkan bayi daripada kesejukan, tidur lebih lena, selesa dan tidak mudah terkejut atau tersentak dengan bunyi bising di sekelilingnya.

Sesuai dengan perubahan zaman, amalan turun- temurun ini turut mengalami proses transformasi.

Daripada ‘aksesori’ semasa berpantang, bengkung menjadi sejenis pakaian dalam yang dipakai harian.

Bagi wanita yang prihatin dengan kecantikan dan penampilan diri terutama di bahagian perut dan pinggul, tidak kira berumur atau masih muda, bengkung atau korset menjadi ‘pakaian dalam’ pilihan untuk mengekalkan bentuk kedua-dua bahagian badan itu.

Wanita bersalin biasanya memakainya selama 44 hari selama tempoh berpantang. Wanita yang menjadikan bengkung sebagai aksesori pula akan menggunakannya selagi ada ‘semangat’.

Bila ‘musim semangat’ berganti dengan putus asa, jangka hayat pemakaian akan tamat. Bengkung akan disimpan di dalam almari.

Bukan sesuatu yang mengejutkan, lelaki pun ada yang berbengkung. Tujuannya tetap sama seperti wanita dalam pantang. Mahu mengempiskan perut. Aksesori ini dijadikan jalan pintas bagi lelaki gendut yang mahu membuang boyot di perut. Bengkung juga salah satu cara mengekang saiz pinggang daripada bertambah ukur lilit. Walaupun bukan semua, kategori lelaki yang memilih barut sebagai alat mengempiskan perut biasanya malas beriadah dan bersenam.

Keghairahan lelaki memakai bengkung bagi menghilangkan lemak di bahagian perut dan punggung kebanyakannya tidak bertahan lama. Rimas, kesan sampingan kepada kulit perut atau saiz bengkung tidak berupaya menampung tumbesar perut menjadi antara puncanya. Kalau dapat bertahan sebulan dua pun, sudah dikira cukup baik!

Satu perkara yang perlu diakui, amalan berbengkung yang sangat baik bagi wanita belum tentu elok untuk lelaki.

Laporan dari London menceritakan kesan buruk bengkung atau korset kepada pemakai lelaki.

Bengkung yang sesuai dipakai ketat oleh kaum wanita rupanya tidak sesuai bagi lelaki. Perbuatan memakai pakai ketat menurut Pakar Perunding Pembedahan Am dan Usus Besar London Clinic, Jonathan Wilson boleh membawa ‘bencana’ kepada badan.

Beliau menyenaraikan beberapa risiko kesihatan yang boleh berlaku jika bengkung dipakai ketat setiap hari. Antaranya darah beku, masalah belakang dan kanser.

‘Pakaian dalam’ ini didapati memberi tekanan kepada organ termasuk perut. Sebarang tekanan ke atas perut menurutnya boleh menyebabkan asid di dalam perut ditolak ke atas iaitu ke dalam esofagus. Maka berlakulah tanda-tanda awal seperti pedih hulu hati, memuntahkan asid dan disfagia atau kesukaran untuk menelan.

Bengkung untuk lelaki adalah antara berpuluh-puluh produk pakaian dalam, dalam pasaran sekarang yang dicanang sebagai ‘penyelesaian’ kepada masalah berat badan dan postur badan yang tidak cantik.

Dengan hanya memakainya bagi satu tempoh tertentu, pengguna boleh mendapat pulangan bentuk perut dan berat badan yang ‘menakjubkan’ kononnya.

Samalah seperti bengkung untuk lelaki. Memakai bengkung bukanlah satu usaha yang bijak bagi lelaki untuk mendapatkan perut yang cantik.

Jika ada yang berangan-angan untuk memiliki perut secantik ‘papan basuhan’ (wash board abs) atau six-pack-abs atau ‘perut berketul-ketul,’ bengkung bukan penyelesaiannya.

Kenapa memakai aksesori yang ‘menyeksakan’ sedangkan masih ada jalan lebih realistik untuk memperoleh bentuk badan menakjubkan.

Mulai sekarang, rajin-rajinlah bersenam. Lakukan secara konsisten, teratur serta mengambil diet yang betul. Paling penting kena ada iltizam atau keazaman yang berterusan.



Rozaman Ismail Utusan Malaysia Rencana 20140215
Tags: bengkung
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments