mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tiga hari penting untuk Allah 'CEO' ku

SEBAGAI manusia kita perlu berusaha untuk mendorong diri ke arah kebaikan dan menjauhkan diri daripada kemungkaran dengan cara menjadi pemimpin kepada diri sendiri. Gunakan 'mata akal' dan 'mata hati' untuk menyaring pilihan keputusan kehidupan kita. Kita boleh merancang kehidupan yang kita idam-idamkan, tetapi yang menentukan perancangan dan usaha kita itu berjaya atau tidak, hanyalah Allah SWT.


Dalam kehidupan ini, Yang Paling Berkuasa ialah Allah SWT, kerana Dia yang mencipta semua makhluk dan kejadian di seluruh alam ini.

Kerana itulah nasib hidup dan rezeki kita, bukan terletak di tangan kita yang mentadbirnya. Tetapi, takdir hidup kita dalam genggaman Allah SWT yang menjadi 'Chief Executive Officer (CEO) atau Ketua Pegawai Eksekutif' seluruh kehidupan kita di dunia dan di akhirat.

Tiada yang lebih berkuasa selain Allah dan binalah keyakinan yang mutlak kepada-Nya. Hanya kepada Allah tempat kita bergantung harap, bukan kepada manusia yang sama taraf dengan kita, tempat kita meratap memohon pertolongan.

Bagi memahami arah mana yang perlu kita pimpin diri kita dalam menjalani kehidupan ini, kita perlu mengetahui apakah tugas kita, hingga Allah menjadikan kita di bumi-Nya ini. Tugas pertama kita dijadikan oleh Allah, adalah untuk menjadi hamba-Nya. Sebagai hamba, kita sepatutnya tidak boleh menyoal dan membantah apabila disuruh. Sebaliknya kita sentiasa mentaati arahan dan melaksanakan segala perintah dengan ikhlas, serta menjaga akhlak ketika berhadapan dengan Allah, 'CEO' kita.

Tugas kedua, kita dijadikan oleh Allah untuk menjadi khalifah-Nya yang menjalankan sesuatu aktiviti untuk kehidupan. Sebagai khalifah Allah yang mengharapkan keberkatan hidup, kita hanya menjalani kehidupan yang positif dan direstui sahaja. Tugas ketiga, kita dijadikan oleh Allah untuk melakukan sesuatu mengikut hukum dan perintah-Nya.

Maknanya segala-galanya yang hendak kita lakukan, mestilah hanya untuk Allah. Kita tahu dan sedar bahawa kita dilahirkan bukan semata-mata untuk menjalani kehidupan duniawi, tetapi adalah untuk beribadah kepada Allah sebagai bukti ketaatan kita kepada Allah, yang menjadi 'CEO' kehidupan kita. Oleh sebab itu ada tiga hari yang penting dalam hidup kita sebagai manusia. Pertama, hari kita dilahirkan. Kedua, hari kita tahu mengapa kita dilahirkan. Ketiga, hari di mana kita menyemak kembali kehidupan kita di dunia.

Oleh sebab itu untuk mendapat keberkatan ketiga-tiga hari penting dalam hidup kita itu, kita perlu memantapkan akidah dahulu dengan memahami 20 sifat Allah. Seseorang itu akan mantap akidahnya, jika ilmu tauhidnya mantap dan betul. Hal ini adalah kerana, barulah kita tahu dan memahami mengapa kita lakukan apa yang wajib kita lakukan, dan sebaliknya mengapa kita mesti tinggalkan larangan-Nya.

Selepas mantap ketauhidan kita kepada Allah, baru kita laksanakan ibadah. Selepas itu jagalah akhlak kita, kerana akhlak menentukan cara kita berinteraksi dengan Allah dan manusia. Sebab itu orang yang tidak terbangun tiga perkara ini (akidah, ibadah dan akhlak) akan mendapat senario seperti berikut:

1 Kita percaya kepada Allah, tetapi kita tidak melakukan suruhan-Nya. Contoh tidak bersolat.

2 Kita percaya kepada Allah, kita mengerjakan segala suruhan Allah, tetapi pada masa yang sama kita membuat perkara yang menunjukkan kita meragui/tidak mempercayai Allah. Iaitu mensyirikkan Allah dengan mempercayai kuasa yang lain selain Allah. Contoh mempercayai hantu/syaitan/saka yang menyebabkan kita sakit.

3 Kita percaya hanya kepada Allah, tidak menyekutukannya, dan kerana itu kita melaksanakan segala perintah-Nya, baik yang wajib mahupun yang sunat.

Tetapi, sayangnya kita tidak berakhlak pula. Kita menjadi ujub, berasa diri hebat beribadah berbanding orang lain, masih suka mengata orang dan sikap seumpamanya. Apabila kita berasa kita lebih baik daripada orang lain, bermulalah kehancuran dalam hidup kita! Ingatlah jaga niat hati kita, ('celik mata hati' dan 'celik mata akal').

Seorang ulama pernah mengatakan bahawa, setiap hari dia tidak akan keluar dari rumahnya, selagi tidak membuat dua perkara kepada dirinya. Pertama, selagi dia belum boleh mengatakan semua orang lebih baik, lebih bertakwa, dan lebih beriman daripadanya. Kedua, selagi dia belum boleh berkata, dia hanya bergantung kepada Allah SWT. Hal ini adalah satu contoh teladan yang amat baik untuk kita renungi.



DR. MUHAYA MOHAMAD Utusan Malaysia Rencana 20140216
Tags: allah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments