mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Memuliakan jiran sifat golongan beriman

Persaudaraan dalam Islam dibina atas dasar iman kepada Allah SWT. Mereka yang memelihara hubungan persaudaraan sesama Muslim diberi ganjaran oleh Allah SWT serta dipelihara urusan di dunia dan akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang Muslim itu adalah saudara kepada Muslim yang lain. Maka janganlah menzaliminya dan juga janganlah membiarkan dia dizalimi. Sesiapa yang menunaikan kehendak saudaranya maka sesungguhnya Allah akan menunaikan kehendaknya. Sesiapa yang membantu meringankan penderitaan saudaranya maka Allah SWT meringankan penderitaannya. Sesiapa yang menutup (keaiban) seorang Muslim maka Allah akan menutup keaibannya di akhirat kelak.” (Riwayat al-Bukhari)


Tiga proses persaudaraan

Persaudaraan dalam Islam perlu melalui tiga proses utama, pertama ialah al-Ta’aruf iaitu proses perkenalan.

Pada peringkat ini akan berlaku hubungan suai kenal. Setelah beberapa lama proses al-Ta’aruf berlaku, akan sampai kepada proses kedua iaitu al-Tafahum.

Al-Tafahum ialah proses untuk saling memahami dan pada waktu inilah kita akan mengenali rakan dengan lebih mendalam. Kita akan lebih faham peribadinya termasuk perkara disukai mahupun yang dibencinya.

Selepas itu terbentuk pula proses ketiga, al-Takaful atau al-Takamul iaitu lengkap melengkapi antara sesama muslim. Apabila sampai ke peringkat ini seorang Muslim akan cuba membantu dan melengkapi kehidupan sahabat lain.

Malah hubungan itu kemungkinan akan sampai kepada peringkat al-Ithar iaitu mendahulukan saudara berbanding dirinya sendiri.

Persaudaraan paling utama yang perlu dititikberatkan ialah hubungan silaturahim sesama ahli keluarga yang ada hubungan kerabat khususnya ibu bapa. Begitulah juga menjaga hubungan dengan saudara mara yang lain.

Amat menyedihkan apabila ada dalam kalangan kita yang tidak bertegur sapa sesama ahli keluarga malah sanggup memutuskan silaturahim yang terjalin sejak sekian lama. Sesungguhnya hubungan silaturahim cukup besar dan utama di sisi Allah SWT.

Diriwayatkan oleh Aishah, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hubungan silaturahim itu akan tergantung dengan Arash. Sesiapa yang menyambungkan aku maka Allah akan turut menyambungkan ia.” (Hadis Muttafaq ‘Alaih)

Mereka yang menjaga kukuh ikatan silaturahim, maka Allah SWT akan menjaga dan merahmati hidupnya di dunia sehinggalah bertemu-Nya, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan usianya bersama nikmat itu.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang ingin supaya Allah membuka pintu rezeki baginya dan juga memanjangkan umurnya maka kukuhkanlah ikatan silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari) Di samping itu, kita juga diwajibkan menjaga hubungan persaudaraan dengan mereka yang hampir iaitu jiran. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah SAW telah meletakkan kecintaan kepada jiran sebagai salah satu daripada ciri mereka yang beriman kepada Allah SWT.

Memuliakan jiran

Rasulullah SAW menyatakan, memuliakan jiran tetangga terdiri daripada sifat orang yang beriman. Namun, amat menyedihkan apabila kemesraan sesama jiran tetangga dipandang remeh masyarakat terutama di kawasan bandar.

Malah, ada yang tidak selesa dengan kemesraan jiran walaupun hanya untuk bertegur sapa. Ingatlah, jiran adalah insan paling hampir dengan kita. Tiada manusia lain yang lebih pantas untuk membantu di kala susah melainkan jiran di sebelah rumah kita.

Maka muliakanlah jiran dan jangan sekali-kali menyakiti hatinya kerana menyakiti hati jiran termasuk daripada dosa besar di sisi Allah SWT.


Muhammad Asyraf Berita Harian Agama 18/02/2014
Tags: iman, jiran, mulia
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments