mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Fenomena lantang berfatwa

SEJAK akhir-akhir ini tampak satu gejala yang melanda segelintir kalangan agamawan masyarakat Islam iaitu sikap lantang dan pantas berfatwa. Setiap kali timbul isu yang melibatkan hukum-hakam agama, lantas menjelmalah ramai ‘mujtahid’ dan ‘mufti segera’ yang pantas mengutarakan pendapat mereka dengan berhukum halal dan haram. Gejala lantang berfatwa ini nampak lebih parah apabila pandangan-pandangan ini tersebar dengan pantas melalui media-media yang pelbagai terutama laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Adakalanya, ‘fatwa-fatwa’ mereka mendahului fatwa dan keputusan ahli-ahli fatwa yang berautoriti.

Pernah satu ketika timbul isu yang agak menggemparkan negara, yang ada hubung kait dengan hukum agama, maka seperti biasa ramailah penceramah berfatwa dalam pidatonya,dan blogger-blogger pula membahaskan hukum-hakamnya melalui pena dan papan kekunci. Walhal daripada sudut hukumnya, ia termasuk dalam hukum yang disepakati atau yang sudah ijmak dalam kalangan ulama. Lantaran kejahilan tentang ijmak atau kejahilan tentang kewajipan menuruti ijmak, golongan seperti ini tanpa segan silu menghebahkan pandangan peribadi yang jelas menyalahi ijmak para ulama silam.

Beginilah parahnya apabila orang yang bukan ahli cuba mengambil alih tugas mereka yang ahli. Lihatlah bagaimana permasalahan fikah yang sudah disepakati oleh fuqaha, apabila dibincangkan oleh orang-orang bukan ulama, tiba-tiba ia menjadi masalah khilaf yang bercabang-cabang pendapatnya. Agaknya, kalau masalah fikah yang sepatutnya hanya mempunyai tiga pendapat, jika dibiarkan golongan ini berhukum dan berfatwa, mungkin perselisihan akan menghasilkan puluhan pendapat yang berbeza-beza.

Berani dan pantasnya mereka berfatwa benar-benar menghairankan. Seakan-akan tidak pernah menghayati satu firman Allah yang bermaksud: Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi dan perbuatan dosa dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. (al-A’raf: 33)

Jika kita menyedari kenapa dalam ayat di atas, dosa bertutur tentang Allah dengan kejahilan dirangkaikan bersama dosa syirik kepada Allah, pasti kita akan ketahui betapa besarnya jenayah memberi fatwa tentang agama tanpa ilmu.

Amat malang apabila ada dalam kalangan orang Islam menganggap bahawa berfatwa adalah satu hobi yang menarik. Sesiapa sahaja boleh menceburi, asalkan mempunyai sealmari buku agama ataupun beberapa buah perisian kitab elektronik. Walhal para salaf bertolak-tolak dan mengelak daripada memberi fatwa.



LOKMANULHAKIM HUSSAIN Utusan Bicara Agama 20140218
Tags: fatwa
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments