mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pembuktian nasab, sejarah Islam penting

Sultan Abdul Hamid II yang memerintah Kerajaan Khalifah Ottoman antara 1876 hingga 1918 dikenang dalam sejarah Islam atas keberaniannya menolak permintaan British untuk menyerahkan Palestin kepada puak Zionis Britain.

Beliau bertegas, Palestin adalah amanah daripada Allah SWT dan beliau tidak berhak untuk menyerahkan Palestin kepada sesiapa terutama sekali musuh Islam. Malangnya, usaha murni Sultan Abdul Hamid II berkubur setelah timbulnya pergerakan Wahabi pada abad ke-18.

Fahaman Wahabi di Malaysia mula menyelinap dalam pergerakan golongan muda pada lewat 40-an. Golongan muda tidak mempunyai dukungan politik pada masa itu mengakibatkan perkembangannya terhad dan dipantau oleh pergerakan golongan tua.

Larangan letak batu nisan

Bagaimanapun, pengaruh Wahabi tidak pernah lenyap dan terus menular secara diam-diam dalam masyarakat Islam sehingga hari ini. Antara pengaruh Wahabi yang dapat kita lihat adalah larangan meletakkan batu nisan di kubur orang Islam.

Alasannya, mengelakkan orang Islam bertawasul (menggunakan perantara) kerana perbuatan itu dianggap boleh membawa kepada amalan khurafat dan syirik. Sebenarnya secara tidak sedar, kita telah memadamkan bukti sejarah bahawa orang Islam adalah penduduk awal di sesuatu penempatan.

Terdapat kes waris ingin membuat carian orang yang meninggal dunia sekitar 1923. Pada zaman itu masih belum ada sistem merekodkan kelahiran dan kematian rakyat Tanah Melayu. Justeru tiada rekod rasmi mengenai kematian simati dan usaha waris membuat carian rasmi di pejabat kerajaan tidak membuahkan hasil.

Oleh kerana harta si mati agak banyak dan ada waris telah meninggal dunia, waris yang tinggal amat terdesak untuk menyelesaikan kemelut itu. Salah satu cara adalah memfailkan permohonan di mahkamah mengisytiharkan waris adalah waris sah kepada si mati.

Dalam hal demikian, pembuktian mengenai nasab waris kepada si mati dilakukan dengan mendapatkan afidavit iaitu akuan sumpah bertulis oleh saksi yang pernah mengenali si mati.

Kebetulan dalam kes itu, imam dan penghulu kampung pernah mengenali simati semasa kecil mereka. Afidavit mereka dikuatkan dengan gambar batu nisan yang tertera nama simati dalam tulisan jawi dikepilkan dalam afidavit mereka.


Kesan sejarah penting

Kesan peninggalan sejarah Islam penting sebagai bukti mengenai kesahihan fakta sejarah seperti termaktub dalam al-Quran dan diriwayatkan dalam hadis serta sunnah Rasulullah SAW.

Pengarang buku ‘Muhammad: A Biography of the Prophet’, Karen Amstrong menyatakan, perbezaan ketara antara sejarah orang Islam dan Kristian adalah wujudnya banyak peninggalan sejarah pada zaman Rasulullah SAW hingga ke hari ini.

Mengikut Karen Armstrong, tempoh dakwah Jesus Christ sebelum baginda disalib adalah tiga tahun dan tidak terdapat peninggalan sejarah mengenai Jesus Christ. Sesetengah sarjana, cendekiawan serta ahli arkeologi Kristian mempersoalkan siapakah sebenarnya pengasas agama Kristian.

Persoalan ini diketengahkan oleh penulis, Michael Baigent dan Richard Leigh pada 1991 melalui buku bertajuk ‘Dead Sea Scrolls Deception’ yang mengundang kontroversi dalam dunia kesarjanaan agama Kristian.

Persoalan itu kemudian dinukilkan oleh beberapa penulis lain membincangkan teori asal usul ahli agama Kristian seperti St Paul dan St John. Tanpa sistem nasab diamalkan agama Islam, sarjana dan ahli arkeologi Kristian tidak dapat mengenal pasti dengan tepat siapakah sebenarnya St Paul dan St John, nasab serta asal usul mereka.


Sejarah Rasulullah banyak

Jika dibandingkan dengan sejarah Rasulullah SAW, terdapat banyak kesan peninggalan sejarah perjuangan Baginda selama 23 tahun di Makkah dan Madinah. Ia menjadi bukti kepada umat Islam bahawa sejarah Rasulullah SAW bukan cerita dongeng.

Nasab Rasulullah SAW dipelihara dan boleh dijejak sehingga Nabi Ismail, akhirnya kepada Nabi Adam. Begitu juga nasab sahabat Rasulullah SAW serta wali sepanjang zaman, nasab mereka boleh dijejaki dan terpelihara.

Pemusnahan kubur pertama sahabat Rasulullah SAW iaitu Zayd al-Khattab oleh Wahabi dikecam umat Islam serata dunia dan pemusnahan peninggalan sejarah Islam sebagai usaha mengubah fakta sejarah Islam menyebabkan perpecahan perpaduan umat Islam.

Rasulullah SAW berpesan dalam khutbah haji terakhirnya, syaitan akan berusaha menyesatkan manusia dalam perkara dianggap remeh oleh masyarakat Islam dan itu berlaku kini seperti tindakan sesetengah pihak melarang berselawat kepada Rasulullah SAW dan menyambut Maulidur Rasul.

Penulis ialah Naib Presiden 1 Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Berita Harian Online Agama 19/02/2014
Tags: batu nisan, nasab, wahabi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments