mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Mengalah bukan kalah

RUNSING fikiran dibuatnya. Keputusan terletak di tangannya. Kalau ikutkan rasa hati dan mengenang kembali apa yang pernah isteri dan anak-anak lakukan kepadanya, mahu sahaja permintaan si anak dan bekas isterinya ditolak mentah-mentah.

Masih segar dalam ingatannya bagaimana Zana (bekas isteri) telah membuang dirinya daripada keluarga tersebut. Semenjak hari itu, Fariz, tidak pernah berjumpa anak-anak yang semuanya dijaga oleh bekas isteri. Tatkala rindu meronta jiwa, Fariz gagahkan diri untuk bertemu anak-anaknya di rumah milik jandanya.

Tapi setiap kali percubaan itu dilakukan, belum pun sempat dia memeluk ketiga-tiga anaknya untuk melepaskan rindu, dia telah dimaki hamun Zana. Dihalaunya bagai anjing kurap!

Pedih! Maruahnya sebagai seorang ayah kepada tiga orang anaknya ibarat petir menyambar ke bumi. Hangus, hancur serta lebur. Begitulah punahnya harapan yang terpendam sejak sekian lama. Akhirnya keputusan diambil untuk merantau jauh meninggalkan tiga anaknya bersama-sama bekas isterinya. Namun Fariz tidak pernah melupakan tanggungjawab ke atas ketiga-tiga anak kesayangannya. Melalui nombor akaun milik bekas isterinya itu, secara senyap-senyap dia memasukkan beberapa jumlah wang untuk anak-anaknya. Hanya dengan cara itu, Fariz mengharapkan anak-anaknya tidak melupakan terus dirinya sebagai ayah yang pernah hidup bersama dalam keluarga tersebut.

Ada kala, Fariz tewas melawan emosi diri. Dia menangis semahu mungkin dek terlalu merindui anak-anaknya. Namun dia tidak berupaya kerana khuatir bekas isterinya terus menghalaunya, mengherdiknya dan memaki hamun dirinya di hadapan anak-anak. Sampai bila? Fariz sebolehnya mungkin tidak mahu anak-anaknya menyaksikan perlakuan buruk itu di hadapan mata mereka. Dia tidak mahu kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang ayah tersungkur bagai barang terbuang yang tidak bernilai.

Tahun berlalu. Suatu pagi dia terbaca sesuatu yang cukup menyentap jiwanya di dalam sebuah akhbar. “Mencari ayah untuk menjadi wali." Begitu tajuk yang tertera di dalam akhbar tersebut. Dia tahu itu anaknya. Dia juga tahu itu namanya yang disiarkan di dalam akhbar tersebut.

Perasaan resah kembali menerjah. Kenangan silam tentang perbuatan bekas isteri terhadapnya datang satu persatu dalam memorinya. Kalau diikutkan rasa, inilah masa yang sesuai untuknya membalas dendam di atas setiap perbuatan si isteri yang pernah menghancurkan dan melukakan hatinya. Tapi bagaimana pula dengan nasib si anak?

Sayu! Fariz dalam dilema antara dendam kepada isteri serta rasa rindu yang keterlaluan kepada si anak. Ini adalah peluang terbaik untuknya berjumpa kembali dan memeluk erat ketiga-tiga orang anaknya di hari perkahwinan itu kelak. Tapi mampukah dia melakukannya kerana perasaan marah itu masih berbekas.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140219
Tags: kalah, mengalah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments