mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Wasatiyyah cerminan akhlak mulia

EKSTREM atau melampau adalah satu sikap yang bukan sahaja akan memburukkan nama Islam di mata masyarakat dunia tetapi juga akan menyebabkan berlakunya perpecahan dan permusuhan sesama Islam.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Afghanistan, Iraq dan beberapa negara lain di dunia pada hari ini, hanya berpunca daripada satu pihak yang terlalu ekstrem dan melampau menyebabkan negara itu menjadi kucar-kacir, penuh dengan api kebencian di antara satu sama lain, yang akhirnya mengundang pihak lain mengambil kesempatan untuk campur tangan yang kononnya menjadi orang tengah menyelesaikan konflik yang berlaku.

Tindakan pihak luar ini juga tidak mustahil berlaku di negara ini jika terdapat pihak yang meminggirkan prinsip wasatiyyah dan menjadikan sikap ghuluw atau melampau sebagai asas kehidupan. Musuh-musuh Islam sememangnya sentiasa mencari peluang daripada ketidakstabilan sesebuah negara Islam untuk campur tangan dan memusnahkan kesatuan dan perpaduan umat Islam.

Dalam masa sama, sikap mengabaikan agama dan cuai terhadap perintah Allah SWT juga akan melahirkan generasi yang hilang jati diri sebagai Muslim sejati. Bertitik tolak dari sikap inilah lahirnya golongan pluralisme, liberalisme, LGBT dan seumpamanya. Sesungguhnya, kekuatan sesebuah negara akan hancur, rakyat akan berpecah jika golongan sebegini yang berkuasa, mereka sanggup menggadaikan kesucian dan maruah agama semata-mata untuk mencapai matlamat dan kepentingan dunia.

Justeru, apa yang paling penting bagi kita ialah memilih jalan tengah iaitu bersederhana dan seimbang (al-wasatiyyah) sebagai asas kehidupan sama ada dalam bersyariat atau dalam mengejar kehidupan dunia. Ini kerana wasatiyyah merupakan jalan yang dibawa Rasulullah SAW.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh A’isyah RA tentang tiga lelaki yang datang ke rumah Rasulullah dan mereka bertanyakan tentang ibadah Baginda. Apabila diberitahu, mereka beranggapan seolah-olah ia sedikit. Lalu mereka berkata "Di manakah kami dibandingkan dengan Rasulullah SAW, sesungguhnya Allah telah mengampunkan dosa baginda yang awal dan akhir".

Justeru, salah seorang daripada mereka berkata: "Aku akan berpuasa sepanjang tahun", dan yang kedua berkata: "Aku akan sentiasa berjaga malam untuk beribadat", manakala yang terakhir berkata: "Aku tidak akan berkahwin buat selama-lamanya". Rasulullah telah mendengar kata-kata mereka ini lalu baginda terus keluar menemui mereka dan bertanyakan: "Adakah kamu yang berkata-kata sedemikian", mereka menjawab "ya".

Lalu Rasulullah SAW terus bersabda yang bermaksud: "Aku berpuasa dan berbuka, aku bersembahyang dan tidur serta aku berkahwin. Ini adalah sunnah ku sesiapa sahaja yang tidak suka sunnah ku, orang itu tidak termasuk dalam golongan aku." (Riwayat Al-Tabaraniy dalam al-Mu’jam al-Kabir)

Bagaimana mungkin kesatuan ummah dapat ditegakkan jika terdapat pihak yang ekstrem dan melampau yang sentiasa menganggap pihak lain tidak benar dan salah, golongan seperti ini akan hanya beranggapan bahawa mereka saja yang mengikuti kehendak syarak dan berjalan di atas landasan yang betul. Apa yang lebih menyedihkan sikap melampau ini akan menyebabkan tindakan yang lebih teruk, sehinggakan ada yang membidaahkan, menyesatkan dan seterusnya mengkafirkan pihak lain.

Persoalannya, siapa yang rugi daripada sikap sebegini? Tidak lain dan tidak bukan umat Islam keseluruhan akan menerima tempias daripada sikap golongan ekstremis ini yang akan menyebabkan masyarakat dunia memandang sinis dan prejudis terhadap seluruh umat Islam, bahkan lebih teruk daripada itu umat Islam digelar sebagai pengganas, jumud dan seumpamanya.

Ekstremisme

Sedangkan pada hakikat yang sebenar Islam adalah agama yang sentiasa menganjurkan kepada perpaduan, perdamaian, hormat-menghormati, berakhlak mulia dan saling tolong menolong di antara satu sama lain. Islam juga sentiasa memberi penekanan tentang hak, di mana setiap hak itu perlu diberikan kepada yang berhak, hatta pada tubuh badan manusia pun perlu diberikan hak setiap anggota.

Sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya kamu ada tanggungjawab kepada Tuhan mu, dan sesungguhnya kamu ada tanggungjawab terhadap diri mu, dan sesungguhnya kamu ada tanggungjawab terhadap ahli keluarga mu, dan Maka tunaikan lah semua tanggungjawab kepada semua yang berhak dengan sebaiknya". (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kesatuan ummah juga mustahil akan tercapai jika terdapat golongan yang memandang rendah kepada perintah agama dan menjadikan dunia semata-mata sebagai matlamat kehidupan, golongan ini akan menimbulkan kucar-kacir dalam masyarakat.

Prinsip Wasatiyyah yang dianjurkan oleh Islam inilah yang akan memberi jaminan kepada pemuliharaan lima perkara asas yang perlu dijaga dan dilindungi di dalam Islam ataupun disebut sebagai (Dharuriyyat al-Khams), iaitu menjaga agama, akal, nyawa, keturunan dan harta. Ini merupakan al-Maqasid al-Syar’iyyah (matlamat Syariah) yang menjadi tonggak utama dalam agama Islam.

Langkah kerajaan menjadikan Wasatiyyah sebagai dasar adalah tepat pada masanya, ketika kita umat Islam berhadapan dengan pelbagai cabaran di dalam negara khususnya dan dunia umumnya.

Dalam konteks negara kita Malaysia, bibit-bibit ekstremisme mula dapat dilihat pada sesetengah generasi muda negara. Sesetengah mereka mempunyai persepsi yang amat buruk terhadap pihak yang tidak sehaluan dan sealiran dengan mereka. Pengaruh media terbuka pada hari ini merupakan salah satu faktor yang menyebabkan sikap mereka ini tersebar dengan meluas dan dengan mudah dapat mempengaruhi pihak lain.

Facebook sebagai contoh, sudah menjadi perkongsian fitnah di antara anak muda kita, berita yang belum tentu benar atau salah mudah sahaja disebar sehingga akhirnya ia dianggap sebagai kebenaran yang tidak boleh disanggah lagi. Tidak cukup dengan itu, semasa proses penyebaran fitnah tersebut pelbagai kata nista dan caci hina diluahkan bagi menggambarkan kebencian mereka terhadap sesuatu perkara yang belum pasti keabsahannya.

Jika pun benar berita yang disebarkan amat salah rasanya menghamburkan kata nista kepada pihak lain, kerana ini bukan ajaran Islam yang amat menitikberatkan kepada kemulusan akhlak penganutnya.

Perkembangan ini merupakan musibah dan bala yang besar ke atas ummah ini. Jika tidak dibendung tidak mustahil anak-anak muda kita yang merupakan bakal pemimpin masa depan akan lenyap jati diri masing-masing. Akan muncul generasi yang hanya tahu tidak berpuas hati, generasi yang suka tuduh menuduh dan generasi yang sukar untuk berterima kasih dan bersyukur di atas nikmat dan kurniaan Allah SWT.

Justeru, untuk memulihkan situasi ini kita perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Pendekatan Wasatiyyah yang merupakan salah satu elemen penting dalam Islam perlu ditekankan kembali ke dalam masyarakat kita supaya kita muncul sebagai golongan sederhana di antara dua sifat yang tidak diterima oleh agama kita iaitu ekstrem dan cuai agama, golongan yang seimbang antara dua tuntutan dunia dan akhirat dan golongan yang adil dan cemerlang yang melaksanakan tuntutan Allah berpandukan ajaran al-Quran dan Sunah.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah, Institut Wasatiyyah Malaysia Jabatan Perdana Menteri. Utusan Malaysia Rencana 20140221

Tags: ekstrimisme, wasatiyyah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments