mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Gagal interaksi nas al-Quran secara tepat

Tajsim adalah fahaman yang mempercayai Allah memiliki anggota badan, tetapi bagi mereka anggota badan yang ada pada Allah tidak sama dengan makhluk. Oleh itu, sesiapa berfahaman seperti ini dikira menganut fahaman tajsim.

Dari sudut kronologi perkembangannya, fahaman ini sudah merentasi beberapa peringkat waktu dan keadaan.

Pada mulanya fahaman ini dikembangkan oleh pendeta Yahudi dan seterusnya diperjuangkan pula oleh paderi Kristian dalam versi berbeza.

Namun, akhirnya fahaman ini turut menjangkiti sekelompok umat Islam yang jahil mengenai ilmu Islam dan bahasa Arab.


Mereka turut terpengaruh dengan fahaman tajsim kerana gagal berinteraksi dengan nas al-Quran dan sunah secara tepat sama ada nas berkenaan mengandungi ketinggian dari sudut gaya bahasanya mahupun ketinggian dari sudut maknanya. Golongan berpegang dengan fahaman tajsim dikenali sebagai mujassimah.

Penyelewengan akidah tajsim

Sungguhpun fahaman tajsim dipegang golongan mujassimah umat Islam berbeza dengan versi Yahudi atau tajsim Kristian (iaitu ketuhanan triniti), namun mereka tetap dikira sebagai kelompok sesat kerana melakukan visualisasi (mengkhayalkan) zat Allah, sedangkan Allah Maha Suci daripada sebarang zat, sifat atau perbuatan makhluk termasuk daripada memiliki anggota badan.

Kewujudan golongan mujassimah sentiasa dibanteras ulama Islam sejak zaman-berzaman. Namun, ada segelintir ulama yang menganut fahaman tajsim bersembunyi di sebalik mazhab Hanbali sehingga mereka bertindak menconteng arang kepada mazhab berkenaan.

Hal ini jelas sebagaimana diterangkan Imam Ibn al-Jauzi al-Hanbali ketika mengkritik golongan mujassimah yang berselindung di sebalik mazhab Hambali sehingga merosakkan nama baik Imam Ahmad dan ulama Hanabilah yang agung.

Ternyata, sebahagian besar ulama Hanbali berlepas diri daripada fahaman berkenaan. (Ibn al-Jauzi al-Hanbali, 1999, Daf’u Syubah al-Tasybih bi Akaffi al-Tanzih, halaman 99)


Menjelaskan penyelewengan akidah satu kewajipan

Kesesatan sesuatu golongan perlu diperjelaskan oleh mereka yang mempunyai ilmu mengenainya. Jika fahaman sesat itu tidak dibendung, ia pasti akan mengundang fitnah lebih besar terhadap Islam dan umatnya.

Adapun sikap menyembunyikan ilmu dan mendiamkan diri daripada membanteras golongan sesat yang semakin berleluasa adalah sikap tercela.

Buktinya Allah berfirman yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar serta kamu pula beriman kepada Allah...”(Surah Ali Imran, ayat 110)

Sabda Rasulullah: “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangannya (kekuasaan). Jika tidak mampu maka hendaklah dia mencegah dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka cegahlah dengan hatinya. Itu selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda bermaksud: “Orang yang menyembunyikan ilmunya seumpama orang yang menyembunyikan apa diturunkan Allah ke atas Muhammad SAW.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Thabrani dengan sanad daif tetapi maknanya sahih)

Berdasarkan dalil berkenaan, jelas kepada kita mereka yang tidak menegakkan kebenaran dan mendiamkan diri daripada membanteras suatu kesesatan adalah dikira tidak menegakkan yang makruf dan tidak juga mencegah kemungkaran.
Golongan ini dicela oleh syarak. Ini kerana penyelewengan dalam masalah akidah adalah sebesar-besar kemungkaran yang ada.

Justeru, fahaman tajsim atas nama apa sekali pun (seperti nama Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah, Tauhid al-Asma wa as-Sifat dan lain-lain) sama ada dipromosi oleh golongan mana sekalipun perlu dibanteras kerana kesesatannya amat jelas menurut al-Quran, sunah dan ijmak ulama Ahli Sunah Waljamaah sejak zaman salafussoleh hingga kini.

Al-Quran dan sunah neraca kebenaran tertinggi, terutama dalam masalah membabitkan soal akidah.

Kita perlu menjelaskan setiap inci penyelewengan fahaman tajsim dan aliran pemikiran berasaskan kepada doktrin tajsim secara terbuka. Usaha ini perlu dilakukan bagi mempertahankan kemurniaan akidah Ahli Sunah Waljamaah.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun atas kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti as-sawadul a’zham (majoriti umat Islam). Sesungguhnya sesiapa yang terasing maka dia akan terasing dalam neraka.” (Hadis riwayat Ibn Majah) - Bersambung

Penulis ialah Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri myMetro Kolumnis 17/02/2014

Tags: akidah, tajsim
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments