mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jangan hanya sekadar berjubah

BRO seronok juga apabila mendapati setiap Jumaat, ramai kaum wanita sudah menjadikan jubah atau abaya sebagai pakaian. Bro tak pasti sama ada ia dah jadi pakaian rasmi atau tradisi. Apa pun tahniahlah sebab selagi ia bertujuan untuk menutup aurat, Bro sokong seratus peratus.

Bagaimanapun Bro berharap, janganlah bergantung kepada pakaian sahaja, tak guna pakai jubah sampai meleret ke tanah kalau perangai macam hantu raya, dalam kata mudah tingkah laku tidak melambangkan betapa tertibnya seorang perempuan apabila memakai pakaian seumpama itu.

Bro buat teguran ini kerana Bro tak mahu, jubah sekadar hiasan luaran, nak nampak cantik hari Jumaat pakai jubah atau baju kurung tetapi perangai masya-Allah, macam kuntilanak tak bertuan. Paling Bro menyampah harap Jumaat aje berjubah hari lain, semua terdedah. Takkanlah hari Jumaat aje nak tutup aurat, hari-hari lain tak payah sedangkan dosanya sama sahaja.

Ada pula pakai jubah tetapi dok banding dengan kawan-kawan jubah sapa paling cantik dan sapa paling mahal, bila dia perasan abaya dia pakai paling cantik mulalah jalan macam kucing betina nak mengawan. Bila macam tu niat baik nak tutup aurat, dah dapat dosa.

Jadi Bro nak nasihat perempuan yang sudah menjadi jubah atau abaya sebagai sebahagian pakaian mereka, pandai-pandailah membawa diri. Jubah hanya sekadar menutupi fizikal kita tetapi orang nak nilai bukan sekadar luaran tetapi juga dalaman. Paling penting selain menjaga tingkah laku, ibadah dengan Allah SWT juga perlu dipelihara.

Jangan dok seronok pakai jubah hari Jumaat tetapi bak kata orang nak pijak tikar sejadah pun tak nak, kalau ada keuzuran tak apalah Bro faham tetapi ini memang tidak ada apa-apa masalah memang pemalas nak solat. Tetapi bila bab pakai pakaian berimej Islamik wah! dia paling hebat.

Bagi Bro, perempuan macam ini hanya mencemarkan ketertiban dan tata etika orang berjubah. Bila fikir perkara macam inilah Bro tak suka nak menghakimi orang berdasarkan pakaian. Sesetengah tu nampak tertib berjubah dan bertudung tetapi perangai entah apa-apa. Ada yang bertudung pula, hisap rokok macam lelaki...hilang seri seorang perempuan.

Berfesyen

Kalau dah berjubah mulut pun kena jaga, jangan dok main cakap ikut sedap mulut sahaja. Orang bukan Islam tak tahu perangai kita macam mana sebenarnya tetapi apa yang mereka tahu apabila perempuan Islam berjubah tetapi mulut macam puaka, mereka akan anggap apakah begitu ajaran Islam, tutup aurat tetapi mulut tak pandai nak tutup.

Begitu juga apabila sesetengah perempuan dah banyak pakai penutup muka, nak kata purdah pun tidak tetapi yang nampak biji mata mereka sahaja.

Alhamdulillah, sebab ada wanita berpakaian macam ni tetapi yang Bro selalu jumpa kat pusat beli-belah, pakai tutup macam tu tetapi pakaian tak sesuai langsung nampak bentuk badan!

Jadi Bro anggap sebahagian yang berpakaian macam tu bukan ikhlas tetapi sengaja nak berfesyen.

Bro bukannya nak mempertikaikan keikhlasan orang berpakaian macam tu tetapi kalau nak pakai, pakailah betul-betul. Pastikan aurat ditutup bukan sekadar tutup hidung dan mulut sahaja.

Bro harap jangan pula ada perempuan yang cetek fikiran anggap Bro anti orang pakai purdah. Bro sokong seratus peratus mana-mana perempuan nak pakai purdah, nak suruh Bro tolong belikan pun Bro tak kisah tetapi biarlah ia ikhlas kerana Allah SWT.

Jangan kita tutup muka kerana hendak berfesyen dan berpakaian kerana hendak ikut trend, semua itu tidak mendatangkan pahala. Bro cakap perkara ini sebab Bro dah lihat banyak contoh, Bro tak cakap kosong dan tak buat tuduhan melulu.

Kalau berjalan di mana-mana Bro sering terserempak dengan perempuan-perempuan yang cara pakaian mereka menimbulkan persoalan.

Contohnya, dalam soal berpurdah, Bro tak mahu wanita kita jadi macam perempuan Arab, naik aje kapal terbang terus tinggal kemeja T dan seluar jeans sahaja. Bila sampai kat hotel bersantai kat tepi kolam pakai bikini, bila nak keluar hotel pakai purdah. Maknanya, pakaian bukanlah menjadi salah satu cara untuk beribadah tetapi semata-mata kerana fesyen atau tradisi.

Jadi Bro nak nasihatkan perempuan-perempuan kita janganlah jadi macam tu apabila berjubah atau menutup muka, begitulah juga bertudung.

Sama ada disedari atau tidak semua pakaian itu diiringi dengan tanggungjawab menjaga tatasusila sebagai seorang muslimah, bukan boleh buat seronok-seronok. Tetapi perempuan biasalah suka lakukan perkara pelik-pelik untuk tarik perhatian. - JUMPA LAGI

- Bro Tompok. Kucing Jantan Utusan Malaysia Rencana 20140302

Tags: janggut, jubah, ketayap
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments