mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Belajar hargai, manfaat 'hujan rahmat'

Pembinaan takungan air, pemantauan berterusan patut jadi agenda politik

Dalam novel saya Naratif Ogonshoto, saya ada mengisahkan mengenai kemarau panjang yang berlaku di Republik Ogonshoto yang terletak di Pasifik Selatan. Sebagai gugusan kepulauan yang agak sering menerima taburan hujan, hujan jarang dihargai, kerana dianggap akan sentiasa turun dari langit.


Anggapan sedemikian menyebabkan perancang pembangunan republik tersebut kurang memberi keutamaan kepada bekalan jangka panjang keperluan utama manusia, flora dan fauna ini. Lebih buruk, kawasan hijau tadahan hujan dibangunkan atas nama kemodenan, umpamanya membina padang golf yang luas bertaraf antarabangsa.

Konsepsi kemodenan

Minda pemimpin mereka tertawan oleh konsepsi kemodenan, tanpa memikirkan natijahnya kepada kepentingan warisan dan kepentingan nasional.

Mereka kurang sedar bahawa apabila kepulauan menjadi tandus, awan tidak dapat terbentuk untuk menurunkan hujan. Akibatnya republik berkenaan berdepan dengan kemarau panjang yang luar biasa.

Pemimpin politik republik itu menjadikan krisis berkenaan sebagai modal politik dengan mengambil langkah berisiko, tetapi dianggap luar biasa dalam konteks keberanian politik.

Langkah berisiko itu, yang tidak pernah diambil oleh negara jirannya seperti Kiribati, Kepulauan Polynesia, Campbell, The Antipodies dan sebagainya, ialah menarik bungkah ais raksasa dari Kutub Selatan.

Berfikir di luar kotak

Bagi pemimpin Republik Ogonshoto, langkah menarik bungkah ais adalah usaha luar biasa yang menggambarkan kebijakan mereka berfikir di luar kotak. Tetapi usaha itu akhirnya ternyata sia-sia.

Mungkin kita juga menghidapi sindrom jarang menghargai hujan, kerana menganggap hujan sentiasa turun dari langit khatulistiwa ini. Apabila hujan tidak turun serta diburukkan lagi oleh fenomena cuaca global dan pembakaran terbuka, baru kita sedar bahawa ada kuasa yang lebih besar yang menentukan segalanya.

Anehnya, apabila hujan turun, kita akan berkata itu ‘hujan rahmat.’ Tetapi bagaimanakah kita menterjemahkan ‘rahmat’ ini bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang? Apakah perkataan ‘rahmat’ hanya kita ucapkan buat seketika dan terus melupakannya sesudah itu?

Memang hujan itu suatu daripada rahmat Ilahi. Hujan adalah kandungan air yang menjadi keperluan asas bagi setiap kehidupan, lantaran itu menyebarkan rahmatnya yang luas.

Tetapi kalau rahmat ini tidak kita takung secara moden, sistematik dan menggunakan teknologi moden bagi keperluan jangka panjang, kita sebenarnya mensia-siakan rahmat ini.

Satu daripada peranan kerajaan adalah menyediakan keperluan air mencukupi untuk warganya. Orang akan meletakkan air sebagai keutamaan kehidupan, berbanding keperluan lain.

Agenda politik pembangunan

Justeru, perancangan pembinaan takungan air luas di beberapa negeri dan daerah, pembekalan merentas negeri, serta pemantauan tekal terhadap bekalan air bersih berterusan, patut menjadi agenda politik pembangunan yang sentiasa diberi keutamaan.

Kita mahu agar belanjawan yang secukupnya disediakan bagi membina empangan baru dan menatar empangan sedia ada, agar bumi kita yang berada dalam kawasan taburan hujan akan sentiasa dapat membekalkan air, tidak kira sama ada dalam musim kemarau ataupun tidak.

Jangan kita semua menjadi gelabah apabila kemarau hadir di hadapan kita, tetapi apabila ‘hujan rahmat’ turun kita tidak membuat perancangan jangka panjang untuk melestarikan rahmat Ilahi ini.

Dr Anwar Riidhwan ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA Berita Harian Rencana  2014/03/05 - 02:29:05 AM
Tags: hujan, politik, rahmat
Subscribe

  • Bukan sekadar sebut, tetapi perlu hayati

    KALIMAH ‘laa ilaaha illallah’ atau maknanya, “Tiada tuhan selain Allah SWT” memang kerap kita dengar atau ucapkan.Kalimah…

  • Erti kalimah Syahadah & tuntutannya

    SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang tidak menjadikan sesiapa sebagai anak-Nya dan juga tidak mempunyai sekutu dalam penciptaan-Nya. Sesungguhnya rukun…

  • Lambang keutuhan Perlembagaan

    KUALA LUMPUR 22 Jan. - Keputusan Mahkamah Persekutuan melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan The Herald terbitan bahasa Melayu,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments