mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Masalah sebagai peluang untuk berjaya

PERBEZAAN cara kita melihat, mendengar dan menerima sesuatu kejadian dan peristiwa akan mengubah tindakan dan respons kita, itulah inti pati makna sebenar 'reset minda'. Apabila berlaku sesuatu perkara, contohnya segelas susu tertumpah di atas meja, apakah reaksi spontan kita? Adakah kita akan menjadi panik, kelam-kabut, kecuh, dan marah-marah mencari siapakah yang menyebabkan susu itu tumpah?

Atau kita segera membersihkan meja itu bagi mengelakkan susu yang tertumpah itu mengalir dan tertumpah pula ke lantai? Dalam menghadapi situasi ini, langkah yang betul, lapkan segera susu yang tertumpah itu bagi 'mengelakkan' atau 'mencegah' lebih banyak kerja yang terpaksa kita lakukan jika dibiarkan. Begitulah analoginya cara penyelesaian apabila berhadapan dengan masalah atau musibah, iaitu 'elak' dan 'cegah' daripada masalah menjadi semakin rumit atau musibah akan menjadi bertambah susah. Ambil responsif positif dan resolusi positif.

Situasi kedua, contohnya dalam suasana sedang memandu untuk ke sesuatu destinasi, tiba-tiba kita berhadapan dengan masalah tayar kereta kita pancit. Adakah kita segera ke bengkel kereta untuk merawat kereta kita; tambahkan angin atau tampalkan tayar kereta tersebut bagi membolehkan kita meneruskan perjalanan?

Atau adakah kita sibuk mencari siapakah atau apakah punca yang menyebabkan tayar kereta kita pancit? Analogi untuk penyelesaian masalah bagi kes ini ialah, 'cari' dan 'analisis' apa dan di mana tempat yang bermasalah dan 'rawat' segera.

Jika kita ikut amalan ilmu perubatan, ada tiga langkah bagaimana menghadapi dan menangani kes pesakit, iaitu mencegah, mengawal dan rehabilitasi (pemulihan). Demikian jugalah analoginya untuk kita menangani permasalahan dalam kehidupan kita. Pertama, 'cegah' dahulu.

Sebab itu dalam perubatan, kita selalu sebut, "mencegah adalah lebih baik daripada mengubati". Maksudnya kita fikir, mencari jalan, dan bertindak bagaimana untuk mengelakkan daripada berlaku sesuatu masalah atau musibah.

Kedua, seandainya telah pun berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini itu, (dalam contoh perubatan, sudah pun mendapat penyakit), kita rawatlah pesakit itu mengikut tahap keseriusan penyakitnya. Contohnya, kalau pesakit itu penghidap kencing manis, mula-mula doktor akan bagi ubat untuk kawal tahap gula dalam darah. Pesakit pula diminta mengawal pemakanannya dengan mengurangkan makanan bergula dan menjaga berat badan, di samping mengamalkan cara hidup sihat dengan bersenam.

Tetapi, jika tahap penyakit kencing manis pesakit sudah serius, dan tiada jalan lain lagi untuk menyelamatkan pesakit kecuali terpaksa dipotong kakinya, maka tindakan drastik itu mesti dilaksanakan bagi menyelamatkan nyawanya. Begitu jugalah respons kita dalam menghadapi masalah atau musibah kehidupan. Jika sudah terjadi, kita mesti menghadapinya dengan sabar dan reda. Di samping kita mencari, memilih dan membuat keputusan yang terbaik bagi menghadapi masalah itu.

Ketiga, rehabilitasi (pemulihan). Dalam contoh pesakit kencing manis itu, setelah pesakit dipotong kakinya dan sembuh, untuk membolehkan pesakit meneruskan kehidupan ini, pesakit dinasihatkan memakai kaki palsu. Proses menyesuaikan pemakaian kaki palsu, dan proses mengadaptasikan kehidupan baharu pesakit dengan berkaki palsu itulah yang dimaksudkan rehabilitasi atau pemulihan.

Oleh sebab itu, berdasarkan analogi yang dinyatakan itu, apabila kita berhadapan dengan masalah atau musibah, perkara penting yang perlu kita lakukan ialah lihat masalah itu dengan hati yang tenang dan terbuka. Terimalah segala masalah atau musibah itu sebagai takdir dan Allah sedang uji kita, tanda Allah sayang akan kita, supaya kita semakin dekat dengan-Nya. Tindakan positif apabila menghadapi masalah atau musibah ialah pastikan 'apakah' masalah dan 'di mana' masalah tersebut.

Seterusnya segera mencari jalan 'bagaimana' hendak menghadapi masalah, bukan mencari punca 'mengapa' dan 'siapa' puncanya atau penyebab? Carilah segera penyelesaian masalah, dan dalam masa yang sama carilah cara dan jalan untuk menguatkan jiwa kita supaya tabah menghadapi dan berhadapan dengan masalah atau musibah.

Caranya, pertama ingatkan kepada Rukun Iman yang enam iaitu salah satu daripadanya kepercayaan kepada qada dan qadar Allah SAW. Kedua, tabah, sabar dan reda. Ketiga, berdoalah kerana doa itu senjata Mukmin dan Mukminah. Hiduplah dengan kesedaran ketuhanan yang tinggi dengan penuh keyakinan bahawa dalam menjalani kehidupan ini ada perkara yang kita boleh kawal dan ada perkara yang kita tidak boleh kawal.

Ketika berhadapan dengan masalah atau musibah berdoalah, "Ya Allah, ya Tuhanku, berikan aku kekuatan untuk mengubah perkara yang boleh aku ubah. Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menerima apa-apa perkara yang tidak boleh aku ubah. Ya Allah, ya Tuhanku, berikanlah aku kebijaksanaan untuk tahu menilai antara kedua-duanya, yakni mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang Engkau redai dan mana yang engkau murkai."

Kita mesti mengadu hanya kepada Allah bukan kepada makhluk Allah. Kita berhubung dengan Allah melalui mata hati. Selagi kita syak dan berprasangka buruk kepada Allah, bermakna mata hati kita masih tertutup.

Setiap manusia mempunyai paradigma. Paradigma ialah cara kita berfikir dan cara emosi kita bertindak balas dengan apa-apa yang berlaku. Jadikan masalah atau musibah yang menimpa kita sebagai satu 'cabaran' bukan 'halangan'. Apabila kita menerimanya sebagai 'cabaran', jadikan ia sebagai 'batu loncatan' yakni 'peluang' untuk kita melonjak ke arah kejayaan.

Orang yang bermasalah ialah orang yang tidak celik mata hati, maka semua baginya masalah. Tetapi orang yang beriman melihat dengan mata hati, melihat peristiwa negatif (masalah atau musibah) menjadi peluang memperbaiki diri dan tidak menyalahkan sesiapa, apatah lagi menyalahkan Allah!

Sesungguhnya manusia terdiri daripada dua iaitu manusia dirinya yang sebenar (roh) dan manusia dirinya yang palsu (jasad). Manusia yang hidupnya berusaha mencari ilmu akan bersih jiwanya. Ilmu sahaja yang mampu menjadi pelita hati, maka carilah ilmu dunia dan akhirat.

Semoga kita semua diberikan takwa dan sentiasa berlapang dada dan bebas daripada perasaan negatif; kecewa, marah, dendam, menyalahkan dan merungut apabila ditimba masalah atau musibah. Dekati Allah, kerana kesihatan, keselamatan dan rezeki kita akan terpelihara apabila kita dekat dengan Allah. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak."

* Ikuti program Kanta Prof. Muhaya di TV2 setiap Rabu 6.30 pagi dan ulangan setiap Jumaat 1.30 tengah hari.


DR. MUHAYA MOHAMAD http://Famili.celikz.com Fanpage facebook Prof Dr Muhaya twitter@drmuhaya Utusan Malaysia Rencana 20140309
Tags: berjaya, masalah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments