mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Banyak sangat bagi muka pada warga asing

DALAM kolum minggu lalu, saya bertanya macam mana warga asing boleh berniaga?

Seorang pembaca bergelar Warga Prihatin menghuraikan jawapannya berdasarkan pengalamannya lama bekerja bersama-sama warga asing, dan hasil pandangan rakan-rakannya yang prihatin akan masalah ini.

Pertama: Pekerja asing dibawa masuk tanpa kawalan dan pemantauan.

Apabila ejen-ejen pembekal tenaga kerja membawa masuk sesuka hati maka berlakulah masalah kerana kita hanya pandai membawa masuk warga asing tetapi tidak tahu cara untuk memastikan mereka pulang semula ke negara asal bila tempoh permit tamat.

Ramai pekerja asing yang datang ke negara ini telah bergolok bergadai meminjam wang dan menghadapi pelbagai kesukaran di negara asal. Sebab itu, ramai yang cuba sedaya upaya untuk kekal bekerja di sini seberapa lama yang boleh. Apabila permit tamat mereka akan bekerja secara haram dan lebih berani lagi, mula menjalankan perniagaan sendiri serta bekerja sendiri (mengambil upah memotong rumput dan mengutip barang-barang lusuh).

Silap besar untuk kita memandang rendah kepada warga asing yang bekerja di sini. Mereka ini adalah orang yang kuat daya saing, sangat rajin dan bijak. Malah mengikut pemerhatian pembaca ini, ada yang memiliki kelulusan tinggi di negara asal tetapi sanggup merantau ke sini. Jika mereka ini bodoh dan malas, mereka tak akan bersusah payah berhijrah ke negara orang bagi mengubah nasib. Sebab itu ramai yang berjaya di Malaysia sekarang.

Ada juga dalam kalangan pekerja asing ini yang berkahwin dengan wanita atau lelaki tempatan. Untuk berniaga, mereka menggunakan nama pasangan walaupun peraturan imigresen tidak membenarkan pekerja asing berkahwin sesama mereka apatah lagi dengan rakyat Malaysia.

Kedua: Pengkhianat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Permit dan lesen perniagaan diberi kepada orang yang tidak sepatutnya dapat. Contoh paling mudah di Kuala Lumpur terutama di kawasan Chow Kit, Datuk Keramat, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India yang dikuasai peniaga Indonesia dan Pakistan.

Permit dan lesen dimiliki oleh orang Melayu tetapi mungkin sudah menjadi kelemahan orang kita seperti yang dijelaskan banyak kali oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, bangsa Melayu nak kaya dengan cara paling mudah tanpa perlu bersusah payah. Siapa yang dapat lesen ini sebenarnya? Benarkah dakwaan bahawa lesen diberi sewenang-wenangnya kepada mereka yang ada 'kabel' dengan PBT dan orang tertentu?

Selain itu, sikap sesetengah peniaga Tionghua yang menyerahkan bulat-bulat perniagaan mereka untuk diuruskan oleh warga asing amat dikesali. Contohya di Plaza Low Yat dan Jalan Petaling yang mula dikuasai warga Bangladesh. Di sektor pembinaan pula kebanyakan kontraktor bumiputera tempatan hanya merebut kontrak untuk menjualnya semula kepada kontraktor warga asing terutama dari Indonesia dan Bangladesh. Sebab itu projek mengalami kelewatan dan kos meningkat.

Sekarang ramai kontraktor warga asing ini membuat kerja-kerja kontraktor kecil tanpa halangan. Adakah mereka memiliki lesen sah dan membayar cukai?

Ketiga: Warga asing diambil untuk kerja yang boleh diisi oleh warga tempatan.

Kita bergantung kepada pekerja asing pada tahap yang melampau ketika ini. Boleh dikatakan semua tempat boleh ditemui warga asing bekerja termasuk di premis kerajaan (kafeteria). Mengapa perlu ambil pekerja asing untuk menjadi juruwang sedangkan kerja itu boleh dilakukan oleh orang kita. Apabila kita mengajar mereka selok-belok dunia perniagaan maka kesudahannya mereka ini akan mengambil alih perniagaan daripada pemilik asal. Sebab itu, banyak restoran dan kedai cuci kenderaan yang asalnya dimiliki rakyat tempatan kini diambil alih warga asing.

Contoh lain ialah industri jahitan kita yang bergantung kepada tukang jahit asing tanpa menyedari risikonya. Jika kita lihat warga asing dari Pakistan, ramai yang berniaga dalam sektor ini walaupun sebelum ini bermula sebagai tukang jahit. Kini warga Bangladesh mula diambil bekerja. Apabila mereka telah mahir selok-belok perniagaan ini mereka seperti warga Pakistan, mereka akan mula membuka kedai jahitan sendiri dan warga asing ini ada kelebihan dalam aspek harga kerana mereka boleh mengupah seberapa ramai rakan senegara untuk menyiapkan tempahan. Peniaga dan tukang jahit tempatan akan kalah bersaing nanti. Sepatutnya warga asing dihadkan dalam sektor pembinaan, pertanian dan perladangan sahaja.

Keempat: Rasuah kalangan segelintir penguat kuasa dan anggota keselamatan.

Kebanyakan warga asing datang dari negara yang kadar rasuahnya tinggi seperti Indonesia dan India. Mereka inilah yang merosakkan anggota beruniform kita sebenarnya kerana mereka tidak teragak-agak memberi rasuah untuk membolehkan mereka bebas berbuat apa sahaja seperti berada di negara sendiri. Mengapa warga asing boleh berniaga di premis sempurna tanpa gangguan, tetapi orang kita yang berniaga di kaki lima dan berniaga di tepi jalan dihambat seperti anjing oleh penguat kuasa?

Buatlah bertimbun-timbun undang-undang, namun ia tidak memberi kesan jika tiada penguatkuasaan yang tegas. Pada hemat saya, kita ada undang-undang dan peraturan tetapi kita tidak suka kuatkuasakan. Kita banyak bagi muka dan tolak ansur yang memakan diri sendiri. Percayalah jika pihak berkuasa dan pemimpin tidak tegas dalam tindakan penguatkuasaan, warga asing akan bermaharajalela.



Azman Anuar azman.anuar@utusan.com.myUtusan Malaysia Rencana 20140309
Tags: pati
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments