mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Isteri kaki auta

“SAYA tak percayakan awak lagi! Awak tipu saya. Awak khianati amanah saya," ucap Azrin kepada isterinya, Liya. Cukuplah tiga tahun Liya menipunya. Cukuplah. Dia tidak mahu lagi terlibat dengan ‘adegan lakonan’ si isteri yang tidak jujur kepadanya. Apatah lagi tidak amanah dalam menjaga kepentingan serta harta benda suami.

Kiriman setiap bulan RM5,000 tidak pernah Azrin abaikan untuk isteri dan anaknya. Harapannya dengan duit tersebut, isterinya akan bijak mengawal perbelanjaan setelah ditolak duit untuk pembayaran rumah dan kereta.

Tidak sekelumit pun Azrin mahu menyusahkan Liya. Atas dasar itulah, maka sebelum keputusan menyambung pelajaran di luar negara dibuat, dia telah memikirkan segala-galanya.

Tempo tiga tahun diambil dan Azrin bakal dianugerahkan ijazah kedoktoran yang diidam-idamkan. Tidak sabar menantikan saat itu. Dia mahu berkongsi saat-saat kegembiraan tersebut dengan isteri dan anak yang telah lama ditinggalkan.

Dia mahu membalas kembali ‘pengorbanan’ si isteri. Aduhai! Alangkah indahnya saat itu nanti.

Namun segala angan-angan itu punah dan lebur. Kepulangan Azrin seketika untuk menguruskan persediaan membawa Liya dan anaknya, Daniel, membawa seribu kejutan buatnya.

Rupa-rupanya pelbagai perkara berlaku di belakang Azrin. Isteri yang disangkanya menjaga segala amanah yang diberikan kepadanya, tetapi tidak begitu. Malah lebih mendukacitakan, isterinya juga seorang yang cukup licik, hatta sanggup menipu ibu Azrin.

Ternyata kepulangannya telah membongkar segala rahsia. Patutlah setiap kali Azrin pulang seketika, Liya sering menolak ajakan Azrin untuk bermalam di rumah yang dibelinya. Apabila ditanya tentang kereta yang dibeli, ada sahaja alasan yang diberikan Liya.

Bahkan Liya memberikan alasan biarlah Azrin duduk sahaja di rumah ibu bapanya agar Azrin tidak penat untuk mengemasnya.

Maklumlah, selama ditinggalkan Azrin, Liya dan anaknya memang ditinggalkan ke rumah ibu bapa Liya demi keselamatan Liya. Rumah tersebut sudah lama tidak dikemaskan. Itu alasan Liya.

Ternyata keputusan yang dibuat itu salah! Rumah tersebut bukan sahaja tidak diduduki mereka, bahkan telah dilelong oleh pihak bank kerana bulanannya tidak pernah berbayar. Begitu juga dengan nasib kereta yang dibelikan untuk kemudahan Liya.

Azrin mula terfikir, apa jadi dengan duit kiraimannya setiap bulan itu? Sebagai suri rumah, berbaki RM3,000 sudah cukup bagi Liya dan anaknya. Bahkan Azrin juga mengirimkan wang untuk ibu mertuanya, RM200 setiap bulan. Apa lagi yang kurang sehinggakan rumah terpaksa dilelong dan kereta ditarik.

Lagi membuatkan Azrin ‘angin’ apabila ditanya, tiada sepatah jawapan pun yang diberikan. Hatinya terus terbakar apabila mendapat tahu Liya pernah mengeluarkan duit daripada akaun ibunya sebanyak RM2,000. Semua ini berlaku ketika ibu Azrin meminta bantuan Liya mengeluarkan duit di mesin ATM. Namun Liya memberitahu duit dalam akaun ibunya hilang dan tidak boleh dikeluarkan. Namun hal ini terbongkar apabila abang sulung Azrin membuat semakan di bank dan mendapati ada seseorang telah mengeluarkan duit dengan jumlah tersebut. Azrin bingung dan keliru. Apa yang harus dilakukannya?



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140312
Tags: auta, isteri
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments