mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jangan pernah berputus harapan

SEORANG ibu muda belum mencecah umur 30 tahun dan hasil perkahwinannya dikurniakan seorang anak yang telah berumur lima tahun. Mereka berkahwin atas dasar suka sama suka. Ketika anaknya berumur setahun, suaminya mula buat perangai dan berhenti kerja.

Demi kelangsungan hidup, wanita itu membuka perniagaan. Oleh kerana si suami malas bekerja, dia telah mengambil duit hasil perniagaan isterinya. Ini menyebabkan si isteri hilang pertimbangan. Dia telah menghalau suaminya. Perbuatannya itu menimbulkan kemarahan si suami dengan ugutan tidak akan melepaskan isterinya itu, sebelum keluar dari rumah.

Perpisahan itu tidak sedikitpun terkesan di hati si isteri kerana sepanjang tempoh perkahwinan mereka, dialah yang membayar duit rumah dan menyara keluarga. Malah perbuatan suaminya mengeluarkan wang simpanan isteri dengan meniru tandatangan isteri, sukar dimaafkan.

Isteri tidak membuat laporan polis tentang tabiat buruk si suami. Namun, selepas lebih enam bulan, barulah dia membuat permohonan untuk bercerai. Disebabkan dia yang menghalau suaminya, peguam menasihatkannya memohon untuk bercerai secara fasakh, sedangkan dia boleh memohon taklik kerana suami tidak memberi nafkah kepada mereka dua beranak.

Semasa saya bertemu wanita itu, pemohonan fasakhnya telah berpanjangan selama lima tahun. Dia merasakan suaminya secara sengaja ingin menyiksanya dan tidak akan menceraikannya.

Si suami pula telah kembali tinggal bersama ibu bapanya dan itu menyebabkan permohonan isteri perlu dibuat secara silang bidangkuasa. Suami selama tempoh lima tahun tidak pernah memberi nafkah kepada isteri dan anaknya.

Wanita ini tambah tertekan kerana dia telah bertemu lelaki lain yang mahu memperisterikannya dan membahagiakannya tetapi hasrat untuk berkahwin tidak mungkin berlaku kerana statusnya, masih isteri orang.

Wanita itu juga mendapati peguam dari Jabatan Bantuan Guaman selalu menangguhkan kesnya tanpa pengetahuan dan perkara ini menimbulkan kemarahannya. Malah rasa marah itu juga dipanjangkan terhadap mahkamah syariah kerana terlalu lama untuk memutuskan kesnya.

Dalam tangisnya dia berkata, “Prof. saya hendak kahwin, saya muda lagi dan saya perlukan suami untuk menjaga saya. Anak saya perlukan ayah yang boleh mendidiknya. Saya mahu rasa bahagia." Balas saya, “Saya tidak mampu membantunya kerana memfasakhkannya daripada suaminya bukan kuasa saya tetapi kuasa mahkamah."

Seusai didengari perkataan bersabarlah, lantas wanita itu menjerit dan berkata, “Saya letih bersabar. Memang Undang-undang Islam tidak adil. Memang mahkamah syariah lembab dan tidak adil. Peguam saya pun tak guna."

Saya mengajaknya beristigfar dan mengingati Allah SWT. Ini semua dugaan Allah. Setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Lalu tangis wanita itu, “Saya sudah tidak tahan lagi…saya tidak tahan lagi. Saya tidak bahagia dengan suami saya dan dia siksa saya dengan melambatkan permohonan saya supaya saya tidak boleh berkahwin. Dai seronok melihat saya menderita!"

Saya dapat merasakan penderitaan wanita itu. Tetapi saya tidak berupaya membantunya. Sama seperti saya tidak dapat membantu seorang isteri yang kehilangan suaminya dalam satu kemalangan. Jika saya anjurkan supaya dia bersabar, dia pasti akan mempersoalkan jika situasi sama berlaku ke atas saya.

Dalam kes wanita yang suaminya menghilangkan diri tanpa nafkah untuknya dan anak, mungkin anak dibesarkan dengan ibunya mencemuh ayahnya. Anak mungkin tiada rasa sayang kepada ayahnya kerana ayahnya tidak pernah ada di sisinya semasa ia sangat memerlukannya.

Namun dalam kes ayah atau suami hilang, sama ada dalam kemalangan atau kematian, anak-anak akan teramat rindu ingin berjumpa dan menyatakan kepada ayahnya betapa mereka amat menyayanginya. Rasa rindu yang tidak dapat diceritakan banyak memberi kesan kepada anak.

Bagi isteri, kehilangan suami tersayang akan dirakam dengan semua kenangan manis dan menarik serta penuh kasih sayang. Namun bagi wanita yang ‘ditinggal’ suami akan merasa jemu dan jelak dengan semua orang yang tidak dapat memahaminya dan tidak dapat merasa kesusahannya.

Walau bagaimanapun keadaanya, ia akan memberi kesan kepada isteri dan anak-anaknya. Dalam kedua-dua keadaan di atas, jika kedua-dua isteri itu bangun malam dan bersolat hajat dan memohon dikuatkan imannya untuk menerima ujian Allah SWT, itulah yang terbaik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Yang pasti, daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita kembali.



Utusan Malaysia Bicara Agama 20140312
Tags: harapan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments