mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Memohon hujan

MEMANDANGKAN hujan tidak turun dan kemarau terik mula berlaku sewajarnya kita melihat alternatif Islam, antaranya istighfar dan solat Istisqa’. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu. (Nuh: 10-11)

Sayyid Qutub berkata: “Beliau seterusnya merangsangkan kegemaran dan minat mereka supaya mendapatkan rezeki yang mewah daripada sumber air hujan yang lebat yang menjadi idaman mereka, iaitu air hujan yang menumbuhkan tanamam-tanaman dan mengalirkan sungai-sungai.

Beliau juga menjanjikan mereka dengan satu rezeki yang lain, iaitu rezeki mendapat zuriat daripada anak-anak lelaki yang amat disukai mereka dan rezeki harta kekayaan yang sentiasa dicari dan diidamkan mereka."

Berdasarkan nas-nas di atas jelas menunjukkan betapa perlunya umat manusia terhadap air dan dengannya perjalanan kehidupan menjadi harmoni, sejahtera dan seterusnya mengecapi pelbagai bentuk kenikmatan bersumberkan air.

Dari segi bahasa, Istisqa’ adalah perkataan Arab yang berasal daripada perkataan (ya qa sa) yang bermaksud, ‘menyiram atau memberi minum’. Oleh itu, Istisqa’ bermaksud meminta air atau hujan.

Dari segi istilah. Istisqa’ membawa maksud meminta diturunkan hujan daripada Allah SWT ketika manusia sangat memerlukannya dengan sifat yang khusus (tertentu), iaitu dengan solat, khutbah, istighfar dan bertahmid.

Ia disyariatkan apabila berlaku kemarau. Ia sunat dilakukan apabila ada sebab tersebut dan tidak sunat lagi apabila hujan turun atau mata air mengalir kerana sebab-sebabnya telah luput.

Dalil pensyariatan Istisqa’ yang bersabit dengan nas dan ijmak. Antaranya:

Pertama: Surah Nuh ayat 10 hingga 12 ini jelas menunjukkan kelebihan beristighfar sehingga diturunkan hujan yang boleh menjadi sumber kehidupan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah.

Kedua: Hadis Rasulullah SAW yang masyhur seperti riwayat Anas di mana manusia berada dalam keadaan kemarau pada zaman Rasulullah SAW dan masuk seorang lelaki dan berkata ketika baginda sedang berkhutbah: “Hai Rasulullah! Telah binasalah binatang ternakan dan kami bimbang kami juga akan binasa. Tolong doalah kepada Allah untuk diberi minum kepada kami. Lantas Rasulullah SAW segera mengangkat kedua tangannya seraya berdoa: “Ya Allah turunkanlah hujan dengan selebat-lebatnya dalam keadaan sejahtera dan selamat hingga ke hari kiamat."

Selepas itu, turunlah hujan selama seminggu. Hadis ini jelas menunjukkan pensyariatan Istisqa’.

Ketiga: Amalan para sahabat. Antaranya:

Saidina Umar pernah meminta kepada Abbas bin Abdul Mutallib memohon hujan lantaran hubungan yang begitu akrab dengan Baginda SAW sebagai bapa saudara dan juga kesolehan yang ada padanya.

Muawiyyah bin Abi Suffian pernah memohon daripada Yazid bin al-Aswad supaya berdoa meminta hujan. Lantas turunnya hujan. Ini juga dilakukan oleh ramai pemimpin umat Islam melalui tokoh-tokoh yang berwibawa di sepanjang zaman.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Utusan Malaysia Bicara Agama 20140314
Tags: doa, hujan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments