mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pelaburan Tabung Haji (TH) tidak patuh syariah?

BARU-BARU ini penulis ada menerima pertanyaan daripada seorang rakan mengenai status pelaburan Tabung Haji (TH) yang dikatakan tidak patuh syariah. Agak memeranjatkan juga apabila ditanya betulkah pelaburan TH 2013-2014 adalah tidak patuh syariah atau dalam bahasa kasarnya adalah haram?

Menyirap juga darah penulis dibuatnya. Terdetik di benak hati penulis persoalan kenapa pula tiba-tiba dibangkitkan isu halal haram pelaburan TH di kala baru sahaja TH mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 8 peratus (%) kepada para pendepositnya?

Adakah dengan begitu mudah organisasi Islam terbesar dan paling berjaya di dalam negara dan menjadi contoh kepada dunia yang turut mempunyai panel syariahnya sendiri meremehkan soal halal haram dalam setiap pelaburan yang dibuatnya?

Sebagai respon kepada persoalan rakan penulis itu, penulis hanya berkata masa diperlukan untuk membuat sedikit bacaan dan kajian sebelum memberikan respons berkaitan isu ini. Itulah jawapan terbaik yang dirasakan penulis kerana bukan mudah untuk tergesa-gesa mengeluarkan pendapat dalam satu isu yang besar seperti ini. Silap haribulan penulis mungkin terjebak dalam dosa fitnah. Mohon dijauhkan Allah SWT.

Rakan penulis tadi memberikan maklumat yang dipetik daripada sebuah laman blog yang telah menyebabkan beliau ragu-ragu dengan pelaburan TH. Puncanya adalah disebabkan oleh penggunaan kaedah penyaringan sekuriti yang baharu oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang dikeluarkan pada 29 November 2013 yang lalu.

Pelaksanaan kaedah baharu ini dengan memasukkan tiga kriteria penyaringan telah menyebabkan berlakunya penafsiran semula ke atas sekuriti-sekuriti yang terdapat di Bursa Malaysia. Natijahnya, banyak syarikat di Bursa Malaysia yang dahulunya patuh syariah kini telah bertukar statusnya kepada tidak patuh syariah. Ini kerana syarikat-syarikat ini telah terkeluar daripada senarai sekuriti patuh syariah kerana tidak melepasi kriteria baharu tersebut.

Keadaan ini turut memberikan kesan kepada syarikat-syarikat yang dilabur oleh TH yang mana ada syarikat-syarikat tersebut dulunya patuh syariah tetapi sekarang tidak lagi. Justeru, masalah inilah yang dijadikan persoalan sama ada pelaburan TH dalam syarikat-syarikat tidak patuh syariah tersebut dibolehkan syariah atau sebaliknya?

Bagi menjawab persoalan ini, penulis telah mendapatkan pandangan daripada seorang rakan daripada Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia, iaitu Prof. Madya Dr. Azizi Abu Bakar yang mempunyai kepakaran dalam bidang muamalat Islam. Respons pertama beliau ialah apabila ramai orang ingin menunjuk kehebatan diri tetapi tidak terlibat secara langsung dengan penganalisisan sesuatu isu daripada pelbagai sudut, maka macam-macam dakwaan yang kurang tepat dikeluarkan.

Sebaik-baiknya sebelum menulis sesuatu dan disebarkan pula kepada orang awam, perlulah diselidiki sedalam-dalamnya isu tersebut. Hal seperti ini dibimbangi akan mendatangkan permasalahan dan kecelaruan kepada orang awam.

"Dalam konteks pelaburan TH dalam syarikat-syarikat yang dulunya patuh syariah dan kemudiannya terkeluar daripada senarai tersebut adalah dibolehkan oleh syarak. Memang ada kaedah fiqh yang menjelaskan bahawa harus untuk menunggu dalam sesuatu tempoh sebelum mengambil semula modal pelaburan yang dibuat ke dalam syarikat-syarikat tersebut", ujar Dr. Azizi.

Ujar beliau lagi, pelaburan dalam syarikat yang bertukar status selepas melabur adalah dibolehkan apatah lagi dalam keadaan jika syarikat tersebut mengalami kerugian. Dalam keadaan ini kita boleh menunggu sehingga dapat semula modal pelaburan tersebut.

Selain penjelasan daripada beliau, penulis juga memuji tindakan pihak TH yang awal-awal lagi telah menjelaskan perkara ini dalam laman portal rasmi miliknya. Dalam kenyataannya, TH telah pun mengambil tindakan yang proaktif dengan melakukan perbincangan dengan syarikat-syarikat yang terkeluar daripada senarai patuh syariah tersebut.

Tujuannya adalah bagi memastikan bahawa ada usaha dilakukan oleh syarikat-syarikat tersebut untuk kembali disenaraikan sebagai patuh syariah dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan komitmen TH melalui Jabatan Pelaburan, Panel Pelaburan, Panel Syariah dan Lembaga Pengarah TH yang pada setiap masa akan memastikan setiap pelaburan yang dibuatnya sentiasa mengikut hukum pelaburan Islam. Kedudukan ini jelas menunjukkan bahawa TH sentiasa komited bagi memastikan pelaburannya sentiasa patuh syariah. Justeru tidak timbul persoalan sama ada pelaburan TH tidak patuh syariah.

Ada dua perkara yang boleh dipelajari daripada isu ini. Pertama, jika kita menerima apa-apa maklumat atau berita, hendaklah kita selidiki terlebih dahulu sumber, kebolehpercayaan dan kesahihan maklumat tersebut. Perkara ini bersesuaian dengan konsep ‘tabayyun’ dan diperjelaskan melalui firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud; "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpa suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan menyesal atas perbuatanmu itu."

Kedua, dalam memperkatakan sesuatu isu adalah baiknya jika kita bertanya kepada mereka-mereka yang arif dan pakar dalam bidang-bidang tersebut. Jika kita tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang sesuatu perkara janganlah kita memperkatakan tentangnya. Lebih baik kita diam daripada berkata-kata yang boleh menimbulkan fitnah. Justeru, kepada semua pendeposit TH, yakinlah bahawa setiap pelaburan TH adalah patuh syariah dan selari dengan kehendak Islam.

*DR. RAM AL JAFFRI BIN SAAD ram@uum.edu.my ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam dan Penyelidik Utama Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Utusan Malaysia Rencana 20140316

Tags: pelaburan, syariah, tabung haji
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments