mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Manusia sedang diuji

PADA 8 Mac lalu, ketenangan dan kedamaian rakyat Malaysia dikejutkan dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Kejadian ini benar-benar menyentap perasaan rakyat Malaysia, khususnya ahli keluarga penumpang dan warga Penerbangan Malaysia (MAS).

Selama 37 tahun, selepas peristiwa di Tanjung Kupang pada 1977, MAS tidak pernah lagi melalui saat seperti ini. Keselamatan, keselesaan dan keyakinan kepada MAS tidak pernah tergugat dan rakyat begitu bangga dengan perkembangan yang berlaku dalam MAS, terutama penggunaan pesawat yang canggih daripada segi sains dan teknologinya.

Begitu pun, terdapat banyak suara-suara perbualan, sama ada di pejabat, bilik kopi dan laman media sosial yang melukakan dan mengguris hati mereka yang terlibat, terutama ahli keluarga mangsa. Ternyata ramai yang tidak dapat menyingkap tabir hikmah di sebalik peristiwa, hatta orang-orang yang berpendidikan agama turut menyebarkan berita, pandangan, ulasan, spekulasi yang tidak pasti kebenarannya.

Malahan paling mengguris hati ialah, apabila mengaitkannya dengan musibah, balasan Allah dan dosa. Betapa manusia hari ini, berada dalam kegelapan mata hati dan akal yang tidak dapat menyingkap hikmah di sebalik peristiwa. Sebaliknya, lebih bersifat untuk menghukum, berburuk sangka dan mengintai-ngintai kelemahan orang lain.

Sedangkan dalam surah al-Hujurat ayat 11, jelas menyatakan bahawa sifat tersebut adalah sifat orang fasik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) kemungkinan puak lelaki yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain dan janganlah pula kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan) tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, (maka) amatlah buruk gelaran nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman. (Ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya), maka merekalah orang yang zalim.


BERSERAH hanya kepada Allah SWT. - Gambar hiasan
Ujian

Menerusi peristiwa ini, sebenarnya manusia sedang diuji tahap keimanan, kesabaran dan keikhlasan. Ujian ini bukan sahaja kepada keluarga, rakan dan warga MAS serta pemimpin, tetapi seluruh manusia terutama kepada individu yang selama ini mendakwa diri mereka adalah paling beriman, berpengetatahuan agama, kuat ibadatnya dan teguh keyakinannya kepada konsep qada’, qadar dan takdir.

Namun, apabila merujuk kepada tingkah laku, tulisan, ulasan dan pandangan yang tersebar dalam media sosial, ternyata betapa ramai manusia yang kecundang dalam ujian ini tanpa mereka menyedarinya. Kepercayaan kepada konsep qada’ dan qadar hanya terlekat di mulut dan ucapan, tetapi tidak tersemat di hati dan di jiwa.

Nyatalah firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 77 yang bermaksud: Akibatnya Allah menimpakan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janijkan kepada Allah dan juga mereka sentiasa berdusta.

Oleh itu, setiap ujian dan peristiwa yang dilalui, hendaklah menerimanya dengan penuh keinsafan, kesabaran, keimanan dan taqarrub kepada Allah SWT. Bukan dengan cara menghina, mengejek-ejek orang lain dan merasakan diri kita adalah baik di sisi Allah SWT sehingga kita tidak diuji seperti itu. Ungkapan seorang penyair Arab yang bermaksud:

Jika batin dan lahir seseorang mukmin itu sama

Hidupnya mulia dunia akhirat menerima sanjungan dan puja

Kalau yang lahir dengan yang batin pula berbeza

Tiadalah sanjungan, malah hidup payah penuh sengsara

Keihklasan hati dan doa yang dimakbulkan

Senjata ampuh

Dalam melalui saat-saat getir ini tiada senjata yang paling ampuh untuk merawat jiwa yang gelisah dan gusar selain daripada pergantungan kita kepada Allah SWT. Pergantungan dan pengharapan dimanifestasikan dalam bentuk doa, solat dan taqarrub kepada-Nya.

Ternyata hikmah ini terserlah apabila seluruh rakyat Malaysia yang Muslim mengadakan solat hajat dan berdoa agar MH370 ditemui dalam keadaan selamat. Keutamaan berdoa ini disebut oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud: Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku memperkenankan permohonan orang yan berdoa kepada-Ku.Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa dalam kebenaran.

PROF.MADYA DR. FARIZA MD. SHAM ialah Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Utusan Bicara Agama 20140319

Tags: manusia, ujian
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments