mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kelainan seni bina masjid di AS

APABILA agama Islam tersebar di luar Tanah Arab mulai abad ke-7, ia turut membawa bersamanya satu garis panduan baharu dalam pembinaan masjid atau premis untuk tujuan penyebaran agama Islam.

Pembinaan masjid baharu itu, walaupun mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh agama tetapi seni binanya banyak dipengaruhi oleh norma-norma estetik tertentu yang mengambil kira keadaan iklim, bekalan bahan binaan, teknik binaan dan cita rasa masyarakat setempat.

Tidak hairanlah, ada sesetengah masjid memerlukan halaman terbuka dan tidak kurang juga yang berkehendakkan sebuah dewan berbentuk kubah yang tertutup.

Malahan, ada juga struktur binaan masjid yang diukir dengan batu, batu-bata atau plaster sehingga meninggalkan kesan ukiran yang cantik.

Begitulah juga dengan kewujudan masjid-masjid di Amerika Syarikat (AS). Sepanjang dua abad yang lalu, pembinaan masjid banyak dipengaruhi oleh nilai estetika yang berasaskan tempat asal pendatang Muslim.

Pada asasnya, tujuan awal tempat ibadat Muslim dibina di AS adalah sebagai satu cerminan terhadap perjuangan hamba Muslim terbabit dalam mendapatkan kebebasan.

Ini adalah berasaskan kepada hasil penyelidikan oleh Pentadbiran Progres Pekerja pada 1940-an. Laporan oleh Malcolm Bell menyatakan bahawa pekerja mengambarkan bagaimana usaha berterusan ibu bapa mereka membina sebuah tempat berkumpul (musollah) walaupun ia sering menjadi sasaran tuan (majikan) mereka.

Terawal


Gambar Ehsan Muzium Kesenian Islam Malaysia

Antara masjid yang paling awal wujud di AS adalah masjid Biddeford yang dibina oleh masyarakat Albania pada 1915. Sama juga pada 1926, sekumpulan bangsa Tatar dari Poland membina sebuah masjid di Brooklynn, New York.

Pendatang Muslim (bangsa Tatar) itu telah membeli sebuah gereja di New England yang bakal dirobohkan dan mereka menukarkannya kepada masjid pada 1931.

Pada peringkat awal, masjid dibina dengan mempunyai sebuah ruang bawah tanah yang digunakan sebagai tempat perlindungan pada musim sejuk tetapi hari ini, masjid itu dibina dengan mempunyai kubah pusat dan empat menara di setiap sudut bangunan masjid.

Menurut statistik oleh Majlis Perhubungan American-Islam di Washington DC (2001), jumlah masjid telah dibina sebelum tahun 1950-an adalah sekitar dua peratus sebelum mula meningkat dengan mendadak selepas tahun 1970-an dan hari ini, hampir setiap bandar utama di AS mempunyai masjid.

Statistik itu menunjukkan bahawa 55 peratus daripada masjid-masjid di AS itu adalah dibeli dan sudah pasti seni binanya tidak mengikut keutamaan yang digariskan dalam agama Islam.

Bagi masjid yang dibina adalah cerminan hasil gabungan beberapa latar belakang masyarakat, budaya atau etnik pendatang Muslim di daerah itu. Contohnya bangunan Pusat Islam di Washington DC yang diilhamkan daripada seni bina kaum Mamluk di Mesir dan masjid itu telah dirasmikan oleh Presiden Dwight D. Eisenhower pada 28 Jun 1957.

Selain itu, masyarakat Islam Amerika dan komuniti diplomatik di Washington telah memainkan peranan penting dalam mendapatkan dana bagi pembiayaan pembinaan masjid.

Generasi kedua

Bagaimanapun, masjid-masjid yang dibina oleh generasi kedua pendatang Muslim telah mengambil kira cita rasa yang lebih segar dengan nilai-nilai kontemporari.

Ia adalah usaha bagi memastikan wujudnya penyesuaian seni bina Islam antara keperluan komuniti Islam Amerika dengan masyarakat yang tinggal di sekitarnya. Contohnya adalah Pusat Kebudayaan Islam (ICC) di Manhattan yang dibina pada 1991.

Walaupun seni bina masjid masih mengekalkan pembinaan menara dan kubah, tetapi dua elemen seni bina tradisional itu tidak pernah menghalang keinginan arkitek generasi kedua pendatang Muslim itu untuk mewujudkan masjid bercirikan abad ke-21.

Sejajar dengan itu, masjid adab ke-21 di AS adalah lebih cenderung bagi mewujudkan satu jenama baru dalam seni bina Islam iaitu daripada nilai tradisional kepada bentuk yang lebih abstark.

Pendekatan baru itu akan mengurniakan kebanggaan dalam menjadi sebahagian daripada suasana kepelbagaian agama di AS berbanding mencipta Islam berasaskan etnik. Ia juga penting sebagai satu usaha mengenegahkan identiti Muslim Amerika Moden.



HASHNAN ABDULLAH Utusan Bicara Agama 20140320
Tags: masjid
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments