mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Halangan dalam berzakat

SEMUA orang maklum bahawa zakat adalah sesuatu yang wajib kepada umat Islam, namun apakah ada halangan atau perkara-perkara yang boleh menyebabkan terhalangnya kewajipan zakat kepada seseorang Muslim itu? Harap ustaz bantu jelaskan.

Jawapan

Alhamdulillah, semoga soalan yang saudara bangkitkan ini mampu memberikan jawapan yang mencerahkan pemahaman ramai umat Islam mengenai kewajipan terhadap harta kekayaan yang mereka miliki dan apakah halangan yang tidak menyebabkan mereka berdosa jika tidak menunaikan zakat, insya-Allah.

Sebelum itu, memang tidak dinafikan bahawa penulis sendiri pernah berhadapan dengan insiden seperti ini. Ada orang yang ingin menunaikan zakatnya, namun keinginan mereka itu terhalang atau dihalang oleh beberapa keadaan yang membelenggu diri mereka. Penulis teringat kala membuka kaunter zakat potongan gaji di sebuah kilang, ramai operator kilang berkenaan yang mengisi borang tetapi setelah ditaksir, didapati pendapatan mereka masih di bawah paras layak untuk mengeluarkan zakat.

Maka, penulis terpaksa menerangkan kondisi tersebut, kerana jika diambil juga dalam situasi mereka tidak cukup syarat, maka ia tidak akan menjadi potongan gaji itu ibadah zakat. Namun, apabila mereka masih beria-ia mahu membuat potongan gaji, ia masih boleh diterima dan kala itu, ia sudah berubah menjadi ibadah sedekah yang sunat sahaja hukumnya.

Maka, mari kita telusuri apakah perkara-perkara yang boleh menghalangi seseorang itu daripada melaksanakan kewajipan zakatnya.

Pertama, zakat hartanya boleh terhalang dek kerana hartanya habis digunakan untuk memenuhi keperluan asasi bagi mereka yang menjadi tanggungan wajibnya di sisi syarak. Ini kerana, sudah menjadi kewajipan bagi seseorang itu untuk terlebih dahulu memberikan nafkah kepada tanggungan yang wajib di sisi agama Islam.

Siapakah yang wajib ditanggung itu? Mereka ialah ibu bapa (jika mereka tidak mampu atau tidak mempunyai harta bagi menanggung keperluan sendiri) serta anak dan isteri. Maka, jika seorang suami habis hartanya kerana menanggung anak dan isterinya, ketika itu tidaklah dia berdosa jika dia tidak mengeluarkan zakat.

Mutakhir ini, pihak institusi zakat misalnya Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mereka cipta kaedah penentuan kelayakan berzakat yang dikenali sebagai Had al-Kifayah (had minimum kecukupan) dan hanya mereka yang pendapatannya melebihi Had al-Kifayah dan melebihi nisab zakat sahaja wajib mengeluarkan zakat pendapatannya.

Kedua, jika harta itu tertahan di pihak yang lain. Misalnya, orang yang hartanya dirampas oleh orang lain (seperti Israel merampas harta umat Islam di Palestin) atau hartanya tertahan kerana sesuatu syarat yang menghalangi dirinya menikmati kekayaannya, misalnya di dalam simpanan KWSP atau LTAT atau di mana-mana institusi yang serupa.

Maka, dalam keadaan berkenaan tidaklah berdosa jika seseorang itu tidak mengeluarkan zakatnya, kerana ketiadaan sempurna milik ke atas harta berkenaan telah menggugurkan salah satu syarat wajib zakat ke atas dirinya.

Memberi hutang

Ketiga, jika dia ada memberikan hutang kepada orang dan orang yang berhutang itu tidak menjelaskan kembali hutangnya kepada orang yang memberi hutang (penghutang). Maka, sebahagian fuqaha menyatakan, hal ini boleh melepaskan si penghutang daripada zakatnya sehinggalah dia memperoleh kembali hutangnya.

Keempat, zakat boleh terhalang apabila harta yang disiapkan untuk dizakatkan tiba-tiba musnah, walaupun saat itu haulnya sudah sangat hampir. Memang ada khilaf di sini, namun penulis sendiri lebih cenderung menyatakan seseorang itu telah terlepas daripada zakatnya, kerana hartanya rosak sebelum sampai masanya ia dizakatkan.

Namun, jika sudah sampai haul dan dia dengan sengaja melewat-lewatkan zakatnya tanpa alasan yang diharuskan syarak sehingga binasa (seperti kecurian), maka tidaklah terlepas kewajipan zakatnya. Maknanya, andai dia masih memiliki harta yang mencukupi jumlah zakatnya seperti mana sebelum ia binasa, wajiblah ia dikeluarkan juga dengan segera.

Contoh, katakan zakat yang binasa itu bernilai RM1,000 dan Si B masih ada harta sebanyak itu, maka dia wajib menyegerakan gantian zakatnya sebanyak RM1,000. Namun jika tidak memiliki harta yang mencukupi, katakan zakatnya yang binasa itu berjumlah RM10,000, maka wajib bagi dirinya mengusahakan sedikit demi sedikit untuk menggantikannya kembali,. Ini kerana, ia adalah kewajipan zakat yang masih tidak terlepas ke atas dirinya.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang kemusykilan zakat sila emelkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau boleh sahaja layari media sosial LZS, www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my atau www.facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS



Utusan Bicara Agama 20140321
Tags: zakat
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments