mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kerja kerajaan biar berkat

SEJAK negara kita belum merdeka lagi, orang Melayu memang gemar berkerja dengan kerajaan, walaupun sekadar jadi pion (budak pejabat).

Zaman sekarang, budaya itu terus melekat pada orang Melayu, walaupun gaji di syarikat swasta lebih mahal! Untuk mengurangkan penguasaan Melayu dalam sektor awam maka Suruhanjaya Perkhidmatan Awam menjalankan kempen menarik bukan Melayu menyertai sektor kerajaan.

Kalau hendak dibandingkan sektor swasta dengan sektor kerajaan, ada keistimewaan ketara yang menarik orang Melayu hendak bekerja kerajaan, antaranya elaun perumahan, elaun kos sara hidup, imbuhan tetap khidmat awam, kenaikan gaji setiap tahun, kemudahan pinjaman komputer dan kenderaan, cuti tahunan mengikut kelayakan, cuti bersalin, kadar pinjaman perumahan rendah, pencen, bersara pada umur 60 tahun, peluang kenaikan pangkat, kemudahan melanjutkan pelajaran, peluang berkursus dari semasa ke semasa, dan banyak masa bersama keluarga.

Dengan pelbagai kemudahan yang tersedia untuk penjawat awam, tak patutlah kalau masalah rakyat tidak dilayan dan diberi bantuan dengan kadar segera.

Buatlah bancian kepada rakyat, kita akan tahu hasilnya. Tahap perkhidmatan penjawat awam ada kemajuan tetapi belum capai tahap terbaik.

Kerap kali dilihat arahan pemimpin atasan disambut dengan gerak kerja yang perlahan. Misalnya gerakan kempen kerajaan menurunkan harga barangan sehingga 70 peratus lebih murah di pasaran bagaikan disambut dengan sambil lewa.

Kempen

Banyak peniaga tidak mempedulikan kempen itu kerana mereka tahu tiada apa tindakan jika mereka tidak menyertai kempen itu.

Semasa harga barangan naik pun, tiada apa-apa tindakan tegas diambil oleh pihak kerajaan apatah lagi penguat kuasanya.

Mujurlah banyak isu melanda negara sekarang dengan kehilangan pesawat MAS MH370, jerebu dan masalah catuan air maka beberapa isu hangat sebelum ini tenggelam. Ia bukan selesai cuma lupa untuk seketika.

Kadangkala kalau berkunjung ke kaunter perkhidmatan bukan jabatan utama (bukan semua) tetapi hendak dapatkan layanan pun mengambil masa dan tiada kesungguhan untuk membantu. Ada juga perangai yang buat selamba bila kita ingin membuat pertanyaan.

Penjawat awam sebenarnya tak terlepas daripada tanggungjawab dan amanah yang cukup berat daripada seluruh rakyat Malaysia.

Ingatlah wang gaji, elaun, dan lain-lain yang dibayar kepada penjawat awam ialah hasil cukai daripada separuh penduduk negara ini.

Kakitangan awam kena fikirkan juga keberkatan wang gaji yang digunakan untuk menyara isteri di rumah, ibu dan bapa di kampung, pendidikan anak-anak di institusi pengajian.

Kalau penjawat awam tidak menjalankan tugas seperti yang diamanahkan, apa makna wang gaji itu?

Bukan pelik bila penjawat awam buat kerja sambil lewa, lepak begitu lama di warung kopi atau kafe pada waktu kerja, buat kerja sampingan sampai menjejaskan kerja hakiki, mengguna harta benda pejabat untuk kerja peribadi, mengelat guna sijil cuti sakit dan pelbagai alasan lain.

Pengalaman 10 tahun bertugas di jabatan berkanun, saya dapat melihat perangai yang menjadi kebiasaan penjawat awam suka berborak di kafe, bila masuk kerja - baca akhbar, layar internet, main game, kerja buat ala kadar saja.

Jadi macam mana rezeki itu nak ada keberkatan?

Tidak ramai yang sedar hal ini. Apa yang mereka tahu ialah nak cari silap orang lain, untuk menutup kejahilan sendiri, mula salahkan harga barang naik, minyak naik dan macam-macam yang tak kena.

Bonus

Tapi apa yang penjawat susah hati, saban tahun, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam akan berjuang untuk meminta bonus dan kenaikan gaji.

Soal kerajaan mahu beri bonus kepada penjawat awam takda hal. Tapi, produktiviti dan prestasi mereka macam itu juga.

Contoh klasik ialah bila kita berkunjung ke pejabat sekolah, ada kerani atau guru sekolah yang buat tak tahu melihat ibu bapa yang terpacak di depan kaunter. Mereka sibuk buat urusan sendiri. Nak bertanya pada ibu bapa pun payah.

Kepada penjawat awam, berikanlah perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kalau khidmat diberi bagus, takkan rakyat pertikaikan apa yang sepatutnya mereka terima sebagai imbuhan.

Sikap mereka inilah yang menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan. Kalau khidmat dan layanan penjawat awam ada kelas, rakyat tidak akan bising kalau mereka mahu meniaga kain, tudung atau kuih raya dalam waktu pejabat. Rakyat sedia memahaminya dan tutup mata.

Memang banyak orang bercakap, kalau nak senang, kerjalah dengan kerajaan. Kalau mahu kaya kerjalah dengan swasta. Tapi kalau ingin hidup mewah, berniagalah kerana 9 daripada 10 rezeki datangnya daripada perniagaan.



Azman Anuar azman.anuar@utusan.com.my: Utusan Rencana 20140323
Tags: berkat, kerajaan, kerja
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments