mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kewajipan anak terhadap ayah

DISEBUTKAN di dalam sebuah riwayat Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?"

Baginda menjawab, “Ibu kamu." Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?" Baginda menjawab lagi, “Ibu kamu." Dia menambah lagi pertanyaannya, “Kemudian siapa?" Baginda menjawab untuk kali yang ketiga: “Ibu kamu." Dia bertanya lagi, “Kemudian siapa?" Baginda menjawab, “Ayah kamu." (Riwayat Bukhari)

Berdasarkan mafhum hadis di atas, dapatlah kita fahami bahawa ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah. Lebih-lebih lagi syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu. Ini menunjukkan betapa besarnya kemuliaan dan tanggungjawab seorang anak kepada seorang ibu yang melahirkan dan membesarkannya sejak kecil.

Allah SWT berfirman, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkan dengan menanggung susah payah dan telah melahirkan dengan menanggung susah payah lagi." (Surah al-Ahqaf:15)

Jangan lupakan ayah

Di dalam al-Quran seringkali menyebut akan peranan seorang anak untuk berbakti dan berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya, iaitu termasuk ibu dan sama sekali tidak meminggirkan bapa. Perkataan ibu dan bapa sering didatangkan sekali, dan ia membawa maksud bahawa tanggungjawab seorang anak terhadap kedua-dua ibu bapanya tidak boleh dipertikaikan lagi.

Ibu tetap menjadi yang paling utama untuk kita berbakti kepadanya, cuma jangan diabaikan ayah. Kerana tanpa ayah maka tiadalah kita hadir di atas muka bumi ini.

Perintah untuk berbuat baik kepada kedua-dua orang tua ini termasuk semasa mereka masih hidup malah walaupun setelah mereka meninggal dunia. Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi‘ah As Sa‘idy r.a. berkata: Suatu ketika kami duduk di hadapan Rasulullah SAW. Kemudian tiba-tiba datanglah seorang laki-laki dari Bani Salimah lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah masih ada kebaikan yang boleh saya kerjakan untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapa saya setelah mereka meninggal dunia?"

Baginda menjawab, “Ya, masih ada. Iaitu dengan menyembahyangkan jenazahnya, meminta ampun buat kedua-duanya, melaksanakan wasiatnya setelah kedua-duanya meninggal dunia, menyambung tali persahabatan yang tidak boleh di sambungnya kecuali dengan kedua-duanya, dan memuliakan sahabat kedua-dua mereka." (Hadis riwayat Abu Daud)

Remaja dan ayah

Sinonim remaja hari ini suka mengaitkan ayah dengan ‘bank’. Kita hanya mencari ayah ketika dilanda kesempitan wang, dan ketika terdesak memerlukan pertolongan. Ketika semua kawan tidak mahu menghulurkan pertolongan, maka ketika itu baru kita akan menelefon ayah dan pulang ke kampung untuk menagih simpati dan wang ringgit daripada ayah.

Ketika semua orang seolah-olah sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada kita, ayah tetap berdiri teguh memberi sokongan serta tidak pernah meninggalkan kita.

Dahulu jika semasa kecil, ayahlah yang paling kita cari ketika tiba waktu petang. Kita jugalah yang paling mula-mula menunggu di depan pintu pagar rumah, menanti ayah pulang dari kerja, meminta ayah membawa kita bersiar-siar di perkarangan kampung sambil menaiki motosikal.

Bila tiba hujung minggu, kita jugalah yang mula-mula mendesak ayah supaya membawa kita berjalan-jalan makan angin di kampung atau kawasan percutian.

Tapi bila kita berjaya, kitalah orang yang pertama melupakan ayah. Ketika kita sudah miliki rumah besar, kereta kita dah mula penuh di garaj, ketika itu jugalah rumah yang terlalu besar itu terasa kecil untuk ayah. Maka kita menghantar ayah ke rumah orang tua, dengan alasan di sana ayah ada ramai kawan, malah ada jururawat’ yang boleh jaga makan minum ayah.

Berbakti sebelum ayah pergi

Kepada anak-anak yang masih punya bapa, hargailah dia sewajarnya. Sebesar mana pun kelemahan dan kekurangannya, lebih besar lagi jasa dan budinya. Dialah yang Allah pilih untuk menjadi ayah kita. Pilihan Allah tidak akan pernah salah. Dia yang terbaik untuk kita dan kita yang terbaik untuknya.

Sekalipun pahit yang diberi ayah, pahit itu hakikatnya adalah ubat yang merawat. Sekalipun pedih, itu bukan tanda benci. Itu kerana ayah punya cara tersendiri dalam mendidik dan menyayangi kita. Bahagianya sering tidak diucapkan dengan kata-kata, malah pujiannya jarang diluahkan kepada kita. Wahai anak, bersyukurlah kepada Allah dengan mengasihi dan berbuat baik kepada ayahmu selagi ayah masih ada.

Di sini saya ingin berkongsi satu doa daripada al-Quran yang mungkin boleh menjadi amalan buat kita semua, sebagai doa buat anak-anak, ibu bapa dan kaum muslimin.

Bacaan doanya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua-dua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan (hari kiamat)." (Surah Ibrahim : 40-41)

Dr. Zahazan Mohamed Utusan Rencana 20140323
Tags: anak, ayah, bapa, kewajipan
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments