mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Iktibar daripada al-Quran

ALLAH SWT berfirman kepada nabi dan rasul akhir zaman yang diutus untuk menebar rahmat ke seluruh alam dengan firman-Nya yang bermaksud: Kami menceritakan kepadamu (wahai Muhammad), kisah yang paling baik dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu. Dan sesungguhnya, engkau sebelum itu termasuk orang yang tidak mengetahui. (Yusuf: 3)

Daripada keterangan ini, dapat kita ketahui bahawa al-Quran itu mengandungi kisah-kisah yang menakjubkan daripada kisah-kisah benar orang-orang terdahulu. Yang sebahagian daripadanya adalah kisah-kisah para nabi dan rasul bersama umat mereka masing-masing. Kisah-kisahnya pula adalah yang penuh teladan atau iktibar sebagai pedoman dan panduan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu dan sebagai petunjuk serta rahmat bagi kaum yang beriman. (Yusuf: 111)

Kemudian dalam ayat lain, Allah SWT berfirman: Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir. (al-A’raaf: 176)

Dalam perumpamaan ada pelajaran dan tanda-tanda bagi orang-orang yang mahu berfikir. Jika mereka mahu memikirkan, maka mereka akan mengetahui. Dan bila mereka telah mengetahui, mereka pun akan mengamalkannya.

Ada pelajaran bagi orang yang berbuat baik dan ada pula bagi yang berbuat keburukan. Sesiapa yang melakukan perbuatan seperti orang yang sebelumnya, dia akan mendapat yang semisal dengannya. Orang yang berbuat baik akan mendapat kemuliaan, manakala yang berbuat kejahatan akan mendapat kehinaan.

Pelajaran

Di dalamnya juga ada pelajaran bahawa Allah memiliki sifat-sifat kesempurnaan dan hikmah yang agung, serta Dia sahajalah yang berhak diibadahi tanpa ada sekutu bagi-Nya.

Kisah, cerita, legenda atau yang seumpamanya memang selalu memberikan kesan menakjubkan bagi hati para pendengarnya. Terkadang seseorang akan lebih mudah memahami sesuatu dengan disampaikan kepadanya contoh peristiwa atau cerita.

Bahkan, sepertiga kandungan al-Quran itu terisi dengan kisah-kisah orang terdahulu, sama ada yang soleh, mahupun yang derhaka. Ini tidak lain adalah kerana rentetan peristiwa tersebut mampu memberikan contoh nyata dan pelajaran berharga kepada para pendengarnya.

Karya tulisan yang mengungkap kisah-kisah para nabi dan orang-orang terdahulu memang banyak. Namun amat sedikit daripada karya-karya tersebut yang benar-benar memuatkan hanya kisah-kisah yang sahih dan boleh diterima pakai. Iaitu kisah-kisah yang benar-benar diambil daripada wahyu baik al-Quran mahupun as-sunnah yang autentik.

Sebaliknya sangat banyak sekali buku-buku yang tersebar saat ini mengisahkan cerita-cerita para nabi ini bersumberkan hanya daripada kisah-kisah mitos, khayalan, mimpi, riwayat-riwayat isra’iliyat, mahupun hadis-hadis yang palsu. Sehingga akhirnya, masyarakat tertipu dan menganggap betul kisah yang pada itu, sedangkan hakikatnya adalah palsu dan tidak diketahui keabsahannya.

Mengagumkan

Kitab Qishahul Anbiyaa’ yang disusun oleh Al-Hafiz Ibnu Katsir ini adalah sebuah kitab sejarah yang sangat mengagumkan. Beliau memaparkan ulasan sejarah daripada manusia pertama, Adam hingga Nabi Isa a.s. Manakala sirah atau kisah Nabi Muhammad disusun dan disiapkan dalam kitab tersendiri secara berasingan.

Dalam menulis kitab ini, Ibnu Katsir menggunakan kaedah yang sah dan dipercayai. Beliau berpedoman pada penjelasan yang tertera di dalam al-Quran dan hadis-hadis mutawatir. Penulis tidak bersandar kepada hadis-hadis yang maudhu’ (palsu) dan hanya sesekali merujuk hadis-hadis yang daif sebagai dukungan atau sokongan tambahan, itu pun jarang sekali.

Sementara, riwayat-riwayat isra’iliyyat (riwayat daripada ahli kitab), beliau tampilkan secara jujur dengan menyebutkan statusnya sebagai kisah-kisah yang bersumber daripada isra’iliyyat. Sehingga para pembaca pun menjadi tahu, mana kisah yang berasal daripada al-Quran dan hadis yang sahih serta mana pula kisah yang bersumber daripada riwayat isra’iliyyat.

Buku Kisah Para Nabi karya Ibnu Katsir ini mengajak kita semua untuk menyelami dan menghayati pelbagai peristiwa di masa lampau agar dapat dijadikan ibrah (pelajaran) dan pedoman hidup sehingga kita mampu memilih jalan hidup yang selamat iaitu dengan mengikuti jejak-jejak para nabi dan orang-orang soleh, sekali gus menjauhi jalan-jalan dan perlakuan buruk para umat terdahulu yang derhaka. - Sumber Atsar Ent.


Utusan Bicara Agama 20140325

Tags: al-quran
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments