mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Membela kehormatan Muslim

SUATU hari seorang laki-laki dari Mesir melihat Abdullah bin Umar tengah duduk bersama para sahabatnya. Ibn Umar ialah seorang tokoh sahabat Nabi yang disegani.

Ahli Mesir pada masa itu sangat tidak berpuas hati dengan pentadbiran Usman bin Affan. Mereka berniat untuk menjatuhkan Khalifah ketiga ini. Justeru laki-laki Mesir ini menggunakan kesempatan ini menentusahkan beberapa perkara dengan Ibnu Umar.

Beliau berkata: “Wahai Ibnu Umar, aku hendak bertanya satu soalan. Benarkah Usman melarikan diri pada perang Uhud?" Ibnu Umar menjawab: “Ya."

“Benarkah beliau tidak hadir pada perang Badar?" Ibnu Umar kembali menjawab: “Ya."

“Benarkah beliau juga tidak hadir pada peristiwa Bai’atul-Ridwan?" Sekali lagi Ibnu Umar menjawab: “Ya."

Orang Mesir itu bangkit sambil bertakbir: “Allahu Akbar."

Semua kabar angin tentang keburukan Khalifah Usman telah disahkan. Kebencian ahli Mesir kepada Usman memang berpatutan.

Melihat sikap ini, Ibnu Umar tersedar bahawa soalan-soalan tadi bukan setakat soalan sejarah, akan tetapi bermotif politik. Justeru, Ibnu Umar terpanggil menjelaskan hakikat yang berlaku. Peristiwa-peristiwa tersebut jika diletakkan dalam konteks yang sebenar bukan menunjukkan keburukan Usman, malah memperlihatkan ketinggian darjatnya di sisi Islam.

Ibnu Umar berkata: “Kembalilah ke sini. Aku ingin menjelaskan perkara sebenarnya."

Beliau menjelaskan: “Usman memang melarikan diri pada perang Uhud. Namun aku bersaksi bahawa Allah telah memaafkan dan mengampuni dosanya." Ibnu Umar merujuk firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 155.

“Usman memang tidak menghadiri perang Badar, namun itu kerana beliau menjaga isterinya iaitu puteri Rasulullah yang tengah sakit. Rasulullah menjanjikan pahala dan bahagian seperti orang yang menghadiri perang Badar."

“Usman memang tidak menghadiri Bai’atul-Ridwan. Sebab Rasulullah telah mengutusnya ke Mekah. Andai ada orang lain yang lebih terhormat daripada Usman pada masa itu, nescaya Baginda akan mengutus orang itu. Bai'atul Ridwan berlaku selepas kepergian Usman. Rasulullah menjadikan diri baginda sebagai wakil Usman. Baginda bersabda: “Ini tangan Usman," lalu menepukkan tangan itu ke tangannya."

Dengan penjelasan ini, gambaran tentang Khalifah Usman berbalik 180 darjat. Apabila berita tentang beliau diletakkan dalam konteksnya secara sempurna, Usman ternyata tokoh yang sangat mulia di sisi Rasulullah SAW. Bukan seperti sangkaan buruk laki-laki Mesir itu sebentar tadi.

Ibnu Umar lalu berkata: “Sekarang, pergilah engkau dengan maklumat ini." Kisah ini diriwayatkan oleh al-Bukhari.

Teladan

Kisah Ibnu Umar dan laki-laki Mesir ini mengajarkan kita sikap berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan suatu berita. Terutama dalam konteks semasa apabila media sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Setiap orang bebas menyampaikan apa sahaja yang dikehendakinya.

Kekeliruan berlaku apabila sebuah berita disampaikan secara tidak sempurna ataupun diasingkan daripada konteksnya. Apatah lagi jika terdapat unsur kesengajaan daripada pihak tertentu untuk merosak imej seseorang ataupun kumpulan.

Pada masa yang sama, sikap Ibnu Umar menjadi teladan bagi setiap anggota masyarakat. Seseorang itu tidak boleh berpeluk tubuh melihat masyarakat dalam kekeliruan. Tuduhan palsu mesti dijelaskan kepalsuannya dan berita mesti dijelaskan kedustaannya. Sebab membela kehormatan Muslim merupakan kewajipan Muslim yang lain.

Rasulullah bersabda: “Siapa yang membela kehormatan saudaranya tanpa pengetahuan orang berkenaan, maka Allah akan menyelamatkan dirinya daripada api neraka pada hari kiamat." (al-Tirmizi)

Semoga Allah memberi kita kekuatan untuk mengamalkan adab mulia yang dicontohkan oleh sahabat Nabi SAW ini.  Wallahu a’lam.



Utusan Bicara_Agama 20140325

Tags: kehormatan, muslim
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments