mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Tuntut nafkah kerana dendam

BUKAN kita tidak pernah mendengar mengenai kisah-kisah tuntutan nafkah di mahkamah-mahkamah syariah. Perbicaraan dan persetujuan mengenai tuntutan nafkah yang perlu diberi oleh pihak suami kepada bekas isteri untuk menanggung anak-anak kadangkala memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Pada waktu itu tuntutan daripada bekas isteri merujuk kepada kemampuan bekas suami. Ada pula bekas suami enggan bersetuju dengan cadangan pembayaran nafkah yang dikemukakan dan sekiranya ada yang berpeluang untuk membayar, liat pula mereka untuk membayar nafkah yang telah ditetapkan.

Dari segi bahasa, nafkah bermaksud sesuatu yang dibelanjakan sehingga habis tidak tersisa, manakala menurut istilah ialah mengeluarkan belanja atau sara hidup kepada mereka yang wajib atas seseorang itu untuk membiayainya.

Biaya yang dimaksudkan ialah semua hajat dan keperluan pelajaran, makanan, ibadat, tempat tinggal dan sebagainya.

Hak nafkah yang wajib diberikan kepada isteri boleh dibahagikan kepada dua jenis, nafkah zahir dan nafkah batin (bagi dalam tempoh perkahwinan).

Semua pasti tahu, perceraian merupakan sesuatu yang amat digeruni oleh kaum wanita kerana perkara ini boleh memberikan kesan trauma dan gangguan psikologi di sepanjang kehidupan mereka.

Ini kerana implikasi perceraian memberi impak yang negatif jika ia dilakukan atas bukan kehendak atau kerelaan diri isteri berkenaan.

Menurut Pensyarah di Jabatan Psikologi dan Kerja Sosial, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial, Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia, Siti Azura Bahadin, bagi isteri yang tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada suami, akan terpaksa mengharungi kehidupan sendiri dan mengurus anak-anak di luar batas kemampuan mereka.

Berbeza bagi yang rela diceraikan pastinya akan meminta pampasan nafkah yang pelbagai seperti nafkah harta pencarian dan nafkah tertunggak yang tidak dilangsaikan oleh pihak suami.

“Pastinya selepas ini kisah turun naik mahkamah tidak akan habis dan timbul pula isu balas dendam yang bakal menjadi bahan serangan psikologi dan emosi kepada pasangan khususnya dalam pemberian nafkah.

“Isu nafkah selalu menjadi perbincangan sejak dahulu sehingga kini sama ada masih dalam perkahwinan mahupun setelah berlaku penceraian. Saya percaya masalah hanya berpunca dari hati manusia itu sendiri.

"Kalau hatinya ikhlas memperisterikan wanita itu dan faham tanggung jawab maka nafkah itu menjadi sumber keseronokan dan kebahagiaan dalam rumah tangga, jika sebaliknya ia menjadi onar dan penyakit hati seperti dendam, cemburu dan kedekut yang menjadi racun perosak kebahagiaan," jelasnya.

Kata Siti Azura, dalam Surah al-Talaq: ayat 7, Allah berfirman yang bermaksud, hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya.

Jelaslah menerusi ayat ini, Allah menegaskan hak seorang isteri untuk mendapat nafkah mengikut kadar kemampuan si suami.

Walaupun sudah berlaku penceraian hak nafkah untuk menyara anak-anak boleh dirunding dan dipersetujui bersama dan mendapat pengesahan daripada mahkamah.

“Andai kata si suami berkemampuan memberi RM1,000 bagi setiap anak yang ditinggalkan maka itu sahaja yang layak diterima si isteri. tetapi jika hanya RM100, contohnya maka itulah sepatutnya diberi.

“Isu balas dendam dan mahu berlebih-lebihan sehingga melukakan perasaan bekas suami harus dielakkan. Itu semua permainan syaitan dalam memanjangkan tali permusuhan sesama insan," tuturnya.

Jelas Siti Azura, begitu juga si suami, apabila diputuskan mahkamah untuk diberi nafkah pada anak-anak yang dijaga oleh bekas isteri maka hukumnya wajib memberi tanpa kompromi.

Ini kerana anak-anak tidak terputus haknya dalam mendapat nafkah zahir sama ada dari segi kewangan, bantuan peralatan sokongan mahupun kasih sayang.

Ia kekal sampai bila-bila seperti mana doa anak yang dipanjangkan hingga ke kubur ibu bapa.

Jelasnya, anggap sahaja pemberian nafkah itu sebagai sedekah jariah bagi membantu kehidupan kita di akhirat selain mendapatkan ihsan doa daripada anak-anak yang soleh dan solehah.

“Tidak perlu kedekut harta kerana rezeki yang kita dapat semuanya daripada Allah dan akan kembali pada-Nya. Sifat kedekut dan iri hati juga perasaan dendam hanya merosakkan diri," katanya.

Dalam pada itu dia turut menyarankan kepada golongan wanita agar harus pandai berdikari dari mula mendirikan rumah tangga dengan bijak menguruskan kewangan.

Mereka juga perlu belajar kemahiran-kemahiran tertentu sebagai sokongan di waktu kecemasan seperti diceraikan, selain mempelajari ilmu tentang hak dan nafkah seawal perkahwinan agar diri tidak ditipu dan dipermainkan.

Katanya, wanita perlu bersabar apabila berlaku perceraian dan minta bantuan daripada pejabat agama apa yang perlu dituntut dan selayaknya untuk anak-anak, biarpun selepas bercerai, nafkah untuk isteri oleh suami telah terputus namun tunggakan boleh dibuat melalui pihak mahkamah.

“Pihak suami kena tahu kewajipan memberi nafkah kepada anak adalah kekal dan tidak boleh diambil lewa," jelasnya.



Utusan Bicara Agama 20140327

Tags: dendam, nafkah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments