mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Batal pahala zakat

IBADAH zakat adalah rukun, namun saya khuatir di sebalik perlaksanaannya ia tidak diterima Allah SWT. Apakah ada perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala ibadah zakat kita? Harap ustaz bantu penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, semoga dengan soalan yang dikemukakan oleh saudara ini mampu memberikan jawapan kepada ramai orang yang mungkin sebelum ini, turut berkongsi persoalan yang sama, insya-Allah. Apa yang kita harapkan sangat-sangat, biarlah ibadah zakat diterima dan menjadi bekalan ke syurga, Amin.

Memang tidak dinafikan, ibadah zakat hakikatnya adalah sama sahaja dengan ibadah khususiyah yang lain, seperti solat, puasa dan haji yang mempunyai syarat wajib, sah dan batalnya. Namun, mungkin kerana ibadah zakat lebih kepada ibadah maliyyah (harta) dan bukannya badaniyyah (diri atau badan), maka jarang diperhatikan apakah perkara yang boleh mencacatkannya.

Oleh itu insya-Allah, jawapan yang cuba disuguhkan ini diharap dapat mengupas beberapa elemen yang boleh merosakkan ibadah zakat yang mungkin selama ini kurang diberikan perhatian.

Pertama, ibadah zakat boleh rosak jika ia dikeluarkan tidak kepada asnaf yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran (rujuk surah at-Taubah: 60). Memang fuqaha khilaf dalam isu ini, namun sebahagiannya menyatakan bahawa sesuai dengan roh zakat untuk menyantuni mereka yang berhak (mustahiq), maka memberikan zakat kepada yang bukan haknya, telah menyebabkan pemberian itu tidak menjadi zakat di sisi Allah SWT.

Apatah lagi jika zakat itu jatuh ke tangan orang yang bukan sahaja tidak berhak (bukan asnaf), tetapi mereka yang berperangai buruk dan bangga melakukan maksiat kepada Allah SWT. Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita: “Dan jangan ada yang memakan hartamu, kecuali orang yang bertakwa." (riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Hibban)

Kedua, zakat dikeluarkan dalam keadaan keperluan diri sendiri dan tanggungan nafkah yang wajib juga belum dilepasi. Hal ini kerana, Allah SWT menegaskan di dalam firman-Nya (al-Baqarah, ayat 219) bahawa zakat atau infak hanya boleh dilakukan bagi harta yang sudah berlebih daripada keperluan.

Ini menunjukkan, adalah tidak boleh (haram) jika seseorang yang mahu berzakat, padahal pada masa yang sama diri dan tanggungannya yang wajib sendiri pun masih serba tidak cukup. Adakah logik seseorang memberikan wang kepada anak orang lain untuk membeli makanan, sedangkan anaknya sendiri hampir mati kelaparan?

Umar al-Khattab ada menyatakan: “(Berikan hakmu demi) memberi manfaat bagi orang lain, jika tidak ada kerugian yang akan timbul bagi si pemilik (dirimu)." (rujuk Drs. D. Cahyono Nurdin, Harta dan Jaminan Sosial Menurut Syariat Islam, hal. 20, Pustaka al-Mizan)

Ketiga, zakat yang dikeluarkan dengan penuh rasa takbur, sombong dan menyakiti penerimanya (hati dan perasaannya). Orang seperti ini, amat dibenci dan dimurkai oleh Allah SWT, malah ia boleh melupuskan pahala amalannya sama sekali.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 264 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti (penerima), seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi).

Keempat, berzakat tetapi diiringi perasaan ujub dan riak (antara sifat mazmumah yang bermakna merasa hairan dengan diri sendiri akan ibadah yang dilakukannya dan perasan akan dirinya lebih baik daripada orang lain serta mahu menunjuk-nunjuk), sedangkan ujub dan riak adalah syirik yang tersembunyi dan ulama menyatakan, ia boleh merosakkan amalan seseorang, sehingga kala dia pulang ke sisi Allah SWT di hari akhirat, kantung amalannya kosong tanpa pahala.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riak. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman, “Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?" (riwayat Imam Ahmad)

Ingatlah, Allah SWT juga berfirman: Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri. (Luqman:18)

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang kemusykilan zakat sila emelkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau boleh sahaja layari media sosial LZS, www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my atau www.facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS untuk maklumat lanjut. tusan Bicara Agama 20140328

Tags: zakat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments