mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pendekatan wasatiyyah untuk semua

APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkatakan mengenai gagasan kesederhanaan selepas hampir setahun mengambil alih kepimpinan politik Malaysia, diperkenalkan pendekatan wasatiyyah sebagai kerangka penegasan semula kontrak sosial masyarakat yang sedikit tercabar oleh kemaruk politik.

Konsep wasatiyyah melangkaui kehendak umat Islam, ia juga mempunyai maksud dan penekanan yang besar dalam agama-agama lain, perbezaannya adalah dari aspek istilah.

Wasatiyyah bermakna kesederhanaan, keseimbangan dan tidak melampau. Tindakan melampau adalah musuh kepada mana-mana agama, kerana setiap agama mengajarkan penganutnya mencari ketenangan, membina rukun hidup yang harmoni, saling menghormati dan jauhkan diri daripada perangkap prejudis.

Bagi meneruskan kesinambungan gagasan tersebut, awal tahun 2012, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), yang diurus tadbir menerusi Jabatan Perdana Menteri.

Namun, gagasan yang dicanang sebagai gerakan dunia tanpa kekerasan dan keganasan menemui jalan yang 'tidak seindah di mata dan sehebat di mulut'. Wasatiyyah sebagai gagasan menemui realitinya yang sebenar dengan hambarnya perhatian masyarakat secara amnya.

Gagasan ini seolah-olah hanya milik orang tertentu, milik orang berkolar putih, milik orang berkelulusan tinggi dan milik orang yang pandai bersilat lidah. Gagasan ini tidak mempunyai keupayaan untuk menyentuh dan mendekati orang ramai terutama bagi orang biasa yang tiada memiliki kriteria cerdik pandai.

Walhal, inilah hakikat sebenar kepentingan kita untuk menghayati pendekatan wasatiyyah. Satu pendekatan yang mengelakkan kita daripada bersikap melampau, taksub kepada pemimpin parti politik atau individu tertentu dan membuta tuli mengkritik pemimpin organisasi dan sebagainya.

Sedangkan, pendekatan wasatiyyah diyakini memberikan kesan positif kepada terbentuknya sikap bertolak ansur, seimbang (tawazun) dan sentiasa mengamalkan sikap tidak memudahkan dan menyusahkan (tawasuth).

Wasatiyyah adalah cerminan sikap mengambil jalan tengah dengan tidak terjerumus ke dalam sikap berpuak-puak.

Kalau kita tengok dari segi konsep dan kerangka yang diuar-uarkan oleh pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya, sebenarnya tidak ada yang silap. Semuanya bagus belaka. Semuanya bersumber kepada arahan Allah sebagaimana dalam al-Quran dan pengalaman Nabi Muhammad dalam mengembang amanahnya sebagai Rasul sebagaimana yang termaktub dalam hadisnya.

Oleh itu, penganjuran Seminar Antarabangsa Penghayatan Wasatiyyah dalam Kerangka Maqasid Syariah yang akan dianjurkan oleh Institut IWM Jabatan Perdana Menteri pada 8 hingga 10 April ini di Kuala Lumpur perlu untuk menggariskan dan memantapkan matlamat asal gagasan wasatiyyah.

Seminar itu perlu merumuskan langkah terbaik bagi terus mengarus perdana dan merelevankan gagasan ini dalam pemikiran dan sanubari rakyat.

Seminar ini akan menemukan beberapa orang pemikir Islam antarabangsa dari dalam negara dan luar negara, terutama dari Timur Tengah. Sebanyak 11 kertas kerja dijangka dibentangkan dan perasmiannya bakal dilakukan oleh Perdana Menteri manakala Pengerusi IWM akan menyampaikan ucap utama bertajuk `Penghayatan Wasatiyyah Dalam Pentadbiran Malaysia’.

Wasatiyyah juga membimbing umat manusia untuk menghayati prinsip-prinsip yang ditekankan oleh maqasid syariah.

Dalam konsep maqasid ini, terdapat tuntutan yang menghendaki manusia untuk menyeimbangkan kehidupan akhirat dan dunia dengan seruannya untuk mempertahankan lima prinsip tunjang matlamat syariah iaitu agama, nyawa, harta, akal dan keturunan. Kelima-lima prinsip ini hakikatnya menjadi teras kepada terbentuknya masyarakat yang peka dan menghormati kerencaman agama, etnik dan bangsa di negara ini.

Selain itu, intipati daripada prinsip maqasid adalah maslahah. Dalam konsep maslahah, perkara utamanya adalah mendahulukan kebaikan dan kepentingan orang ramai (maslahah 'ammah) dari kepentingan peribadi atau organisasi (maslahah khassah).

Oleh itu, kepentingan menjaga dan memastikan ketenteraman awam adalah lebih utama berbanding membiarkan golongan tertentu mengancam ketenteraman dan kepentingan orang ramai.

Misalnya dalam kes demonstrasi. Meskipun tujuannya adalah untuk meluahkan pendapat dan pandangan yang menjadi hak setiap warganegara sebagaimana yang dijamin dalam perlembagaan, akan tetapi kerana ia boleh membawa kepada terbukanya peluang huru-hara, maka tindakan itu adalah ditegah dalam prinsip ini.

Keutamaan maslahah ini harus dipelihara mengikut yang sewajarnya dalam pembinaan hukum dari semasa ke semasa.

Dalam konteks peribadi, maslahah yang ditekankan dalam prinsip maqasid adalah wujudnya kepastian keperluan asas (maslahah daruriyah) yang mesti dipenuhi.

Sekiranya keperluan asas ini tidak dapat dicapai, maka maslahah tahsiniyyah (keperluan untuk hidup yang lebih baik) tidak menjadi keutamaan yang perlu diselesaikan secara segera.

Oleh itu, sekiranya dalam kehidupan masyarakat hari ini sudah mantap, stabil, kukuh kedudukan ekonominya dan menjadi negara contoh kepada negara Islam yang lain, maka keperluan menukar kedudukan status quo yang sedia ada dengan sistem yang belum tentu baik kesudahannya adalah amat tidak digalakkan.

Apa yang diharapkan seminar ini juga perlu mencari satu formula yang dapat mengelakkan gagasan ini hanya dibincangkan ketika satu penganjuran forum-forum rasmi sahaja seperti dalam seminar, diskusi, karnival dan tema peringatan Hari Besar Islam seperti peringatan Maulidur-rasul, Maal Hijrah dan sebagainya.

Setelah tidak ada forum, hilang begitu sahaja tanpa tindakan selanjutnya bagi membolehkan umat Islam kekal menghayati kefahaman tentang wasatiyyah.

Gagasan yang sangat dituntut oleh Islam ini perlu terus menjadi pegangan oleh semua orang tidak kira umat Islam atau bukan Islam. Gagasan ini diharapkan yang tidak timbul-tenggelam disebabkan himpitan dan hingar bingar dinamika politik yang sentiasa hidup setiap saat.

Ia perlu menjadi gagasan yang terus mewujud ke dalam minda umat tanpa mempersoalkan siapakah yang memperkenalkannya, institusi mana yang menggerakkannya dan siapa seterusnya yang akan menjalankannya.

Tidak patut timbul apa yang berlaku sekiranya kepimpinan yang sedia ada telah berganti dengan kepimpinan yang lain. Ia perlu kekal tanpa perkiraan-perkiraan semacam itu.

Pendekatan yang secantik ini sepatutnya menjadi agenda milik bersama melangkaui sempadan parti politik, aliran pemikiran dan kecenderungan pegangan mazhab. Jadikan ia satu pendekatan yang tidak tersekat oleh sentimen dan emosi sempit.

Kembalikan idea wasatiyyah pada matlamat asal gagasan ini dicanang sehingga berjaya membentuk masyarakat yang harmoni dan penuh kasih sayang.

MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan Rencana 20140404

Tags: wasatiyyah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments