mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kewajipan berselawat

RASULULLAH SAW diutuskan dengan membawa segala bentuk kebaikan untuk umatnya, berita gembira untuk orang mukmin, berita amaran untuk orang-orang kafir. Rasulullah SAW sangat menginginkan agar kaumnya mendapat petunjuk. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (at-Taubah: 128)

Baginda merasa amat sedih kepada sesiapa sahaja yang keluar daripada garis keimanan. Baginda memberatkan dirinya dalam urusan dakwah mengatasi kemampuan yang ada, bahkan melebihi apa yang dituntut kepadanya. Sehinggakan Allah SWT berfirman: Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan al-Quran ini. (al-Kahfi: 6)

Seperti diketahui baginda tidak dituntut melainkan untuk menyampaikan risalah, manakala hidayah itu adalah kurniaan dan pilihan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya. (as-Syu’ara: 4)

Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi waktu dhuha, dan malam apabila ia sunyi-sepi. (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik). Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati. (ad-Dhuha: 1-5)

Jika beginilah sayangnya Rasulullah SAW terhadap umatnya, maka sudah tentu wajar kepada umat baginda untuk berselawat kepada baginda kerana setiap kebaikan yang diperoleh Rasulullah, akhirnya turut diperoleh dan dinikmati oleh umatnya.

Penghormatan

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (al-Ahzab: 56)

Jika Allah SWT sendiri berselawat dan para malaikat turut berselawat kepada baginda Rasulullah, apatah lagi kita sebagai umatnya adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk berselawat ke atas baginda. Selawat Allah SWT memberi maksud rahmat-Nya yang menyeluruh.

Adapun selawat malaikat pula memberi makna doa. Firman Allah yang bermaksud: Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya dan beriman kepada-Nya serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu dan peliharalah mereka daripada azab neraka. Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam syurga “Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dan peliharalah mereka daripada (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu daripada terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya). (Ghafir: 7-9)

Jika malaikat itu sentiasa memohon keampunan berdoa kepada semua manusia termasuk orang yang melakukan dosa kemudian mereka bertaubat, apatah lagi kita dengan Rasulullah SAW yang membawa obor keimanan kepada seluruh umat manusia.

Sementara itu, maksud selawat daripada orang mukmin ialah istighfar. Istighfar mereka bukan untuk Rasulullah SAW tetapi untuk diri mereka sendiri kerana kedatangan Rasulullah SAW itu sendiri adalah untuk memberi rahmat kepada mereka.



Utusan Bicara Agama 20140410
Tags: salawat
Subscribe

  • Tepis kekeliruan berpoligami

    SESUNGGUHNYA dunia ini sudah sampai ke penghujung. Itulah yang boleh diputuskan apabila mutakhir ini muncul segelintir generasi yang memiliki…

  • Poligami lahirkan keluarga mithali?

    KEHIDUPAN berkeluarga yang aman damai adalah impian setiap daripada kita. Tidak yang berkahwin mengharapkan mahligai yang dibina berakhir dengan…

  • Sikap perempuan burukkan poligami

    BRO sudah beberapa kali menyatakan bahawa Bro menyokong poligami. Bagi Bro, lelaki yang berani bernikah lebih daripada satu dan wanita yang…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments