mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Jemaah menjauhi masjid

OLEH kerana tidak tahan sering mendengar ceramah yang dikatakan 'menyimpang', Azrin (bukan nama sebenar) sanggup pergi ke masjid yang terletak lebih jauh dari rumahnya untuk menunaikan ibadat.

Meskipun terdapat surau yang berhampiran dengan rumahnya, namun ujarnya menjejakkan kaki di kawasan rumah ibadat itu dirasakan seperti serba tidak kena walaupun datang dengan tujuan sama seperti jemaah lain.

Tambahnya, niat asal untuk memperoleh keberkatan dan ganjaran pahala selain mengimarahkan rumah Allah SWT itu dengan aktiviti kemasyarakatan bertukar menjadi tempat yang menimbulkan api kebencian sesama penduduk setempat.

Ini apabila surau yang dibina bagi memudahkan penduduk setempat untuk beribadah serta memperoleh ilmu telah disalahgunakan seperti serampang dua mata yang dijadikan sebagai gelanggang menyebarkan fahaman politik.

“Sehingga menjadi program rutin yang diadakan setiap minggu apabila penceramah yang asalnya dipanggil untuk menyampaikan kuliah mula menyimpang dengan menuding jari menyalahkan atau mengagungkan sesuatu pihak," kongsinya.

Lebih menyedihkan katanya, perkataan kesat, mencela dan gelak tawa tiada batasan dianggap perkara biasa yang diamalkan di dalam rumah ibadah.

Kesannya, masjid yang dibina sebagai rumah ibadah bagi umat Islam memperoleh keberkatan dan ganjaran pahala bertukar sebaliknya menjadi sarang membuat dosa.

Begitu juga ada yang mengatakan sering disindir dan dipandang serong oleh segelintir jemaah berikutan berlainan fahaman serta tidak mengikuti ceramah yang diadakan.

Oleh kerana tiada pilihan, sindiran itu terpaksa ditahan dengan memperbetulkan niat untuk menunaikan ibadah hanya kerana Allah SWT.

Mentaliti kelas ketiga

Mengakui kes-kes yang berlaku, Imam Masjid Negara, Azhar Tuarno menyifatkan tindakan segelintir pihak yang menjadikan masjid sebagai landasan berpolitik kepartian sebagai golongan bermentaliti kelas ketiga.

Ia katanya, kerana masjid yang sepatutnya digunakan sebagai pusat penyatuan umat Islam disalahguna sehingga mengakibatkan perpecahan hanya disebabkan perselisihan kecil.

“Jika dilihat pada zaman Rasulullah SAW, politik memang ada diamalkan dalam Islam. Namun kita perlu jelas apa yang dimaksudkan dengan berpolitik itu. Baginda menggunakan masjid sebagai markas pemerintahan Islam, hubungan antarabangsa dan sebagainya untuk menyatupadukan ummah.

“Namun, apa yang berlaku pada hari ini adalah, masyarakat menyalah tafsirkan erti politik itu dengan melakukan untuk tujuan politik kepartian. Ini dilarang sama sekali kerana boleh melahirkan rasa benci dan tidak puas hati dalam kalangan jemaah yang berlainan fahaman.

“Ini menunjukkan kedangkalan dan ceteknya pemikiran kita dalam berpolitik sehingga membabitkan rumah ibadat. Di mana lagi tempat kita nak bersama kalau semua tempat dijadikan medium perpecahan," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Perkara itu tambahnya, hanya menjejaskan institusi masjid yang dibina bagi menjadi pusat ibadah dan aktiviti umat Islam apabila dijadikan sebagai sarang mengumpul dosa.

“Sebagai contoh, jika pergi ke luar negara, mengapa kita boleh mengikut setiap perbuatan solat di masjid tersebut walaupun berlainan mazhab, tetapi di negara ini yang majoriti mengamalkan mazhab sama kita perlu berpecah jemaah.

“Sepatutnya masjid atau rumah ibadah digunakan sebagai tempat menyucikan hati dan melakukan pelbagai kegiatan berfaedah dalam usaha menyatukan perpecahan yang berlaku di luar, bukan tempat menyakitkan hati atau sebaliknya membawa perpecahan daripada luar.

“Apabila menyentuh hal politik dikhuatiri cenderung menjadi medan keji-mengeji. Jika betul sekalipun, bercakap keburukan orang adalah mengumpat, kalau tidak betul ia menjadi fitnah. Lebih membahayakan apabila dilakukan di dalam rumah ibadah," jelasnya.

Awasi penceramah

Berkongsi kes sama yang berlaku, Azhar berkata, terdapat kes jemaah terpaksa memilih masjid lain yang lebih jauh dari tempat tinggal kerana tidak tahan terhadap masjid yang menyeleweng.

“Ada yang mendakwa perkara itu dilakukan oleh penceramah jemputan yang dipanggil untuk memberikan kuliah. Dikatakan mereka tidak menjurus kepada pengajian sebaliknya menyeleweng seperti mengaitkan contoh yang disampaikan dengan menuding jari kepada pihak lain.

“Begitu juga pihak pengurusan masjid yang tidak mengambil kira sensitiviti itu terhadap jemaah lain dan dengan mengizinkan perkara itu berlaku.

“Sehingga menyebabkan jemaah yang berlainan ideologi berkecil hati lalu meninggalkan masjid tersebut dan kesannya, hanya mengurangkan sebilangan jemaah. Malah, sehingga turut berlaku orang melabel-labelkan masjid," katanya.

Walaupun tambahnya, semua jemaah di sesuatu kariah itu mempunyai fahaman yang sama, namun tetap tidak boleh dijadikan ruang rumah ibadat untuk dijadikan sebagai medan berpolitik.

“Masjid bukan tempat meningkatkan sentimen atau fahaman sebaliknya menaikkan semangat ilmu. Apa yang lemah dalam masyarakat kita adalah ilmu pengetahuan, bukan ideologi politik kerana sudah terdapat bermacam-macam medium lain digunakan untuk berpolitik.

“Kita perlu mengutamakan yang wajib. Mengeratkan perpaduan dan persaudaraan adalah wajib sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: Tidak beriman seseorang itu sehingga ia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya. (riwayat Muslim)

“Justeru, memutuskan hubungan antara jemaah adalah berdosa. Ia juga sebagaimana hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan masuk syurga bagi yang memutuskan silaturahim," jelasnya.



MOHD. SHAH CHE AHMAD Utusan Bicara Agama 20140410
Tags: jemaah, masjid, silaturahim
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments