mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Status zakat pendeposit TH

SAYA dimaklumkan bahawa, apabila Tabung Haji (TH) sudah pun menjelaskan zakat bagi pihak pendeposit, maka akan terlepaslah bagi orang yang menyimpan wangnya di TH daripada mengeluarkan zakatnya. Soalan saya, bagaimanakah kondisinya bagi orang yang simpanannya di TH adalah lebih rendah daripada nisab? Bukankah daripada segi syarat, dia masih tidak wajib mengeluarkan zakatnya.

Jawapan: Semoga Allah SWT memberkahi kehidupan kita sehari-hari. Mudah-mudahan, jawapan yang disuguhkan ini mampu memberikan pencerahan kepada semua pihak, insya-Allah.

Baiklah, sebagaimana yang telah diterangkan di dalam ruangan ini pada sebelum ini, sesungguhnya Tabung Haji (TH) adalah sebuah institusi kewangan yang unik kerana semua pendeposit atau penyimpan di dalamnya, hakikatnya adalah pemilik kepada TH. Jika saudara menyimpan di TH, hakikatnya wang yang saudara simpan itu adalah modal perniagaan di TH dan saudara juga adalah sebahagian daripada pemilik di TH.

Maka, apabila TH mengeluarkan zakat perniagaannya pada setiap tahun, secara automatik setiap orang yang menyimpan (melabur) di dalamnya juga dikira sudah menunaikan zakat dan terlepaslah mereka daripada mengeluarkan zakatnya buat kali kedua. Ini kerana, tidak ada zakat atas harta yang sama sebanyak dua kali dalam tahun yang sama.

Maka, bagaimana pula dengan mereka yang menyimpan di dalam TH dalam jumlah yang kecil, seperti RM5,000 sahaja, sedangkan nisab zakat adalah RM15,000; maka bukankah jumlah itu jauh lebih kecil daripada nisab. Bukankah syarat wajib zakat itu mesti mencapai atau melebihi paras nisab?

Hakikatnya, TH sebagai badan yang diamanahkan untuk menjalankan perniagaan bagi pihak semua pencarum, telah bertindak secara benar dalam menaksirkan zakat perniagaannya. Dalam konteks ini, TH hakikatnya telah mengaplikasikan satu kaedah dalam menaksirkan harta zakat, iaitu dengan mencampurkan semua harta di bawahnya. Percampuran harta inilah yang disebut sebagai khultah.

Apakah khultah? Khultah bermakna percampuran bagi harta yang mempunyai bilangan pemiliknya lebih daripada satu, dengan niat perkongsian, dalam satu jenis harta yang sama. Misalnya, dua penternak kambing masing-masing mempunyai jumlah kambing yang tidak cukup nisabnya; namun kambing-kambingnya diternak secara usaha sama.

Contoh, Si A dan Si B telah bersetuju untuk menjalankan usahasama menternak kambing. Namun jumlah pemilikan mereka tidak sama. Si A memiliki 20 ekor dan si B memiliki 30 ekor, sedangkan nisab bagi kambing adalah 40 ekor, barulah wajib dizakatkan seekor. Maka di sini, jika dikira berasingan kedua-duanya tidak mencapai syarat nisab.

Pun begitu, dalam hal ini, hukum syarak menetapkan hakikatnya, hendaklah dicampurkan kedua-dua pemilikan tersebut, kerana mereka memang telah berniat sejak awal untuk menternaknya secara bersama. Maka, apabila 20 ekor dicampur 30 ekor, jadilah 50 ekor dan cukuplah nisabnya, dan pada ketika itu wajiblah mereka untuk mengeluarkan zakatnya (rujuk Fiqh al-Manhaji, Jilid 1, hal. 448).

Samalah keadaan ini dengan pemilikan seseorang yang masih di bawah paras nisab dalam TH. Oleh kerana semuanya di bawah satu pelaburan di TH, maka jumlah yang kecil akan menjadi besar dan melebihi nisab apabila digabungkan keseluruhan wang yang ada (yang dianggap modal di TH), dan ketika itulah ia wajib dizakatkan.

Dr. Abdul Karim Zaidan menukilkan di dalam kitabnya, menurut pandangan jalur Syafie, Hassan al-Basri dan as-Sya’bi, sesungguhnya harta kekayaan yang dimiliki secara bersama adalah sama tarafnya dengan harta kekayaan yang dimiliki oleh seorang (satu individu). Jika harta kekayaan yang dimiliki secara bersama itu mencapai nisabnya, maka ia wajib dikeluarkan zakatnya, walaupun setiap orang yang bergabung itu memiliki kurang daripada ukuran nisab. Ketentuan ini berlaku untuk semua jenis harta kekayaan." (Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 23)

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang pertanyaan atau pandangan, sila e-melkan kepada hamizul@e-zakat.com.my dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS di www.e-zakat.com.my, http://blog.e-zakat.com.my atau Facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS.



Utusan Bicara Agama 20140411
Tags: tabung haji, zakat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments