mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kesederhanaan adalah kekuatan luar biasa

MESEJ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Seminar Antarabangsa ‘Penghayatan Wasatiyyah Dalam kerangka Maqasid Syariah, di Menara Felda dua hari lalu kepada kita agar membudayakan nilai kesederhanaan, tidak keterlaluan, dalam kehidupan boleh menjadi ramuan penting bagi melahirkan sebuah masyarakat yang aman, harmoni dan tidak tenggelam dalam kancah kehancuran.

Betul kalau sekarang dunia dan kehidupan kita begitu kompleks, namun, kerumitan tidak seharusnya ditampilkan dengan wajah yang 'berlebih-lebih dan keterlaluan serta menakutkan'.

Yang hebat adalah sesuatu yang mampu menjadikan segala hal yang begitu rumit dan kompleks menjadi jauh lebih sederhana agar sesiapa pun dapat menerima dan menikmatinya dengan berlapang dada.

Posisi Islam tidak terlalu menumpukan pada rohaniah sehingga melupakan material. Islam merangkumi dunia dan akhirat, tidak menumpukan pada akhirat sehingga melupakan dunia, dan Islam juga tidak menghinakan dunia, akan tetapi menempatkannya pada tempat yang betul.

Islam juga memberikan gambaran yang tidak ekstrem dalam sesuatu hal tetapi tegas dalam hal yang berkaitan dengan prinsip. Individu dan masyarakat sama pentingnya, tidak boleh mengorbankan maslahah orang ramai demi kepentingan individu tetapi tidak pula maslahah orang ramai dijadikan legalisasi untuk mengorbankan kepentingan individu.

Dengan bersikap wasatiyyah ini sudah tentu secara automatik tertolak apa yang disebut terrorisme itu, menolak ekstremisme dan apa-apa sahaja idea (isme) yang melampau dan ia tentulah sesuai dengan konsep "1Malaysia" yang diperkenalkan oleh kerajaan sekarang.

Sekali gus sifat wasatiyyah itu juga dapat dianggap sebagai `back-up, Islam kepada konsep 1Malaysia.

Dengan mempraktikkan wasatiyyah ini, kita tidak lagi akan fanatik kepada unsur-unsur keislaman secara khusus di dalam kehidupan kita-kecuali di dalam hal-hal berkaitan ibadat yang tidak menganggu-gugat orang bukan Islam di dalam hal-hal keagamaan.

Umpamanya, mereka tidak mungkin mempersoalkan tentang orang Islam yang mahu membina berapa banyak masjid, hendak bersolat berapa banyak atau lain - itu bukan masalah yang patut dihalang. Tetapi yang mahu ditekankan adalah perkara-perkara yang melibatkan kehidupan sosial yang melibatkan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Dalam konteks ini, jelas sekali sikap berlebih-lebihan dalam beragama yang menjadi pegangan sesetengah orang bukanlah dari ajaran Islam yang sebenar. Islam lebih mendahulukan sikap pertengahan pada setiap sisi atau aspek kehidupan mereka. Bukan sekadar itu, bahkan Islam memperingatkan setiap umatnya agar tidak terjerumus pada dua kesesatan iaitu berlebih-lebihan atau bersikap lalai.

Firman Allah yang bermaksud: Tunjukkan kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka dan bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (Surah al-Fatihah ayat 6-7)

Rasulullah SAW menentang dengan sekeras-kerasnya pemikiran ekstrem. Contohnya, tiga orang sahabat yang berpakat untuk melakukan ibadat secara berterusan dan menambahkannya hingga melampaui tahap kemampuan manusia. Salah seorang daripada mereka berkata: Aku akan berpuasa sepanjang tahun dan tidak akan berbuka.

Sahabat yang kedua pula berkata: Aku akan bangun pada malam hari dan tidak akan tidur.

Sementara itu, sahabat yang ketiga berkata: Aku tidak akan mengahwini pe­rempuan untuk selama-lamanya.

Apabila berita ini sampai kepada Nabi SAW Baginda memanggil mereka lalu bertanya: Adakah kamu berkata sedemikian? Lalu mereka menjawab dengan menggeletar. Benar, wahai Rasulullah. Lantas Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Demi Allah! Aku lebih takut kepada Allah dan lebih bertakwa daripada kamu. Namun aku berpuasa dan berbuka. Aku menghidupkan malam dan tidur. Aku juga berkahwin de­ngan wanita. Sesiapa yang membencikan sunah maka dia bukan daripada umatku.

Ibadat puasa dan menghidupkan malam adalah amalan yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Islam. Meskipun demikian, Rasulullah SAW tetap menganggap sekiranya ada unsur berlebih-lebihan dalam kedua-dua amalan itu ia akan tertolak. Pada suatu ketika Rasulullah SAW bersama-sama para sahabat sedang bermusafir dalam keadaan berpuasa. Rasulullah SAW khuatir terhadap sahabatnya yang berjalan dalam bahang mentari pada waktu tengah hari. Lantas baginda berbuka serta mengajak mereka supaya berbuka.

Para sahabat menuruti sahaja, perintah Rasulullah SAW melainkan beberapa orang daripada mereka yang meneruskan puasa mereka. Apabila diberitahu Rasulullah SAW menjadi marah lalu berkata: Mereka adalah penderhaka. Diulanginya perkataan itu sebanyak tiga kali. Apabila mereka mende­ngar kata-kata Rasulullah SAW mereka segera berbuka. Jelas di sini bahawa baginda meletakkan satu prinsip yang bijaksana dalam menunjukkan kesederhanaan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya agama ini teguh dan masukkan ia dengan sifat kasihan. Sesungguhnya tempat tumbuh bukan hanya tanah semata-mata, dan tidak ada yang lebih kekal.

Sekiranya kita meneliti sejarah kehidupan para salaf, sama ada bermula daripada kalangan para sahabat Nabi SAW atau ta­biin, kita akan dapati mereka mengamalkan sikap atau dasar kesederhanaan dalam melaksanakan syariat Mereka mempunyai ciri intelek yang tinggi serta kesedaran yang rasional di samping menyebarkan kalimah Allah dengan penuh ketakwaan. Suasana ini membangkitkan penghayatan dan kekuatan dalam kehidupan umat Islam dari aspek rohani dan peradaban.

Ibnu Al-Qaiyyim berkata, tidaklah Allah memerintahkan sesuatu kecuali syaitan memiliki peranan dalam sesuatu yang diperintahkan itu untuk membisikkan tipu dayanya, iaitu bisikan agar manusia tidak melaksanakan perintah itu atau bisikan untuk bersikap melampaui batas dalam me­laksanakan perintah itu. Sementara agama Allah adalah pertengahan antara dua bukit dan pertengahan antara dua kesesatan, serta pertengahan antara dua hujung yang terhina.

Tidak melaksanakan perintah bererti menghilangkan perintah itu, maka sesungguhnya sikap melampaui batas bererti menghilangkan perintah itu. Jika yang pertama adalah sikap melalaikan hukum dengan tidak melaksanakannya sesuai yang telah ditentukan, maka sikap yang kedua juga merupakan sikap melalaikan hukum dengan melampaui batas yang ditentukan.

Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Utusan Rencana 20140411

Tags: sederhana, wasatiyyah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments