mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Melihat Sains melalui semangat agama

TIDAK semua fenomena dan kejadian alam dapat dicerap secara zahir melalui ilmu saintifik. Sebahagian daripada alam ini berupa metafizik atau alam ghaib yang tidak mampu dijangkau oleh akal dan ilmu manusia.

Justeru, dalam kosmologi sufi sebahagian daripada ilmu dan amalan mereka dihubungkan dengan amalan kerohanian. Perkara ghaib hanya dapat dicerap oleh ahli makrifat (sufi) muhaqqiqin melalui amalan batin atau asrar (ilmu makrifat). Di sisi mereka ilmu para rasul dan kekasih Allah (waliyullah) merupakan ilmu yang tertinggi.

Dalam melihat alam semesta, dunia sufi menggabungkan aspek kosmologi alam semesta (alam kabir) dengan kosmologi insan (alam saghir) supaya wujud keharmonian di antara manusia dan alam semesta.

Kedua-dua bentuk kosmologi itu pada fitrah azalinya berkeadaan mengakui keesaan Allah. Lantaran itu, kedua-duanya men­yembah dan mengabdikan diri kepada Khalik atau Penciptanya yang maha besar. Ini tidak berlaku dalam kajian ilmu yang hanya berasaskan empirikal semata-mata. Para pengkaji sekular ini tidak memahami pe­­ngaruh alam ghaib dalam kehidupan ini. Pun begitu, mutakhir ini aliran sufi mula mendapat tempat dan perhatian di Barat.

Sufisme sudah menjadi satu pendekatan pengislaman penduduk Barat. Pelbagai institusi pendidikan bersifat kesufian yang dikenali sebagai khanqah dan zawiyah tumbuh subur di seluruh Amerika dan Eropah.

Ini bermakna masyarakat Barat yang sudah berabad lamanya melalui kehidupan sekular bersifat bebas mutlak sudah mula mencari penawar kegersangan jiwa. Majoriti daripada mereka yang berminat ke arah ini adalah terdiri daripada mereka yang ateis, sekular dan juga tidak kurang dari kalangan penganut Kristian itu sendiri.

Hakikatnya, sehebat mana pencapaian manusia dalam ilmu sains, namun tanpa kepercayaan kepada tuhan Maha Agung maka akan semakin luntur kefahamannya terhadap alam ghaib (termasuk alam akhirat).

Justeru, sains dan apa juga ilmu perlu dikembangkan dengan semangat agama. Inilah yang pernah berlaku dalam pembangunan sains Islam dahulu. Ketika tamadun Islam berada di kemuncak kecemerlangan, para ilmuwan Islam termasuk golongan ahli kalam berupaya melihat masalah alam ghaib melalui ilmu makrifat.

Justeru, mereka sentiasa tawaduk dan bertawakal kepada Allah dalam apa-apa kejadian alam yang tidak mampu dirungkaikan oleh ilmu sains. Mereka tidak tenggelam dalam keegoan ilmu yang mereka terokai dan bangunkan. Mereka juga tidak tenggelam dalam arus kemajuan material, harta dan pangkat kerana mereka faham semua itu adalah ciptaan manusia sendiri yang cenderung mencari kemasyhuran dan kebanggaan diri.

Ilmu dan amalan para sufi sukar digugat kerana ilmu dan hikmah yang dimiliki mereka itu diperoleh terus daripada ilmu para nabi dan rasul serta makrifat dan ilham langsung daripada Allah SWT. Mereka tidak berpegang secara mutlak kepada rasional (akal) dan empirikal semata-mata, tetapi ilmu mereka diperoleh secara dzauqi dan pengalaman langsung melalui hubungan kerohanian tinggi dengan Allah SWT.

Prinsip kaum Sufi Muhaqiqin ialah menyembah Allah bukan kerana takut neraka-Nya dan tidak pula kerana rindu kepada syurga-Nya tetapi kerana cinta mereka kepada Allah serta sentiasa membesarkan keagungan-Nya. Mereka mendapat didikan (ilmu) secara laduni dan melalui ilham daripada Allah SWT. Dengan perkataan lain ilmu para sufi adalah melalui jalan kasyaf seperti maksud hadis, "Kalaulah bukan ke- rana syaitan yang mengerumuni hati anak Adam, nescaya mereka akan dapat melihat kerajaan langit".

Mereka boleh mencapai makam sedemikian disebabkan memiliki kebersihan jiwa seperti yang disebut dalam al-Quran yang bermaksud, "Beruntunglah mereka yang menyucikan jiwanya dan merugilah mereka yang mengotorinya" (As-Syams 9-10). Justeru, berlandaskan kesucian jiwa maka ahli sufi dan para ilmuwan Islam sejati dapat melihat dan memahami kosmologi sebagai alat untuk memahami ‘arkanul (rukun) iman’, iaitu dalam aspek mempercayai Qada dan Qadar dan keimanan kepada hari akhir.

Kosmologi menjadi tanda-tanda kewujudan kebesaran Allah SWT. Pemahaman yang betul dan tepat tentang kosmologi akan memperkukuh ketauhidan manusia kepada pencipta alam semesta ini. Ini berlawanan dengan fahaman kaum materialisme dan mulhid yang melihat alam semesta tidak diciptakan dan ia tidak mempunyai awal dan akhir. Bagi kaum materialisme, apa jua yang berlaku dalam alam semesta ini hanyalah hasil peristiwa kebetulan dan tidak ada kaitan dengan kekuasaan pencipta.

Kesimpulan, pemahaman kosmologi yang dihubungkan dengan penciptaan kepada Allah mampu untuk memperluas spektrum sains tentang makna alam semesta dan fenomena alam serta bencana yang berlaku dalam kehidupan manusia. Tragedi kehilangan pesawat MH370 yang sehingga kini gagal dikesan oleh teknologi canggih ciptaan manusia adalah bukti nyata betapa tidak semua perkara boleh dirungkai oleh sains apabila Allah menghijabkan pandangan dan kemampuan teknologi ciptaan manusia.

Hanya dengan izin Allah jua pesawat itu akan dizahirkan dan rahsia tragedinya akan difahami manusia sama ada ia angkara kejahatan manusia sendiri atau masalah mekanikal pesawat itu. Sesungguhnya Allah adalah zat yang Maha Pencipta dan pengetahuan-Nya meliputi yang zahir mahupun yang batin.

Mohd. Ayop Abd. Razid adalah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Utusan Rencana 20140411

Tags: agama, sains
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments