mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Rasulullah cerminan terbaik wasatiyyah

Umat Islam dituntut amal kesederhanaan seimbang

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah insan paling mulia di sisi Allah SWT. Rahmat Baginda melimpahi seluruh alam raya. Kelahirannya ke dunia merubah peradaban manusia, dari kegelapan kepada cahaya.

Manifestasi wasatiyyah (kesederhanaan) jelas tergambar pada akhlak peribadi mulia Baginda, serta terpahat kukuh dalam diari sejarah kehidupannya. Nilai murni wasatiyyah tidak pernah terpisah daripada identiti Baginda.

Justeru, ia sekali gus menjadi bukti pentingnya konsep wasatiyyah kepada setiap individu tanpa mengira kaum, bangsa, jantina, umur serta latar belakang ekonomi, sosial dan pendidikan.

Konsep murni wasatiyyah telah wujud sejak zaman-berzaman dari zaman nabi, sahabat, tabiin, tabi’ tabiin sehinggalah sekarang. Ulama telah membahaskan konsep ini dari seluruh aspek sama ada secara teori mahupun praktikal.

Umat Islam telah diangkat oleh Allah SWT dengan gelaran ‘ummatan wasata’, yang memberi maksud umat pertengahan, terpilih, adil dan cemerlang.

Umat pilihan

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demikianlah pula Kami jadikan kamu (wahai umat Islam) ummatan wasata (satu umat pilihan yang cemerlang dan adil) supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (mengenai yang benar dan salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Ulama tafsir, Sheikh Abdullah Basmeih (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman), Muhammad Rasyid Rida (Tafsir Al-Manar), al-Fakh al-Razi (Al-Tafsir Al-Kabir), Dr Wahbah Zuhaily (Tafsir al-Munir), Syaikh Mahmud Syaltut (Tafsir al-Quran al-Karim) telah memberikan tafsiran perkataan ‘ummatan wasata’.

Syeikh Muhammad Rasyid Rida memberikan tafsiran al-Wasat bererti adil dan cemerlang. Menurutnya, setiap perkara yang melebihi dari apa sepatutnya adalah melampau (ifrat), manakala setiap pengurangan daripada yang sepatutnya adalah pengabaian dan kecuaian (tafrit wa taqsir).

Tegas beliau, setiap penambahan dan kecuaian adalah menyimpang dari jalan lurus. Justeru, kecemerlangan adalah pertengahan antara dua perkara itu. Kesimpulannya, wasatiyyah adalah satu sikap atau perbuatan sangat digalakkan oleh Islam.

Seimbang dalam segala hal

Oleh itu, umat Islam digelar sebagai umat pertengahan kerana seimbang dalam segala hal, termasuk aspek fizikal, spiritual dan akal. Sebagai qudawah hasanah seluruh manusia. Baginda SAW sentiasa membimbing sahabat menghayati dan mengamalkan konsep wasatiyyah dalam kehidupan.

Menjelaskan wasatiyyah dalam aspek akhlak, Syaikh Mahmud Syaltut, mantan Syaikh al-Azhar dalam Tasir a-Quran al-Karim memberikan contoh wasatiyyah dalam akhlak Islam berada di tengah-tengah.

Contohnya, sifat terpuji dalam pengurusan kewangan adalah tidak bakhil dan tidak pula membazir. Hal ini bertepatan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang menginfakkan (harta) mereka tidak berlebihan dan tidak (pula) kedekut, di antara keduanya secara wajar.” (Surah al-Furqan, ayat 67)

Contoh lain, sifat berani ialah tidak penakut dan tidak pula berani membuta tuli. Sifat tawaduk ialah tidak membanggakan diri dan tidak pula menghina diri.

Keunggulan dan keagungan akhlak Baginda adalah cerminan terbaik bagi melihat contoh wasatiyyah yang menyeluruh. Baginda digelar sebagai al-Amin (yang amanah) oleh masyarakat Arab jahiliah.

Diriwayatkan oleh Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah ketika ditanya akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab, “Akhlak Baginda adalah akhlak al-Quran.”

Keindahan konsep wasatiyyah yang sebati dalam tingkah laku insan mulia ini boleh disaksikan di sepanjang hayatnya. Usaha penyebaran dakwah Baginda di Ta’if menjadi bukti. Mengharapkan bantuan, perlindungan dan sokongan kabilah Tsaqif, Baginda dan sahabat merantau ke Ta’if.

Malangnya, seruan Baginda Rasulullah SAW ditolak mentah-mentah oleh ketua puak Thaqif serta mengasari Baginda. Hamba abdi, khadam dan kanak-kanak bani Thaqif turut bertindak membaling Rasulullah SAW dengan batu sehingga luka kepala dan kedua-dua kakinya.

Disebabkan berang kepada perbuatan bani Thaqif, malaikat gunung segera menawarkan bantuan kepada Baginda untuk menghempap bukit al-Akhsyabin ke atas bani Thaqif, sebagai hukuman di atas kebiadaban dan kedegilan mereka terhadap kekasih Allah SWT.

Tidak mendendami musuh

Namun, dengan nilai wasatiyyah yang tidak dapat dipisahkan daripada Baginda berkata: “Aku berharap supaya Allah SWT melahirkan dari sulbi mereka generasi yang menyembah-Nya tanpa mensyirikkanNya. Itu saja yang aku harapkan.”

Begitulah sikap adil Baginda yang tidak terus menghukum bahkan mendoakan. Selain itu, peristiwa ini menjelaskan kepada kita suruhan agama untuk membenci akhlak mazmumah dan merasa kasihan dengan pelakunya.

Berita Harian Agama 2014/04/12 - 04:25:19 AM Taqudin Mohd Yazid
Tags: dendam, sederhana, wasatiyyah
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments