mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kenapa tak adil kepada Wanita

Minggu ini izinkan saya tulis tentang politik. Kasihan ahli-ahli politik wanita di Malaysia. Negara maju waima negara yang miskin pun tahu menilai dan menghargai kepimpinan wanita negara masing-masing.


Tak perlu teropong jauh-jauh, kalau diperhatikan negara jiran kita, beberapa wanita sudah diangkat menjadi Presiden dan Perdana Menteri.

Thailand yang tak pernah ada Perdana Menteri wanita sudah ada dengan pelantikan Yingluck Shinawatra. Semua ini ekoran kepercayaan rakyat dan kepimpinan parti.

Filipina sudah memiliki dua presiden wanita, Corazon Aquino dan Gloria Macapagal Arroyo. Indonesia pun pernah dipimpin oleh Megawati Sukarnoputri sebagai Presiden.

Begitu juga banyak negara maju seperti Jerman dengan Canselor Angela Merkel, Korea Selatan (Presiden Park Geun-hye), Denmark (Perdana Menteri Helle Thorning-Schmidt) dan Norway (Perdana Menteri Erna Solberg). Tak lupa juga Perdana Menteri wanita di negara Islam, Hasina Wazed di Bangladesh dan Benazir Bhutto di Pakistan.

‘Malulah’ UMNO yang akan berusia 68 tahun pada 11 Mei depan kepada parti-parti lain yang bilangan ahli wanitanya lebih kecil daripada Wanita UMNO, tapi sudah mendapat jawatan Naib Presiden.

Lihatlah MCA, selepas Ng Yen Yen kini giliran Chew Mei Fun duduk di kerusi Naib Presiden MCA. Daripada tiga jawatan, satu diberi kepada Wanita MCA.

Begitu juga kalau dikaji dalam PKR. Malah dua daripada tujuh Naib Presiden PKR ialah wanita iaitu Nurul Izzah Anwar dan Fuziah Salleh.

Agak-agaknya bila Wanita UMNO akan dapat merasa jawatan Naib Presiden itu? Sampai bila Wanita UMNO hendak diremehkan dan di kesampingkan? Janganlah berlaku tidak adil kepada Wanita UMNO.

Kalau semua Ketua Pergerakan Wanita UMNO terdahulu, baik dalam era Fatimah Hashim, Aishah Ghani, Rafidah Aziz, dan Dr. Siti Zaharah Sulaiman tak ada yang berani bangkitkan isu jawatan Naib Presiden, hendak tunggu siapa lagi?

Bila lagi! Kalau tak dibangkitkan sekarang, tak tahu bila lagi kaum bapa UMNO akan beri peluang.

Mungkin, apa salahnya jawatan Naib Presiden UMNO dibuat kuota khas untuk wanita. Ada ura-ura mahu diwujudkan kuota 3 + 1 dan di peringkat Naib Ketua Bahagian pula 1+1.

Maknanya sesiapa ahli Wanita boleh bertanding merebut jawatan Naib Presiden dan Naib Ketua Bahagian dengan satu kerusi dikhaskan untuk wanita.

Perkara yang baik ini boleh dilakukan jika UMNO mahu. Tapi kenalah membuat pindaan dalam Perlembagaan parti itu.

Dalam tradisi politik UMNO, susah sedikit impian ini hendak dijadikan kenyataan. UMNO sebagai parti terbesar dalam Malaysia sendiri payah hendak memberi laluan kepada wanitanya menjadi calon pilihan raya, inikan pula hendak meletakkan wanita dalam hierarki kepimpinan tertinggi parti.

Sikap kaum bapa UMNO yang tak mahu beri ‘tempat’ kepimpinan kepada kaum ibunya dapat dilihat daripada reaksi apabila ada perwakilan Wanita UMNO dikatakan membuat permintaan supaya diwujudkan satu lagi kerusi Naib Presiden untuk disandang oleh wanita.

Kita sudah baca dan dengar komen daripada kaum bapa UMNO. Kata mereka, bilangan tiga orang Naib Presiden UMNO sekarang sudah mencukupi dan berkesan dalam membantu Presiden UMNO bagi merangka dan menjalankan dasar-dasar parti.

Bagi kaum bapa UMNO, hujah penolakan mereka kerana selama ini UMNO tidak ada cacat celanya dengan memiliki tiga orang Naib Presiden. Jadi mereka minta Wanita UMNO jangan tergila-gilakan jawatan.

Kalau beginilah sikap kaum bapa UMNO, maknanya sampai bila pun tak ada peluang Wanita nak naik tangga atas.

Ingatlah jasa dan pengorbanan ahli Wanita UMNO yang seramai 1.3 juta orang itu. Masa kempen pilihan raya, tenaga wanita yang dikerah dan diperah. Tiba masa rebut jawatan lain pula ceritanya.

Jadi kaum bapa UMNO tak boleh tamak kuasa. Jangan nak bolot semua kuasa. Rakyat pun nampak ada juga cacat celanya kepimpinan kaum bapa, baik di peringkat cawangan, bahagian dan negeri.

Walaupun sudah berumur 50 - 60 tahun, tapi golongan ahli politik wanita tahu menyimpan tenaga dan masih aktif. Golongan wanita yang sudah berumur ini tidak patut dipandang rendah dan diketepikan daripada terus berperanan memperjuangkan parti.

Masa untuk berubah dan mengekori trend politik antarabangsa sudah tiba. Kalau tak dimulakan sekarang, agaknya bila lagi!

Azman Anuar Utusan Rencana 20140413
Tags: adil, wanita
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments