mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Membolehkan pelaksanaan hudud

USUL PINDAAN UNTUK MELAKSANAKAN HUDUD

SEBAB itu, sejak menjadi Ahli Parlimen bagi Parlimen Kulim Bandar-Baharu mulai 2008 hingga 2013 saya telah secara konsisten selama lima tahun mengemukakan usul ke dalam Parlimen dengan usul seperti berikut (boleh disemak dengan rekod pejabat Setiausaha bagi Dewan Rakyat):

1. Zulkifli Bin Noordin (Kulim Bandar Bharu) akan mencadangkan:-

"Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan agar Kerajaan mengambil langkah supaya Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan membuang perkataan seperti berikut:-

'…tetapi tidak mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan kecuali setakat yang diberi oleh undang-undang persekutuan…' dan diganti dengan perkataan berikut;

'dan mempunyai bidang kuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan didalam dan menurut hukum syara' dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta'zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara' dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya'.

Dan proviso kepada Seksyen 2, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) hendaklah dipinda bersesuaian dengan pindaan kepada Jadual 9 Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan seperti yang dinyatakan di atas dan hendaklah berbunyi seperti berikut:

Mahkamah Syariah itu hendaklah mempunyai bidang kuasa mengenai apa-apa jua kesalahan jenayah syarie dan lain-lain yang ditetapkan atau diperuntukkan di dalam dan menurut hukum syara' dan undang-undang Islam (termasuk hudud, qisas dan ta'zir) termasuk membicarakan, memutuskan dan menghukum mana-mana orang Islam yang berkenaan menurut sabitan dan hukuman yang ditetapkan oleh hukum syara' dan undang-undang Islam serta melaksana dan menguatkuasakan apa jua hukuman dan/ atau perintah yang dikeluarkannya.

Bahawa Dewan ini mengambil maklum umat Islam wajib melaksanakan syariat Islam termasuk undang-undang jenayahnya atau jinayat seperti hudud, qisas dan ta'zir tanpa sebarang pengubahsuaian dan pindaan seperti yang berlaku sekarang dan Dewan mengambil maklum bahawa kegagalan melaksanakan sistem perundangan Islam sepenuhnya ini boleh menjejaskan akidah umat Islam."

Berbeza dengan pandangan popular, saya berpendapat bagi membolehkan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dilaksanakan untuk membolehkan hudud dilaksanakan, ia tidak memerlukan undi dua pertiga majoriti. Sebenarnya cukup sekadar dengan majoriti mudah 112 undi dalam kalangan 222 Ahli Parlimen sedia ada.

JUMLAH AHLI PARLIMEN ISLAM CUKUP UNTUK PELAKSANAAN HUDUD

Dan jika dilihat dalam konteks itu, sebenarnya pindaan itu boleh dilakukan bagi sesi Parlimen kali ini kerana kita mempunyai jumlah Ahli Parlimen beragama Islam yang mencukupi iaitu UMNO (81), Pas (24) dan PKR (15), menjadikan jumlah 120 orang. Jika ditambah dengan Ahli Parlimen Islam lain termasuk daripada PBB dan lain-lain, jumlah Ahli Parlimen beragama Islam yang ada adalah lebih daripada mencukupi.

Sebab itu untuk merealisasikan impian Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hudud, usulnya mesti datang daripada Ahli Parlimen Pas terutama dari Kelantan. Tetapi Pas secara bersendirian tidak mungkin dapat membentangkan usul hudud tanpa bantuan dan sokongan Ahli Parlimen beragama Islam daripada UMNO dan PKR.

Malahan sebenarnya UMNO mahupun PKR masing-masing secara bersendirian tidak mungkin dapat membentangkan usul hudud tanpa bantuan dan sokongan Pas. Apa yang penting kerjasama antara semua Ahli Parlimen beragama Islam daripada UMNO, Pas, PKR dan lain-lain parti.

CADANGAN

Memandangkan dua parti utama umat Melayu-Islam sudah bersetuju, maka apa yang penting sekarang ialah sebuah Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Hudud, Qisas dan Ta'zir peringkat pimpinan tinggi ditubuhkan segera di antara UMNO-Pas-PKR-PBB untuk mendraf dan memperhalusi suatu Usul Pelaksanaan Undang-Undang Jinayat Hudud, Qisas dan Ta'zir yang mahu dibentangkan ke dalam Dewan Rakyat, dan yang paling penting Jawatankuasa ini mesti memastikan mendapat jumlah sokongan daripada Ahli Parlimen masing-masing yang cukup untuk mendapatkan majoriti yang diperlukan bila ia dibentangkan kelak;

Saya juga mencadangkan satu Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Hudud, Qisas dan Ta'zir dengan keanggotaan daripada pakar syariah, undang-undang sivil, kehakiman dan guaman syariah dan sivil dan para ulama' sama ada mereka dari dalam negeri mahupun dari luar membincangkan dan memperhalusi draf Undang-Undang Jinayat Hudud, Qisas dan Ta'zir untuk memastikan supaya ia benar-benar mematuhi peruntukan seperti ditetapkan oleh al-Quran dan hadis ditubuhkan;

Juga sebuah Jawatankuasa Penguatkuasaan Hukuman Hudud, Qisas dan Ta'zir perlu ditubuhkan untuk mengkaji dan menggubal pelaksanaan hukuman hudud, qisas dan ta'zir dengan keanggotaan daripada pihak kehakiman dan guaman (sivil dan syariah), Polis, Penjara dan badan-badan penguatkuasaan lain termasuk dari negara yang sudah punya pengalaman dalam pelaksanaan hudud, qisas dan ta'zir seperti Arab Saudi, Pakistan, Aceh dan lain-lain;

RUMUSAN

Saya sebenarnya melihat tercetusnya isu hudud mutakhir ini sebagai satu ujian ukhuwah dan kesatuan umat Islam di Malaysia.

Isu hudud telah sekian lama dijadikan modal politik oleh segelintir pihak di dalam Pas bagi menghalang impian mencapai kesatuan dan perpaduan umat Melayu-Islam di Malaysia. Hudud adalah zikir harian Pas. Siang malam, pagi petang tidak kira masa dan tempat, para penceramah Pas sentiasa menjadikan hudud sebagai modal membelasah UMNO.

Walaupun Pas sendiri tidak pernah melaksanakan hudud walaupun diberi amanah memerintah Kelantan selama 23 tahun; walaupun ada pimpinan Pas sendiri yang tidak bersetuju mahu melaksanakan hudud; malah rakan sekongkol Pas iaitu PKR menentang pelaksanaan hudud.

Malah Pas sebagai rakan kongsi pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas telah bersetuju dengan Memorandum Persefahaman Pakatan Pembangkang 20 November 2009 bahawa pelaksanaan hudud, qisas dan ta'zir tidak termasuk di dalam agenda pembangkang jika membentuk kerajaan; namun Pas masih terus-menerus menjadikan UMNO sebagai kambing hitam.

Malah ukhuwah dan kesatuan umat Melayu-Islam menjadi parah apabila berlaku peristiwa kafir-mengkafir oleh ahli dan pengikut Pas terhadap ahli UMNO akibat daripada isu Amanat Hadi Awang 1981 yang antara lain menyentuh isu kegagalan UMNO melaksanakan hudud dan kononnya mengekalkan 'Perlembagaan penjajah'!

Walaupun Datuk Seri Hadi Awang sendiri pada 18 Ogos 2003 menyatakan dalam Amanat Pemangku Presiden bahawa demi untuk kesinambungan talian-hayat politik pakatan pembangkang DAP-PKR-Pas dalam menghadapi PRU-12, Pas bersedia menerima dan akan melaksanakan Perlembagaan Persekutuan seperti sedia ada!

Malahan, kekeliruan pelaksanaan hudud timbul kerana para penceramah Pas dalam siri-siri ceramah mereka hanya menumpu kepada hudud, sedangkan dalam syariat Islam sekiranya hudud tidak dapat dilaksanakan akibat beberapa kekangan yang ada, maka kesalahan hudud itu boleh dibicarakan dan dihukum dengan hukuman ta'zir. Ini terkandung dalam Seksyen 50 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002 yang digubal oleh Kerajaan Pas Terengganu.

Dan kesalahan ta'zir inilah yang terkandung di dalam segala undang-undang dalam negara ini sama ada Kanun Keseksaan, Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri seperti yang saya sebut di atas. Maka sepatutnya tidak timbul soal kafir-mengkafir atau pun keengganan untuk bersatu dalam kalangan umat Melayu-Islam hanya kerana hudud belum dilaksanakan.

Adakah kita akan mengkafirkan sahabat Nabi iaitu Saidina 'Umar r.a yang jelas di dalam sirah semasa memegang amanah jawatan sebagai Khalifah telah menggantung pelaksanaan hudud kerana kekangan pada waktu itu tidak memungkinkan pelaksanaan hudud?

Sebab itu, apabila kepimpinan UMNO dan Pas sebagai dua parti besar yang mewakili umat Melayu-Islam kini membawa satu suara dalam perjuangan untuk melaksanakan hudud, saya percaya ini adalah satu permulaan yang baik dan hasanah bagi umat Melayu-Islam di Malaysia terutamanya dalam soal ukhuwah dan perpaduan.

Apa yang penting sekarang kedua-dua pihak mengambil sikap ikhlas, husnul-dhan dan bersangka baik terhadap satu sama lain, dan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan cita-cita untuk pelaksanaan hudud dalam negara ini boleh dicapai.

Dan lakukanlah itu bukan untuk mendapat political mileage, atau untuk sebarang jawatan, kedudukan, kuasa, harta atau habuan. Jangan jadikan hudud sebagai talian-hayat politik kepartian masing-masing; tetapi jadikan usaha ini sebagai jalan mencari keredaan Allah dengan ikhlas.

DATUK ZULKIFLI NOORDIN ialah bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Utusan/Rencana/20140415

Tags: hudud
Subscribe

  • Makrifat kepada Rasulullah

    ALHAMDULILLAH pada kali ini saya sengaja membincangkan isu berkaitan Rasulullah SAW sementelahan pula dengan kedatangan bulan Rabiulawal. Lebih…

  • Makrifatullah perisa ibadah

    SUATU hari seorang ulama terkenal bernama Abdullah bin Al-Mubarak berkata: "Kasihan ahli dunia. Mereka keluar dari dunia sebelum merasai…

  • Khutbah Jumaat: Persamaan Dalam Perbezaan

    Petikan Khutbah Jumaat 17 September 2021M / 10 Safar 1443H JAKIM Persamaan Dalam Perbezaan Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya bersatu…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments