mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Prinsip hak asasi manusia berlandaskan syariah

SEMASA merasmikan Seminar Antarabangsa Wasatiyyah menurut Kerangka Maqasid Syariah" baru-baru ini, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menegaskan pendirian konsisten kerajaan yang berwaspada serta menolak tuntutan kebebasan dan hak asasi manusia tanpa batas.

Kata Perdana Menteri, dalam pada meletakkan komitmen yang tinggi terhadap melaksanakan prinsip wasatiyyah, kerajaan turut berhadapan dengan tuntutan daripada pihak tertentu atas nama keterbukaan dan liberalisme.

Beliau amat sedar tentang ancaman keterlaluan atas nama keterbukaan, kononnya pada mereka adalah satu hak asasi yang mesti diberikan secara total sekali gus membolehkan mereka untuk berbuat apa sahaja atas nama kebebasan.

MuslimUPRo menyambut baik pendirian tegas dan konsisten kerajaan yang sama sekali tidak akan menerima kefahaman sedemikian kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam yang semestinya perlu ditolak oleh semua.

Bagi MuslimUPRo - gabungan delegasi pertubuhan-pertubuhan Islam yang menyaksikan sendiri fahaman berbahaya hak asasi manusia yang beracuan barat di sepanjang proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) sejak tahun lalu, kami bersetuju dengan pandangan Najib bahawa tafsiran hak asasi mestilah berlandaskan kepada syariah Islam.

Pendirian seumpama ini perlu diperkukuhkan dan diberikan artikulasi seluas-luasnya di peringkat antarabangsa sesuai dengan hasrat kerajaan untuk menyebarluaskan pendekatan wasatiyyah di dalam menangani isu global semasa.

Masyarakat umum harus menyedari serta memperakui bahawa ketegasan kerajaan adalah konsisten dengan Pengisytiharan dan Pelan Tindakan Vienna 1993, yang memberikan pertimbangan wajar terhadap realiti budaya, sejarah dan agama sesebuah negara di dalam usaha melaksanakan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.

Hal ini juga sudah diterima dan ditafsirkan dengan jelas melalui Seksyen 4(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1991 berkenaan usaha melaksanakan prinsip-prinsip hak asasi manusia selagi mana tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, pendirian kerajaan ini juga diperakui Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia Di dalam Islam tahun 1990 yang meletakkan prinsip-prinsip syariah di dalam memperbaiki keadaan hak asasi manusia dalam kalangan Negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Manakala hakikat bahawa Fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan menjunjung tinggi Islam dan penzahiran prinsip dan amalan undang-undang syariah di negara ini jelas menunjukkan pendirian kerajaan adalah selari dengan peruntukan Akta itu. Implikasi fasal ini menggambarkan pendekatan sederhana Malaysia di dalam mengurus hubungan di antara penganut pelbagai agama. Sementara itu, Islam menjadi tunjang masyarakat majoriti di negara ini, hakikat ini tidak memberikan kuasa sewenang-wenangnya untuk penganut agama bukan Islam ditindas. Khususnya, keselesaan untuk menjalankan urusan keagamaan jelas terserlah dengan pelbagai kemudahan dan ruang disediakan pihak pemerintah.

Justeru ibrah dan pendirian Malaysia yang kini dizahirkan di dalam bentuk pendekatan wasatiyyah perlu menjadi model mithali yang boleh diikuti masyarakat dunia. Malah, komitmen Malaysia untuk memperbaiki kedudukan hak asasi manusia menurut lunas syariah perlu menjadi pendirian yang dapat menyelamatkan masyarakat dunia dari kehancuran akibat tuntutan tidak munasabah hak asasi manusia.

Pendirian Malaysia boleh dibezakan dengan beberapa contoh mutakhir komitmen negara lain daripada kalangan anggota PBB terhadap usaha memperbaiki hak asasi manusia. Contoh yang ekstrem boleh dilihat pada Israel yang mengelak menghadiri sesi penerimaan muktamad syor-syor UPR pad 27 Mac lalu, hanya beberapa hari selepas Malaysia dengan penuh bertanggungjawab menyelesaikan komitmen semakan dengan mengulangi penegasan melaksanakan syor-syor yang munasabah dan diterima secara prinsip semasa proses UPR dibuat terhadapnya Oktober tahun lepas.

Perwakilan Malaysia bukan sahaja menegaskan komitmen itu dengan berprinsip, malah menzahirkan sikap yang patut dicontohi dengan menerima dua pertiga dari keseluruhan 232 syor-syor yang disarankan negara-negara anggota PBB.

Yang tercerna daripada penerimaan Malaysia terhadap syor-syor tersebut ialah sikap kesungguhan sebuah negara berdaulat yang mahu memperbaiki situasi hak asasi manusia menurut acuan sendiri, tanpa meninggalkan rujukan terhadap norma dan prinsip antarabangsa yang bersesuaian dengan realiti budaya, sejarah dan agama negara kita.

Myanmar juga gagal menunjukkan sikap dan komitmen yang baik terhadap usaha memperbaiki keadaan hak asasi manusia apabila sekadar mampu mencanangkan mereka mahu menandatangani lebih banyak konvensyen antarabangsa hak asasi manusia tetapi pada masa sama berterusan membunuh ribuan masyarakat Rohingya yang tidak berdosa.

Begitu juga negara-negara lain yang sekadar menandatangani bermacam-macam konvensyen antarabangsa hak asasi manusia tetapi pada hakikatnya gagal mematuhi kebanyakan prinsip-prinsip yang telah diberikan komitmen.

Pada hakikatnya komitmen Malaysia adalah sejajar dengan keupayaan pentadbiran negara serta kehendak masyarakat majoriti yang mahukan pembaikan keadaan hak asasi manusia dibuat secara bertahap, berhemah serta tidak melulu di dalam menerima konvensyen-konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia.

Di dalam hal ini prinsip wasatiyyah dalam kerangka mengutamakan kehendak maqasid syariah menjadi panduan di dalam pelaksanaan hak asasi manusia.

Sudah tentu pelbagai pihak, khususnya dalam kalangan suara masyarakat sivil yang cintakan keamanan seperti yang ditekankan Islam mahu pandangan yang dipandu prinsip wasatiyyah mengatasi pendekatan ekstrem golongan pejuang hak asasi manusia berfahaman barat ini.

Justeru, usaha berterusan dengan mengadakan dialog intensif, pemurnian istilah-istilah kunci hak asasi manusia, perdebatan sihat bagi mempengaruhi wacana awam mengenai hak asasi manusia serta penerangan mengenai hubungan Islam dan hak asasi manusia perlu diadakan secara berterusan.

Inisiatif-inisiatif sebegini adalah sebahagian tindakan yang telah dipelopori pelbagai NGO dan termasuk usaha terkini MuslimUPRo menubuhkan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) bertujuan menyebarluaskan pendekatan Malaysia di dalam menangani isu-isu hak asasi manusia.

Azril Mohd. Amin mengetuai MuslimUPRo iaitu Delegasi Pertubuhan-pertubuhan Islam ke Semakan Berkala Sejagat, Geneva, Switzerland. Utusan Rencana 20140415

Tags: hak asasi manusia
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments