mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Akta Percetakan Teks al-Quran bakal dipinda

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminda Akta Percetakan Teks al-Quran 1986 berikutan terdapat banyak kesalahan dilakukan pihak tertentu dalam percetakan, pempameran dan penyalahgunaan ayat al-Quran.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pindaan akta itu dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini selepas selesai perbincangan bersama Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.


Seleweng akidah

“Antara pindaan nanti termasuk penyalahgunaan ayat al-Quran sebagai azimat dan mempamerkannya, terutama di kedai, untuk tujuan melariskan jualan. Ini tidak termasuk dalam sebarang akta dan dikhuatiri boleh menyelewengkan akidah.

“KDN akan berbincang lanjut mengenai perkara ini bersama semua Majlis Agama Islam Negeri kerana hal berkaitan agama di bawah bidang kuasa setiap negeri serta JAKIM dan dipersembahkan untuk diperkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu sebelum dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyertai Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri bersama Ahli Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) serta Ahli Lajnah Tashih al-Quran (LTAQ). Hadir sama, Pengerusi LPPPQ, Tan Sri Harussani Zakaria.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan akta yang dibentang dan diwartakan pada 1986 itu, adalah tidak salah untuk mempamerkan ayat al-Quran, namun ia mesti diletakkan di tempat yang sesuai, bersih dan tidak disalahgunakan.
“Kita turut mempertimbangkan dari segi menaikkan denda tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak lebih lima tahun berbanding denda RM500 dan penjara sehari yang dikenakan sebelum ini. Ini bagi disesuaikan mengikut peredaran zaman,” katanya.

Mengulas lanjut, Harussani yang juga Mufti Perak, berkata adalah satu penghinaan jika ayat al-Quran diletakkan di tempat tidak baik.

Ayat di kedai kotor

“Ada kedai makan yang letakkan ayat Seribu Dinar, sedangkan kedai itu kotor. Kalau keadaan kedai kotor, makanan tidak terjaga, itu satu penghinaan (bila meletakkan ayat al-Quran).

“Ada juga kes yang mana orang bukan Islam turut menjual ayat al-Quran. Malah, ada segelintir yang meletakkannya di atas lantai selain ayat turut diletakkan di kedai menjual arak. Ayat al-Quran bukan untuk azimat dan juga bukan untuk perhiasan tapi sebagai panduan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata dalam pertemuan sama, pihaknya turut membincangkan soal memperkukuhkan akta dan perkara yang termasuk dalam penyalahgunaan hadis bertujuan memerangi kumpulan anti- hadis, menangani hadis palsu atau rekaan serta salah tafsir dalam tafsiran makna hadis.

Sementara itu ditanya mengenai pandangan Harussani supaya mengkaji penyalahgunaan ayat al-Quran dan hadis oleh penceramah politik yang bertujuan memecah-belahkan ummah, beliau berkata, ayat al-Quran dan hadis tidak sepatutnya dijadikan modal untuk tujuan salah.

“Ayat al-Quran seharusnya digunakan untuk kebaikan, tapi bila ayat ditafsirkan untuk menyebabkan perpecahan, pergaduhan dan perkelahian, itu yang salah.

“Biarpun perkara ini belum dimasukkan dalam akta, Tan Sri (Harussani) ada memaklumkan kemungkinan suatu ketika nanti ia perlu dimasukkan dalam akta supaya al-Quran tidak digunakan untuk tujuan memecah-belahkan ummah,” katanya.

Berita Harian Nasional 2014/04/16 - 05:35:40 AM  Irwan Shafrizan Ismail
Tags: akta, al-quran, cetak, islam
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments