mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Selebriti sebagai daie

MENUNTUT ilmu adalah sesuatu yang harus bagi setiap umat Islam, tanpa mengira jantina dan umur. Ini kerana ilmu pengetahuan, sama ada ilmu duniawi atau ilmu ukhrawi merupakan kunci kejayaan seseorang di dunia dan di akhirat.

Masyarakat yang berilmu bukan hanya mempunyai akhlak serta akal yang adil serta jujur tetapi tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang negara dan hukum Islam.

Hakikatnya, terlalu banyak dalil nas al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan akan kepentingan menuntut ilmu itu.

Sejajar dengan keutamaan itu, kita mempunyai banyak pilihan saluran untuk menuntut ilmu, khususnya ilmu agama. Antara pilihan tersebut adalah menerusi penganjuran program atau kelas-kelas usrah.

Usrah bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini. Walaupun popularitinya lebih terserlah di institusi pendidikan tetapi gerakan dakwah itu turut mendapat sambutan di kalangan masyarakat awam yang lain.

Mungkin kerana gerakan dakwah itu lebih mudah dilaksanakan berbanding dengan ceramah atau kuliah agama.

Usrah bukan hanya boleh dijalankan di rumah, bahkan ia boleh dihadkan kepada ahli keluarga atau kenalan yang rapat sahaja.

Tidak hairanlah, dikatakan kumpulan usrah kini telah bercambah, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Salah satunya adalah kumpulan Usrah Fitrah iaitu satu gabungan para penggiat seni tanah air, merangkumi pelakon, penyanyi, wartawan hiburan, penggiat seni fesyen, penulis dan pemuzik yang ingin memahami dan mendalami Islam,

Antara penggiat seni yang menyertai kumpulan itu adalah Yatt Hamzah, Zoey Rahman, Heliza Helmi, Diana Amir, Salima Habibi dan Siti Nordiana.

Penaungnya, Sharudin Dawam menyifatkan penubuhan kumpulan tersebut pada penghujung 2011 itu mampu menjadi satu saluran dakwah yang penting bukan hanya untuk kalangan penggiat seni tempatan serta peminat mereka dan orang awam lain.

“Kita tidak boleh nafikan bahawa penggiat seni tetap mempunyai tarikan sebagai public figure. Ada yang minat kerana lagu, mutu nyanyian, kualiti lakonan atau kerja-kerja di belakang tabir.

“Sebab itulah, kami di Usrah Fitrah percaya, para penggiat seni itu boleh memainkan peranan dalam menarik lebih ramai peminat mereka untuk mendekati Islam," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Sri Batu Caves, Selangor, baru-baru ini.

Sejajar dengan kepentingan itu, Sharudin menegaskan bahawa adalah penting untuk memastikan terlebih dahulu para penggiat seni yang ingin memahami dan mendalami Islam itu mendapat didikan daripada kalangan tenaga pengajar yang benar-benar layak.

Usaha itu penting kerana Malaysia bukan hanya turut dibanjiri oleh pelbagai fahaman Islam selain Ahli Sunah Wal Jamah (ASWJ) tetapi ada juga segelintir pihak yang mahu menggunakan populariti penggiat seni untuk mengumpul seramai mungkin pengikut walaupun ia difatwakan sebagai sesat.

“Secara kelaziman apabila seseorang yang ingin berhijrah, dia akan ada satu perasaan teruja untuk belajar mengenai agama Islam dan sudah pasti, dalam keterujaan itu, akan ada orang yang akan mengambil kesempatan.

“Di sinilah, akan timbul cerita dia (penggiat seni) ikut aliran yang tidak betul atau menyeleweng daripada pegangan ASWJ," katanya yang turut menjadi salah seorang tenaga pengajar.

Dalam usaha memastikan penggiat seni itu menghargai dan bersyukur dengan hidayah Allah SWT itu, Usrah Fitrah bukan hanya memberi penekanan kepada kelayakan tenaga pengajar agar ia sejajar dengan fahaman ASWJ. Malah aspek kaedah penyampaian ilmu turut dititikberatkan agar ia mudah diterima, terutamanya bagi mereka yang benar-benar baru belajar mengenai Islam, sekali gus menimbulkan keseronokan seterusnya menanam semangat untuk terus mendekati Islam.

“Topik berkaitan isu-isu politik memang tidak ada dalam silibus pengajaran kami di Usrah Fitrah ini. Di sini tumpuan adalah lebih kepada asas-asas Fardu Ain. Yang mana akhirnya matlamat penekanan kami adalah kepada pendidikan jiwa dan memberi pengetahuan agama kepada ahli usrah.

“Kami juga turut menggunakan aplikasi internet seperti WhatApps, Twitter, Facebook dan lain-lain untuk membolehkan para penggiat seni bertanya tentang kemusykilan agama pada bila-bila masa sahaja," kata Sharudin.

Selain itu, Usrah Fitrah juga mahu membentuk sekumpulan penggiat seni yang bukan hanya mempunyai didikan agama yang kukuh tetapi mampu menjadikan dunia hiburan lebih positif berbanding negatif.

Usaha tersebut penting kerana hanya mereka yang layak bukan hanya untuk bercakap tentang industri itu tetapi mengubahnya menjadi lebih positif berbanding negatif.

"Hari ini banyak isu berkaitan dengan hiburan diperkatakan oleh orang ramai dan pastinya, mereka yang boleh bercakap adalah daripada golongan itu sendiri dan kita orang luar ini, orang tidak akan dengar.

“Dengan kata lain, kami mahu menjadikan mereka sebagai daei kepada masyarakat atau sekurang-kurangnya kepada peminat masing-masing tetapi mereka perlu sentiasa isikan ilmu agar yakin dengan apa yang mereka pelajari selama ini," katanya.



HASHNAN ABDULLAH Utusan Bicara Agama 20140417
Tags: daie, usrah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments