mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Pulanglah Liya

Dumm!!! Berdentum pintu bilik ditutup. Amarahnya tidak terkawal. Entah kenapa saranan ibunya itu membuatkan hatinya naik baran. Bukan ibunya tidak mengenali lelaki yang pernah diperkenalkan kepadanya. Namun ibunya tetap menolak. Kata ibu, kalau benar-benar Azmi mahu mengahwini Liya, bekerjalah dahulu.

Buktikan dahulu kemampuan menanggung Liya, bukan sebaliknya pula. Tapi bagi Liya, dia tak kisah semua itu. Gajinya dah cukup besar. Sebagai seorang pegawai bank, Liya merasakan dia mampu untuk menanggung keluarga. Tak kisahlah kalau Azmi tidak bekerja pun.

“Liya, tanggungjawab suami ialah memberi nafkah kepada isteri, anak-anak dan keluarga. Tanggungjawab suami juga memimpin isteri dan keluarga. Bukan perempuan yang perlu menanggung suami. Bertanggungjawablah sebagai seorang lelaki. Jangan terlalu mengharapkan duit isteri. Suami adalah ketua keluarga dan sepatutnya dia menjadi contoh kepada keluarganya. Kalau dia sendiri tidak bekerja, contoh apakah yang hendak dia tunjukkan kepada anak-anak nanti?" kata ibu menasihati Liya.

Liya bungkam. Baginya, ibu tidak pernah untuk memahaminya. “Ibu tak pernah halang Liya berkahwin dengannya tapi dengan syarat, Azmi perlu ada pekerjaan terlebih dahulu," tegas ibu memberikan syaratnya.

Ternyata nasihat ibu, Liya tolak ke tepi. Jalan singkat diambil. Liya keluar dari rumah tanpa pengetahuan ibunya. Kini, telah setahun Liya tidak menjenguk ibunya.

Hati ibu mana yang tidak resah, anak perempuan tunggalnya tidak lagi mahu menziarahinya. Kini, ibu tua itu tinggal bersendirian di rumah, apa lagi diri berstatus balu. Ada kala air mata menitis bila kerinduan melanda. Malah si ibu tidak pernah putus berdoa agar Liya kembali ke rumah.

Suatu hari ketika di surau seusai solat Isyak, seorang ustaz menegurnya. “Kakak nampak macam ada masalah. Sekiranya kakak memerlukan bantuan, beritahulah saya. Saya ada anak-anak tahfiz yang mungkin boleh membantu kakak untuk bersama-sama berdoa agar masalah kakak dapat diselesaikan. Sekolah tahfiz saya, nun di selekoh sana," ujar ustaz tersebut sopan.

“Tak apalah ustaz. Terima kasih atas bantuan ustaz," kata si ibu menolak kerana khuatir masalahnya akan diketahui orang. Ditakdirkan, si ibu pergi menziarahi adiknya yang hendak menunaikan umrah. Selesai majlis, adiknya bercerita. “ Zah, aku mimpi. Liya telefon aku, minta tolong doakan," kata adiknya.

Berderau darahnya. Sudah dua orang yang ditemui yang berhasrat untuk membantunya berdoa bersama-sama. Walhal, si ibu tidak menceritakan hal tersebut kepada sesiapa pun, hatta kepada adiknya sendiri! Hatinya runsing. Petunjuk apakah yang Allah hendak berikan kepadanya? Dia nekad berjumpa kaunselor dan mengadu akan halnya.

Sebak! Sukar untuk ibu meneruskan penceritaan masalah yang dihadapi. Senyap seketika. Lama dia menarik nafas untuk meneruskan kata-kata. Namun tidak berdaya. “Puan dah cuba meminta orang lain mendoakan untuk anak puan? Ada kalanya permintaan akan termakbul menerusi doa orang lain," ucap kaunselor menenangkan Azizah. Dia tersentak seketika. “Benar ustaz. Apa yang ustaz cakap tu mungkin betul," kata Azizah sambil menceritakan dua peristiwa yang dialaminya itu.


Utusan Bicara Agama 20140417
Tags: doa
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments