mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Penyelewengan dalam usrah

SYAITAN itu tidak pernah memungkiri janji atau berputus asa untuk memesongkan umat Islam ke jalan yang salah. Tekad syaitan ini seharusnya menjadikan kita lebih berhati-hati atau berwaspada. Justeru untuk mengalahkan hasutan, bisikan dan godaan syaitan ini, individu Muslim itu perlu kepada ilmu, iman dan amal.

Menyedari akan kepentingan dan keperluan sentiasa membajai diri dengan ilmu agama, menyebabkan ramai daripada kalangan kita sentiasa berusaha untuk mencari dan mendalami ilmu agama Islam, tidak kiralah melalui pelbagai medium yang ada.

Lantaran itu, kehadiran kita ke usrah juga dilihat sebagai salah satu cara untuk memelihara iman kita supaya sentiasa dalam keadaan baik dan terjaga. Meskipun, tidak dinafikan segelintir daripada umat Islam belajar ilmu agama menerusi medan media baharu.

Hingga kini, budaya usrah masih terus berkembang dan tidak sahaja dilaksanakan di surau dan masjid. Apatah lagi, dalam kesibukan umat Islam dengan pekerjaan dan perniagaan, secara tidak langsung kelas-kelas usrahlah menjadi sasaran permintaan. Ini kerana, ia lebih fleksibel dari segi masa dan tempat serta kaedah penyampaiannya yang santai serta jumlah peserta yang kecil.

Walau bagaimanapun, seperkara yang tidak dapat dielakkan ialah persoalan sejauhmanakah ilmu yang disampaikan itu adalah benar-benar mengikut landasan Islam. Apa yang dibimbangi niat murni untuk mencari ilmu agama, tetapi sayangnya tercemar dek tersalah memilih kumpulan usrah.

Ternyata situasi tersebut sudah pasti 'menganggu', sekali gus membawa imej buruk kepada sisi kebaikan dan keluhuran usrah yang sebelum ini dianggap sebagai satu saluran yang sesuai kepada sesiapa yang ingin mengenal dan mendalami agama Islam.

Bagi Pegawai Hal Ehwal Islam di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Mohd. Mustakim Mohamood@Fauzi percaya 'penyimpangan' secara halus itu sekiranya tidak ditangani dari awal, ia bukan hanya membawa kepada perpecahan tetapi memudahkan berlakunya penyelewengan akidah terhadap fahaman yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Malah konsep usrah yang melibatkan jumlah peserta yang kecil dan tertutup, apa lagi dengan keterbukaan hati peserta yang umpama kain putih untuk menerima segala ilmu yang dicurahkan, tambah memudahkan pihak-pihak yang berkepentingan tertentu untuk cuba mempengaruhi mereka dengan kononnya menggunakan nama Islam.

Berhati-hati

“Lagi pula, usrah bukanlah seperti kuliah atau ceramah yang dibuat di surau atau masjid. Ia dilakukan secara terbuka, terang-terangan dan penceramahnya juga bertauliah. Sedangkan usrah boleh dijalankan secara tertutup di mana-mana premis kedai, pejabat ataupun rumah," katanya ketika ditemui di pejabatnya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, Mohd. Mustakim menyeru umat Islam di negara ini agar lebih berhati-hati dengan topik yang dibincangkan dalam program usrah yang disertai mereka agar tidak lari daripada fahaman Ahli Sunnah Wal Jama‘ah (ASWJ).

Beliau berkata, seruan itu sejajar dengan perkembangan semasa yang memperlihatkan wujudnya gerakan yang mahu menyebarkan fahaman Wahabbi, Syiah, Liberal dan lain-lain ajaran agama yang difatwakan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Berdasarkan beberapa pemerhatian atau pemantauan kami, terdapat beberapa bentuk penyelewengan yang wujud dalam program usrah, sama ada yang bersifat perbincangan atau aktiviti di luar rumah," katanya.

Antaranya adalah pegangan pimpinan usrah itu (sama ada lelaki atau wanita) kerana golongan itu mempunyai keupayaan secara halus untuk menyebarkan pemikirannya kepada peserta usrah.

“Kalau pimpinan usrah itu berfahaman Wahabbi, Syiah atau Liberal, maka pemikiran peserta usrah terbabit dibentuk mengikut kerangka pemikiran gerakan tersebut," kata Mohd. Mustakim.

Sedangkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolong dalam membuat dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaan-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). (al-Maidah: 2)

Mentafsir al-Quran

Malah satu lagi bentuk penyelewengan yang sangat bahaya menerusi penganjuran usrah-usrah katanya, iaitu mentafsirkan ayat al-Quran atau hadis mengikut pandangan pimpinan atau ahli usrah berbanding sahabat Rasulullah SAW atau ijtihad ulama.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud yang bermaksud: “Barang siapa yang mentafsirkan al-Quran mengikut kerangka pemikirannya sendiri, maka tempahlah tempat mereka di neraka." (riwayat al-Timizi)

Mohd. Mustakim menjelaskan, pendekatan sedemikian akan menjurus kepada amalan memberi pandangan secara membabi-buta tanpa melihat kepada perkara yang ditegah oleh syarak.

“Jadi, kenapa tidak diamalkan apa yang menjadi pegangan para sahabat dan ulama tersohor Islam iaitu bila tidak tahu sesuatu perkara, mesti berani kata saya tidak tahu.

“Iman Malik pernah ditanya dengan 48 soalan dan dia hanya menjawab enam soalan sahaja. Ini menunjukkan sikap amanah dan bukannya beliau nak sembunyikan ilmu kerana menyembunyikan ilmu, khususnya fardu ain adalah haram," katanya.

Selaras dengan itu adalah perlu bagi peserta usrah untuk memastikan bahawa topik perbincangan yang perlu diutamakan adalah perkara berkaitan Fardu Ain, sebelum disusuli dengan isu kebatinan dan isu kenegaraan.

“Perkara paling asas, biarlah kenal Allah, nabi, solat, zakat dan lain-lain berkaitan Fardu Ain kerana pengetahuan sedemikian akan menjadi benteng mempertahankan diri daripada ajaran sesat yang sedang menular rancak kebelakangan ini," katanya.


Utusan Bicara Agama 20140417
Tags: usrah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments