mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Berkongsi hasil kebun sawit

SETELAH kematian ayah, saya telah diamanahkan oleh seluruh adik-beradik yang berjumlah enam orang untuk menjaga sebidang kebun sawit yang disewakan. Setiap bulan, sewa yang diterima adalah sebanyak RM8,000 dan saya mengagihkannya kepada setiap adik-beradik sebanyak RM1,000 seorang. Selebihnya, baki RM1,000 saya simpan di dalam bank atas nama wang keluarga dan RM1,000 lagi dijadikan upah kepada saya kerana menguruskan kebun berkenaan. Di dalam kebun itu, kami juga memelihara lembu secara bersama, yang mana jumlahnya dianggarkan lebih 100 ekor. Bagaimanakah caranya saya menyelesaikan masalah zakat wang sewaan dan lembu tersebut? Adakah saya perlu mengeluarkan zakat bagi pihak adik-beradik saya? Bagaimana pula dengan baki RM1,000 yang disimpan? Harap penjelasan ustaz.

Jawapan: Terima kasih di atas soalan yang telah diajukan. Sesungguhnya menjaga amanah adalah suatu tugas yang sangat berat, mudah-mudahan dengan kesungguhan saudara untuk mengetahui status zakatnya, seterusnya melaksanakan tuntutan yang ada, bakal menatijahkan kebaikan di sisi Allah SWT, amin.

Baiklah, menjawab soalan di atas maka suka dinyatakan bahawa hasil daripada kebun atau estet tersebut, ia dianggap sebagai sebahagian daripada harta pendapatan yang berasaskan sewaan. Dalam istilah fikah, ia disebut sebagai harta al-mustaghallat, iaitu tanah itu tidaklah wajib dizakatkan, tetapi hasil daripadanya sahaja yang wajib dizakatkan. Inilah pandangan yang dikeluarkan oleh para fuqaha, misalnya oleh Imam Ahmad bin Hanbal (Hanbali).

Diriwayatkan daripada Imam Ahmad bin Hanbal tentang orang yang menyewakan rumahnya dan mendapat duit sewaan secara paksa. Imam Ibnu Hanbal berkata: “Hendaklah dizakatkan ketika dia mendapat duit sewaannya itu." (rujuk Fatwa Zakat Pendapatan (Pindaan) 2010, Selangor yang dipetik dari kitab al-Mughni oleh Ibn Qudamah, Jilid 2, hal. 638)

Di dalam kenyataan saudara di atas, saudara memaklumkan bahawa wang sebanyak RM8,000 itu akan dibahagikan kepada enam adik-beradik dan baki RM1,000 daripada dijadikan simpanan, manakala RM1,000 lagi sebagai upah saudara. Maka, bagaimanakah cara menaksirkan zakatnya?

Maka, jawapannya sebelum saudara membahagikan wang itu kepada semua yang berkenaan, saudara hendaklah terlebih dahulu menzakatkan RM8,000 itu sebagai zakat pendapatan. Ini kerana, daripada sudut hukum, ia adalah harta yang bercampur-campur di antara semua pemilik yang kesemuanya mempunyai satu niat, iaitu menyerahkan urusannya kepada saudara. Dalam isu pemilikan yang bercampur ini yang disebut sebagai harta khultah, ada hadis yang menjelaskan agar ia tidak dipisah-pisahkan di antara keduanya.

Anas bin Malik r.a menyatakan: Tidak dicampurkan antara apa yang berpisah; dan tidak dipisahkan antara apa yang bercampur, kerana takutkan zakat (demi mengelakkan zakat). (riwayat Imam al-Bukhari)

Maka, sebab itu ia tidak boleh dipisahkan dan hendaklah dizakatkan sebagai ‘satu harta’. Kecualilah jika memang pemilikannya secara asal adalah terpisah; maka tidaklah perlu disatukan.

Namun, mungkin saudara terfikir bahawa jumlah RM8,000 itu masih di bawah nisab? Maka, jawapannya hendaklah saudara mendarabkan RM8,000 itu dengan 12 bulan dan hasilnya baharu dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 peratus. Ini kerana, bagi zakat pendapatan ia dikeluarkan pada tahun semasa atau semasa ia diperoleh, tanpa perlu menunggu disimpan selama setahun bagi menggenapi haulnya.

Tabungan

Dalam kondisi yang lain, mungkin juga saudara terfikir, sekiranya saudara terus mengagihkan RM6,000 kepada semua yang berhak dan menyimpan RM1,000 sebagai tabungan bersama dan mengambil RM1,000 sebagai upah, maka di sini, kewajipan menunaikan zakat pendapatan itu telah dipindahkan kepada semua yang menerima wang berkenaan.

Maka, setiap orang yang mendapatkan haknya hendaklah mencampurkan RM1,000 sebulan itu (RM12,000 setahun) dengan lain-lain pendapatan dan dikeluarkan zakatnya sesuai dengan tolakan yang diberi sebanyak 2.5 peratus. Bagi saudara sendiri, bahagian saudara sudah menjadi RM2,000 (setahun RM24,000) dan itulah jumlah yang perlu dizakatkan. Benarkah begitu?

Manakala, jumlah RM1,000 yang disimpan itu, maka pada hujung tahun nanti saudara akan mengeluarkan daripadanya zakat sebanyak 2.5 peratus sebagai harta perkongsian, sebagaimana yang telah diterangkan di atas. Namun begitu, cuba saudara fikir, seandainya jumlah simpanan itu berada di bawah paras nisab, maka bagaimanakah zakatnya? Mungkinkah akan terlepas zakatnya? Benarkah kita boleh berbuat sedemikian rupa?

Maka, sebab itulah kaedah mengeluarkannya sebagai ‘satu harta’ (khultah) adalah tepat dan benar? Ini kerana, sudah jelas ia asalnya adalah harta yang bercampur di antara semua pemiliknya, dan tidak perlu dipisahkan lagi di antaranya.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). Sebarang pertanyaan atau pandangan, sila e-melkan kepada hamizul@e-zakat.com.my dan untuk maklumat lanjut sila layari media sosial LZS di www.e-zakat.com.my, http://blog.e-zakat.com.my atau Facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS.

Utusan Bicara Agama 20140418
Tags: harta, pusaka, wasiat
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments