mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Islam tuntut sistem pemerintahan berteraskan keadilan

Islam adalah agama yang sentiasa menitikberatkan hal yang berkaitan dengan keadilan yang nyata selari dengan tuntutan kemanusiaan itu sendiri. Keadilan adalah penting dalam setiap sistem kehidupan manusia kerana ia akan menentukan kebaikan dan kesejahteraan hidup negara serta masyarakat yang mengaplikasikannya.


Secara definisinya menurut Kurshid Ahmad, keadilan adalah bersumberkan dari perkataan adil atau dalam bahasa Arabnya ‘adl yang bermaksud ‘lurus’ dan ‘tegak’, bergerak dari posisi yang salah menuju posisi yang diingini; boleh juga bererti sama, dan akhirnya juga bererti seimbang dan setimbang.


Konsep ‘adl dalam Islam memiliki asas Ilahiah, berakar dalam moraliti, dan mendapat petunjuk yang diwahyukan Allah SWT. Secara keseluruhannya terdapat tiga prinsip bagi ‘adl iaitu pertama, ‘adl adalah berhubungan dengan dan mengakui Allah SWT sebagai Pencipta.

Kedua, persamaan manusia dan kehidupan sosial, politik, dan budaya yang didasarkan kepada nilai dan prinsip moral. Nilai moral ini bukan semata-mata keharusan moral, tetapi juga adalah norma hukum dan politik.

Tiada eksploitasi

Akhir sekali, keadilan adalah satu proses yang menggerakkan proses itu dalam masyarakat – sejajar dengan nilai moral, sosial – luka dan keluhan dapat diubati, menegakkan hak, dapat menghilangkan eksploitasi, penindasan, dan kezaliman yang berlaku.

Dalam melihat kepada sistem politik yang menekankan pemerintahan Islam, keadilan akan tetap diberikan keutamaan untuk dijalankan di dalam sesebuah negara. Al-Maududi ada menegaskan bahawa negara dan pemerintahan Islam bukanlah boleh lahir secara mukjizat dengan tiba-tiba sempurnanya (meskipun Allah SWT boleh melakukannya).

Ia mestilah melalui satu usaha yang besar dan menyeluruh termasuklah proses pentarbiyahan serta pembentukan fikiran rakyat umum. Oleh kerana itu, antara matlamat utama sistem politik Islam ialah untuk bekerja menegakkan keadilan dalam kehidupan manusia dan menghancurkan segala kezaliman.

Allah SWT pernah berfirman, “Sesungguhnya Kami telah utus beberapa Rasul dengan membawa bersama mereka Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia berdiri di atas keadilan. Dan Kami turunkan (adakan) besi, untuk (mendapat) kekuatan dan manfaat bagi manusia, dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolongNya dan rasulNya sedangkan secara ghaib (dari mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa” (al-Hadid, 57:25). Pemerintah Islam mempunyai kewajipan untuk menyebarkan dan menyampaikan ajaran Islam kepada rakyatnya. Ini adalah kerana kejahilan akan menyebabkan rakyat menolak sistem Islam, walaupun Allah SWT telah menjanjikan keadilan akan tercapai dengan pelaksanaan sistem itu.

Ini yang menyebabkan beberapa kekecohan yang berlaku di negara Islam kini seperti perang saudara di Syria dan pergolakan politik Mesir dan Somalia apabila keadilan tidak lagi dapat ditegakkan sepenuhnya. Usaha menegakkan keadilan dalam masyarakat adalah sejajar dengan prinsip ‘al-‘amr bi al-ma’ruf wa al-nahyu ‘an al-mungkar’ yakni menyeru kepada amalan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Proses ini akan memastikan keadilan dapat dirasakan oleh masyarakat seluruhnya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran, “Orang-orang yang Kami tetapkan mereka di muka bumi ini adalah mereka yang mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran” (al-Hajj, 22:41).

Ikut ajaran Islam

Berdasarkan ayat itu, Imam Mawardi membuat kesimpulan bahawa kewajipan dan tanggungjawab utama pemerintah ialah memelihara agama dan mentadbir dunia dengan ajaran agama berkenaan. Mentadbir dunia dengan ajaran Islam akan menjamin prinsip keadilan ditegakkan dalam masyarakat. Ini adalah kerana kezaliman itu adalah suatu tindakan yang meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya dan ini adalah bercanggah dengan arahan Allah SWT supaya neraca keadilan itu menjadi asas sistem kemasyarakatan.

Menurut Muhamad al Mubarak, keadilan boleh dilihat dalam dua bentuk iaitu bentuk negatif dan positif. Keadilan bentuk negatif ialah mencegah kezaliman dan menghindarkannya daripada orang yang dizalimi. Ini termasuklah pencegahan daripada pencerobohan ke atas hak manusia yang berkaitan dengan diri dan harta benda mereka, dan termasuklah juga usaha mengembalikan hak mereka dan hukuman ke atas penceroboh dengan hukuman yang setimpal.

Hukuman itu terdapat dalam buku fekah yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Keadilan bentuk positif pula lebih banyak berkaitan dengan pemerintahan dan pelaksanaan ke atas hak setiap individu untuk memelihara kebebasan dan kehidupan seharian sehingga tidak terdapat seorang tua yang ditinggalkan dan orang lemah yang diabaikan dan orang fakir yang kelaparan, dan orang yang takut diancam.

Mohd Azizuddin Mohd Sani ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Berita Harian Rencana 2014/04/18 - 21:14:39 PM
Tags: adil, islam, mubarak, pemerintah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments