mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ucapan 'rest in peace' boleh jejas akidah

Haram mendoakan keampunan bagi orang kafir

Ucapan rest in peace oleh orang Islam kepada bukan Islam yang meninggal dunia mengundang perbahasan sehingga menimbulkan perselisihan disebabkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak terhadap pandangan hukum disiarkan melalui Facebook Fatwa Malaysia.


Facebook Fatwa Malaysia disediakan Bahagian Pengurusan Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertujuan memberi penjelasan kepada soalan sukar yang dikemukakan sebagai rujukan masyarakat.

Ucapan rest in peace adalah satu bentuk doa yang biasa diucapkan dalam Kristian, terutama mazhab Katolik sejak abad ke-18”

Perlu dijelaskan, Facebook Fatwa Malaysia tidak mengeluarkan fatwa dan apa yang dijelaskan oleh laman Facebook itu bukan fatwa kerana badan pengeluar fatwa di peringkat kebangsaan ialah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Facebook Fatwa Malaysia adalah medium untuk penyebaran dan berkongsi penjelasan terhadap kemusykilan isu hukum semasa yang terdapat nas syarak yang jelas disediakan Felo Fatwa, termasuk isu ucapan rest in peace.

Felo Fatwa yang dilantik akan memberi penjelasan khusus kepada hukum-hakam semasa atau kemusykilan yang secara asasnya disepakati oleh majoriti ulama untuk dijadikan panduan umat Islam tanpa perlu menunggu ia difatwakan.

Berbeza dengan isu yang tidak mempunyai nas jelas, fatwa perlu dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa atas perkara berkenaan dengan agama Islam yang dirujuk kepadanya.

Niat beri ucapan

Dalam hal memberi ucapan dan penghormatan terhadap kematian bukan Islam, sebagai umat Islam, terdapat dua perkara penting yang perlu diberi perhatian. Pertama, niat memberikan ucapan itu.

Jika ucapan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu agama yang jelas bertentangan dengan Islam, ia adalah dilarang. Jika ia diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah harus.

Kedua, latar belakang tradisi istilah yang diucapkan. Jika telah menjadi sebahagian amalan keagamaan, maka ia dilarang. Ucapan rest in peace adalah doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian, terutama mazhab Katolik sejak abad ke-18.

Ia juga biasanya diukir di batu nesan penganut Kristian. Versi penuh ucapan berasal daripada bahasa Latin itu ialah May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace.

Perlu difahami, ucapan rest in peace mempunyai implikasi dari segi akidah umat Islam jika tidak difahami secara jelas kerana apabila diucapkan, ia mengandaikan orang bukan Islam itu akan mendapat rahmat Allah SWT seperti doa asal dalam bahasa Latin.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang beriman, meminta ampun bagi orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka orang musyrik itu ahli neraka.” (Surah al-Taubah, ayat 113)

Imam an-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menjelaskan, mendoakan keampunan bagi kafir adalah haram dengan nas al-Quran dan ijmak.

Oleh itu, seorang Islam tidak digalakkan untuk mengucapkannya kepada bukan Islam.

Bagaimanapun, dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, Islam tidak pernah menghalang orang Islam melahirkan simpati terhadap keluarga bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan.

Tidak salah bagi orang Islam mengucapkan: “Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda.” Islam secara dasarnya membenarkan ucapan yang baik terhadap bukan Islam atas dasar kemanusiaan serta penghormatan hak mereka.

Ini seperti penghormatan Rasulullah SAW apabila menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan Baginda.

Hukum syarak jadikan panduan

Walaupun panduan hukum yang diberikan mengenai ucapan rest in peace ini bukan fatwa, perlu dijadikan panduan oleh umat Islam kerana ia berdasarkan nas yang jelas selaras dengan hukum syarak.

JAKIM menasihatkan semua pihak tidak mempolemikkan isu ini kerana hukum dikeluarkan sebagai panduan dan nasihat khusus kepada umat Islam supaya tidak terperangkap dalam amalan keagamaan bukan Islam yang boleh menjejaskan akidah. Ia tiada kaitan langsung dengan unsur penghinaan, menidakkan hak kehormatan atau kemanusiaan mana-mana pihak dan individu.

Othman Mustapha ialah Ketua Pengarah JAKIM merangkap Setiausaha Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (MJKF). Berita Harian AGAMA 2014/04/26 - 03:33:57 AM
Tags: doa, rip, ucapan
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Khutbah Jumaat: Maulidur Rasul SAW

    Petikan Khutbah Jumaat 22 Okt 2021M / 15 Rabi’ul Awwal 1443H: JAIS Maulidur Rasul SAW Alhamdulillah, kita rafakkan pujian dan kesyukuran ke…

  • Khutbah Jumaat Semarak Cinta Rasul

    Petikan Khutbah Jumaat 15 Oktober 2021M/ 8 Rabiulawal 1443H JAWI Semarak Cinta Rasul Bulan Rabiulawal kembali mengingatkan kita akan kelahiran…

  • Khutbah Jumaat: Vaksin Ikhtiar Terbaik

    Petikan Khutbah Jumaat 15 Okt 2021M / 08 Rabiulawwal 1443H: JAIS Vaksin Ikhtiar Terbaik Apabila kita ditimpa penyakit, jalan penyelesaian yang…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments