mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Sikap tunggu musibah punca langkah pencegahan longlai

KEMALANGAN membabitkan kenderaan awam khasnya bas ekspres mendapat liputan besar dalam media massa negara kita. Ini kerana impak daripada kemalangan yang berlaku cukup besar iaitu sama ada kematian atau kecederaan.

Baru-baru ini kita digemparkan lagi dengan kemalangan bas ekspres di kilometer 116, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berdekatan Plaza Tol Temerloh. Sebanyak 16 penumpang cedera termasuk tiga parah setelah bas terbabas lalu terbalik ke dalam longkang.

Seminggu sebelum, juga sebuah bas ekspres terlibat dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Bentong-Raub, mengorbankan tiga nyawa termasuk sepasang suami isteri.

Apabila kemalangan maut berlaku apatah lagi melibatkan kenderaan awam dan nyawa orang ramai, maka tindakan pencegahan drastik biasanya akan diambil oleh pihak-pihak berwajib berdasarkan pelbagai punca kemalangan. Sebagai contoh apabila dalam siasatan kes kemalangan mendapati pemandu bas mengambil dadah, maka tindakan pencegahan untuk menjalankan ujian air kencing di kalangan pemandu terus dibuat di perhentian bas. Ia dibuat secara komprehensif pada waktu-waktu puncak siang dan malam berdasarkan waktu perjalanan bas.

Apapun, biasanya tindakan positif ini tidak berpanjangan. Apabila isu kemalangan ini agak reda di kalangan masyarakat, maka tindakan pencegahan drastik seum­pama ini akan menjadi lemah-longlai semula. Tunggulah pula pada musim pera­yaan atau berlaku kemalangan baharu. Jadi masyarakat sentiasa tertanya-tanya motif tindakan pencegahan drastik ini dilakukan. Adakah ia hanya melepas batuk di tangga atau meredakan kegusaran masyarakat terhadap punca dan sebab kemalangan yang baru berlaku?

Tindakan pencegahan secara drastik yang dilakukan oleh pihak berkenaan adalah bersifat reaktif. Ia biasanya tindakan sebagai jawapan kepada punca kemalang­an yang berlaku. Apabila pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan didapati mengambil dadah, maka aspek pencegahan itu yang dititikberatkan sedangkan aspek dan punca kemalangan lain tidak diberi perhatian yang sama komprehensifnya dan drastiknya.

Tindakan reaktif memberi erti tindak balas yang diambil kepada masalah yang berlaku. Dalam tindakan seumpama ini, memang tidak dinafikan wujud unsur positif tetapi keberkesanannya akan wujud ruang-ruang terbolos.

Mengikut laporan akhbar, saringan air ken­cing yang dilakukan ke atas pemandu pada hari pertama ujian dilakukan mendapati semua pemandu negatif dadah. Alhamdulillah tetapi adakah itu memberi gambaran dan hakikat sebenar yang berlaku.

Kemungkinan mereka yang diperiksa mengambil kesempatan untuk mengelak saringan berkenaan dengan menukar shift kerja atau pun tidak mengambil dadah dalam tempoh tertentu dan pelbagai alasan lain yang dapat dibuat. Di samping itu, sa­ringan juga akan mengambil masa pemandu yang mempunyai rekod bersih.

Tindakan reaktif akan mengambil sikap tunggu, lihat dan apabila sesuatu musibah berlaku barulah tindakan berkaitan termasuk pencegahan diambil. Ia sedikit-sebanyak memberi kelopongan dalam usaha mengatasi musibah terma­suk kemalangan daripada berlaku.

Apa yang boleh dicadangkan ialah sebagai contoh jika pemeriksaan saringan dadah perlu dilakukan maka ia perlu dibuat secara berkala dan berterusan termasuk kaedah secara rambang di kalangan pemandu dan juga masa yang berbeza-beza.

Saringan ini bukan sahaja tertumpu kepada pemandu bas bahkan setiap mereka yang menggunakan kenderaan termasuk pemandu lori dan kenderaan berat. Ini akan memberi satu pengawasan yang berterusan daripada pihak berwajib.

Dalam Islam pun ada menganjurkan membuat kerja secara berterusan walaupun sedikit adalah mulia dan memberi kesan yang baik kepada hasil dan matlamat yang ingin dicapai. Seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a., maksudnya, "Ditanya Nabi SAW tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah SWT. Baginda bersabda: Amalan yang berterusan walaupun sedikit". (Hadis riwayat Bukhari)

Saringan dadah dan pengawasan bentuk lain dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan termasuk dalam kategori inisiatif yang bersifat proaktif.

Risiko-risiko kemalangan di kalangan pengguna jalan raya khasnya pemandu bas dan kenderaan berat lain yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai memerlukan pelan proaktif - iaitu yang melihat ke hadapan dalam sesuatu perkara dan jangkaan perkara-perkara yang akan berlaku.

Melalui inisiatif proaktif yang dibantu dengan pelan reaktif, kemalangan boleh dielakkan atau dikurangkan.

Sistem dan peraturan sedia ada untuk mengelakkan kemalangan perlu didedahkan kepada masyarakat dan pihak-pihak penguat kuasa yang turun ke lapangan. Ini menjadikan pihak-pihak berkepentingan dapat merujuk sistem yang terbaik sebagai panduan. Pihak pelaksana dan penguat kuasa akhirnya dapat memantau dan me­laksanakan sistem tanpa sebarang kompromi terhadap perkara yang boleh membahayakan nyawa.

Kod amalan keselamatan, kesihatan dan persekitaran untuk sektor pengangkutan seperti yang telah dihasilkan dengan kerjasama beberapa kementerian berkepentingan termasuk Kementerian Pengangkutan perlu dicernakan ke dalam tindakan pe­nguatkuasaan sebagai langkah pelaksanaan pelan proaktif yang boleh memberi impak positif dalam mengekang kejadian kemalangan pada masa hadapan.

Pandangan IKIM Mohamad A'sim Ismail ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Utusan Rencana 20140428
Tags: musibah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments