mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Hudud: Pas jangan kecut-perut dengan DAP, PKR

HASRAT Pas untuk melaksanakan hukum hudud melalui pembentangan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat meletakkan parti itu di persimpangan, sama ada meneruskan cita-cita tersebut yang menjadi teras perjuangan Islamnya atau akur dengan tekanan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk melupakan hasrat tersebut demi pakatan.

Sememangnya, Pas dalam dilema antara mempertahankan maruah parti yang semakin dicabar oleh sekutunya atau terus menjadi ‘hamba politik’ dalam pakatan pembangkang demi meraih kuasa. DAP sudah jelas memberi peringatan kepada Pas supaya meninggalkan pakatan tersebut jika mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan manakala PKR pula secara konsisten mahu Pas akur dengan persetujuan yang dicapai berhubung perkara berkenaan.

Dalam istilah mudahnya, jika Pas mahu terus berada dalam pakatan, lupakan hukum hudud buat selama-lamanya. Tidak usahlah Pas hendak bernostalgia apatah lagi mengungkit sumbangan parti itu kepada pakatan selama ini, semua ini tidak ada dalam perkiraan PKR dan DAP.

Bagi kedua-dua parti itu, mereka senada menolak hukum hudud dan Pas mesti patuh kepada kehendak mereka. Suara Pas seolah-olah tidak dipedulikan.

Oleh itu di manakah maruah Pas jika mahu terus berada dalam pakatan sedangkan sudah terbukti PKR dan DAP tidak pernah menghormati perjuangan Islam Pas apatah lagi menghargai pengorbanan Pas selama ini dalam memantapkan kedudukan politik pakatan?

Berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin PKR dan DAP, mereka ternyata tidak mahu mendengar apa juga hujah Pas berhubung pelaksanaan hukum hudud, waima usaha Pas untuk bermuzakarah bagi me­nerangkan perkara itu.

Sikap PKR dan DAP itu jauh lebih buruk jika mahu dibandingkan dengan UMNO yang sudah menegaskan bahawa kerajaan sama sekali tidak menolak hukum hudud tetapi mahu persediaan yang rapi dilakukan bagi mengelakkan salah faham khususnya dalam kalangan bukan Islam.

Tetapi malangnya, ada dalam kalangan pemimpin Pas masih memandang sinis kepada UMNO dengan menganggap sokongan yang diberikan oleh parti itu kepada hukum hudud sekadar usaha bagi meraih undi orang Melayu.

Namun apa yang anehnya, kenapakah pemimpin Pas yang mengeluarkan kenyataan itu tidak berkata-kata terhadap penentangan terbuka oleh orang yang dianggap ‘tidur setilam dan sebantal’ dengan mereka. Apakah keberanian sesetengah pemimpin Pas hanya dengan UMNO sahaja tetapi ‘kecut perut’ apabila berhadapan dengan PKR dan DAP?

Justeru tidak perlulah, pemimpin Pas memandang serong terhadap apa yang dilakukan oleh UMNO hatta sokongan kepada hukum hudud sekali pun. Jangan hanya tunjuk berani dengan UMNO sedangkan yang menentang keras pelaksanaan hukum hudud bukannya UMNO tetapi PKR dan DAP.

Atas sebab itulah, semua pihak memberi tumpuan sejauhmanakah keberanian Pas untuk berhadapan dengan penentangan ke­dua-dua parti tersebut. Sebagai sebuah parti yang bermaruah, Pas diharapkan tidak akan tunduk semata-mata kerana bimbang kehilangan kedudukan untuk berkongsi kuasa dengan PKR dan DAP jika pembangkang menawan Putrajaya.

Apa gunanya berkongsi kuasa, kalau Pas terpaksa menggadaikan prinsip perjuangannya? Apa gunanya bergembira kerana memperolehi kuasa, kalau Pas sekadar menjadi ‘pak turut’?

Sememangnya tiada siapa pun yang meminta Pas meninggalkan pakatan, kalau Pas berpendapat dengan cara itu sahaja mereka boleh berkuasa dengan menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya, teruskanlah kerjasama itu tetapi soalnya apakah Pas akan memperolehi keuntungan melalui perjuangan dan pengorbanannya?

Pemimpin dan ahli Pas perlu faham hukum hudud satu-satunya sisa perjuangan parti itu selepas matlamat menubuhkan negara Islam terpaksa ‘dikuburkan’ akibat penentangan keras DAP dan PKR. Oleh itu apa mungkin perjuangan menegakkan hukum hudud ini juga akan ‘dikafankan’ kerana penentangan kelompok berkenaan? Kalau itulah yang berlaku maka selepas ini mungkin perjuangan politik Pas pula menunggu masa untuk ‘ditalkinkan’ oleh sekutunya.

Semua senario ini seharusnya memberi kesedaran kepada Pas untuk tidak lagi tunduk kepada PKR dan DAP, cukup-cukuplah selama ini pemimpin kedua-dua parti itu dilihat lebih dominan dalam pakatan pembangkang, biarpun sejarah perjalanan politik Pas membuktikan pemimpin dan parti itu jauh lebih hebat daripada sekutunya.

Seperkara lagi, jika betul pakatan pembangkang begitu mendabik dada mengatakan mereka memperjuangkan demokrasi sebenar maka mereka perlu memberi peluang kepada Pas membentangkan rang undang-undang ber­­­­­kaitan hukum hudud seperti mana UMNO memberi ruang kepada Pas membuat persediaan.

Janganlah soal demokrasi ini hanya terpakai apabila melibatkan kepentingan PKR dan DAP sahaja tetapi apabila Pas mahu mempraktikkan amalan demokrasi itu, mereka berhujah pula soal Perlembagaan Persekutuan.

Sepatutnya, Pas diberi peluang berbuat demikian kerana setakat ini belum ada kerangka yang jelas apa yang terkandung dalam rang undang-undang tersebut, berilah ruang kepada Pas untuk menjelaskannya sebelum ia dibawa ke Dewan Rakyat. Janganlah melayan Pas bagaikan ‘parti yang tidak bermaruah’!

Namun begitu tumpuan kini diberikan pemimpin dan ahli Pas yang diharapkan istiqamah dalam perjuangan mereka untuk menegakkan hukum hudud. Jika benar mereka pejuang Islam dan mahu menegakkan syariat Allah di bumi Malaysia ini. Inilah masanya untuk Pas membuktikan Islam bukanlah alat politik apatah lagi kuda tung­gangan kepada mereka bagi meraih kuasa.

Jika kali ini Pas tunduk kepada kehendak DAP dan PKR dengan memberi 1001 alasan kenapa rang undang-undang berkaitan pelaksanaan hukum hudud tidak dapat dilakukan, maka terbuktilah Pas adalah parti yang paling tidak bermaruah dan tidak berprinsip dalam arena politik tanah air.

Sudah tentulah Pas tidak mahu keadaan itu berlaku, justeru mereka perlu bertegas dengan sekutunya. Pas perlu faham, sejarah politik negara sudah membuktikan parti itu mampu berjuang sendirian tanpa sokongan parti lain.

Dan berdasarkan rentetan perjalanan kerjasama dengan PKR dan DAP, kedua-dua parti itu lebih memerlukan Pas dan bukan sebaliknya.

Berikutan itu Pas tidak boleh membiarkan parti itu terus diperbodohkan dengan mengerah pemimpin dan ahlinya menyokong agenda politik PKR dan DAP termasuklah perhimpunan pada 1 Mei ini tetapi apabila Pas memerlukan sokongan mereka bagi melaksanakan agenda parti itu, ia ditolak mentah-mentah seolah-olah Pas hanya layak dilayan bagaikan ‘lembu dicucuk hidungnya’. ulkiflee Bakar Utusan Rencana 20140428

Tags: dap, hudud, pas, pkr, politik
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments