mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Kekangan prestasi wakaf

ERA globalisasi yang membentuk dunia pada hari ini telah mewujudkan cabaran kepada umat Islam di negara ini. Di bawah naungan sistem kapitalis, globalisasi telah berusaha menembusi banyak negara di dunia dengan tujuan untuk penguasaan ekonomi dan meminggirkan penduduk tempatan.

Umat Islam di negara ini tidak terkecuali daripada bahana pembangunan global tersebut. Salah satu alat pertahanan yang berkesan dalam mempertahankan hak dalam ekonomi global adalah harta wakaf, sama ada dalam bentuk tunai mahupun aset.

Namun kata Profesor di Fakulti Perniagaan dan Akauntan, Universiti Malaya, Prof. Dr. Mohd. Nazari Ismail, sektor wakaf di Malaysia kini dalam keadaan yang amat menyedihkan, sedangkan hakikatnya instrumen ini mampu menjadi penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi negara.

“Kurangnya kesedaran Islam dan peningkatan sikap materialistik dalam kalangan umat Islam di Malaysia yang berpunca daripada pengaruh penjajahan kolonial Barat sebelum ini adalah antara penyumbang kepada kegagalan ini," jelasnya pada seminar Promosi Wakaf Sebagai Alat Utama Dalam Dasar Ekonomi Negara.

Mohd. Nazari membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk, Application of Waqf in Economic Development Policy: An Analysis of Malaysia di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), baru-baru ini.

Mohd. Nazari turut menjelaskan bahawa hasil daripada peranan utama sistem perbankan dan kewangan sejak beberapa dekad sebagai pembekal utama kredit yang diperlukan untuk membiayai proses pembangunan telah menjadi halangan kepada pembangunan sektor wakaf di negara ini iaitu wujudnya budaya berhutang.

Ini kerana secara hakikatnya, pertumbuhan sektor wakaf dalam mana-mana masyarakat sangat bergantung kepada kedudukan kewangan ahli dalam masyarakat tersebut.

Apabila umat Islam yang mempunyai kadar hutang yang tinggi, maka mereka lebih digalakkan untuk menyelesaikan terlebih dahulu bebanan hutang sedia ada sebelum boleh menyumbang wang atau harta lain demi untuk kegunaan lain, termasuklah wakaf.

“Trend pertumbuhan hutang di Malaysia sangat teruk. Hutang isi rumah di Malaysia telah meningkat daripada RM465.2 bilion pada 2008 kepada RM754.6 bilion pada 2012 yang kebanyakannya dalam pembelian hartanah, kenderaan dan pinjaman peribadi," katanya.

Pertumbuhan sektor perbankan dan peningkatan jumlah hutang dalam kalangan isi rumah adalah tanda-tanda yang bakal menjadikan umat Islam lebih bersikap materialistik.

“Nilai-nilai yang berorientasikan materialistik itu tidak kondusif untuk pertumbuhan amalan seperti sedekah jariah atau wakaf. Lantas. tidak hairanlah pembangunan sektor wakaf di negara ini begitu menyedihkan berbanding dengan sektor lain," katanya.

Dalam kertas kerja yang sama, Mohd Nazari turut melihat faktor penjajahan kuasa Barat ke atas Tanah Melayu suatu waktu dahulu turut membantut pembangunan harta wakaf di negara ini.

Ulasnya, strategi kuasa penjajah ketika mula menjajah Tanah Melayu adalah menjadikan sistem politik, undang-undang, sosial dan ekonomi masyarakat berteraskan falsafah dan pendekatan sekularisme serta idea Barat.

Ternyata falsafah itu diteruskan apabila Malaysia mencapai kemerdekaannya. Walaupun ada perubahan atau pindaan yang dilakukan terhadap falsafah itu namun objektifnya tetap sama iaitu untuk meningkatkan pendapatan negara supaya negara mencapai pendapatan tinggi dan berstatus negara maju.

“Pendekatan asas adalah dengan mengekalkan sistem pasaran bebas dan berpandukan falsafah kapitalisme pasaran bebas, liberal dan pembangunan rohani tidak pernah menjadi penekanan utama.

“Oleh itu semangat pengorbanan diri yang menjadi nadi penting dalam pembangunan institusi wakaf tidak menjadi sebahagian daripada proses pembangunan," katanya.



HASHNAN ABDULLAH Utusan/Bicara_Agama/20140429
Tags: wakaf
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments