mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Waspada kisah Israiliyyat

ANTARA perkara yang dilalui oleh nabi-nabi dan rasul-rasul a.s ialah mereka menempuh ujian daripada Allah SWT walaupun mereka adalah rasul pilihan Allah dan kekasih Allah SWT. Seorang sahabat Nabi r.a pernah bertanya kepada Rasulullah SAW dalam satu hadis riwayat Tirmizi, “Aku bertanya, Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling kuat diuji?. Jawab baginda, "Para nabi, kemudian yang semisal mereka dan kemudian yang semisalnya."

Nabi Ayub a.s antara rasul yang tidak terlepas daripada ujian, baginda diuji pada tubuh badan, harta dan keluarga. Nabi Ayub telah melaluinya dengan penuh kesabaran sehingga keadaannya menjadi sepertimana yang digambarkan oleh al-Quran.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; dia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya dia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya). (Saad: 44)

Bala dan ujian adalah perkara yang sekali-kali tidak boleh dinafikan berlaku kepada para nabi, cuma menjadi kewajipan ke atas setiap Muslim ialah memahami kisah ujian nabi ini hanya apa yang diceritakan oleh al-Quran dan tidak boleh berlebih-lebihan dalam penceritaan, sebagaimana penambahan yang dibuat oleh golongan zindiq ahli kitab, di mana mereka menisbahkan kisah yang tidak sepatutnya berlaku kepada para nabi.

Apa yang sepatutnya kita yakini ialah Nabi Ayub a.s telah diuji oleh Allah SWT tetapi ujian itu bukanlah sampai ke tahap yang diceritakan oleh pendusta-pendusta. Mereka bercerita baginda telah ditimpa penyakit kulit dan badannya menanah serta baginda telah diasingkan di tempat ibadah orang Yahudi. Malah ditokok tambah dengan mengatakan bahawa di tubuh Nabi Ayub a.s juga adanya ulat hidup membiak, bahkan binatang pun tidak menghiraukannya.

Manusia mulia

Perlu difahami bahawa Nabi Ayub a.s adalah manusia mulia di sisi Allah SWT dan dia bukan seperti digambarkan iaitu dicampak ke tempat pembuangan sampah dan ditimpa penyakit yang menyebabkan masyarakat lari daripadanya.

Apakah gunanya baginda dilantik menjadi rasul yang melaksanakan tabligh sekiranya keadaanya sedemikian rupa. Sudah pasti Allah SWT tidak mengizinkan keadaan yang demikian berlaku kepada rasul-rasul-Nya.

Sesungguhnya para nabi diutuskan daripada kalangan orang yang terbaik dalam kalangan kaumnya. Apa yang lebih pelik lagi, dalam situasi sebegitu di manakah keluarganya yang melindunginya dan memberinya makan? Malahan tuduhan dan rekaan cerita tersebut sehingga ke peringkat isteri baginda terpaksa menjadi orang suruhan, malah telah menjual rambutnya untuk mendapatkan sesuap makanan untuk Nabi Ayub a.s.

Malah di mana pengikut-pengikut baginda dan orang-orang beriman? Adakah mereka menjauhkan diri daripadanya dan membiarkan Nabi Ayub melalui penderitaan seorang diri, sedangkan iman tidak membenarkan keadaan itu berlaku.

Sebenarnya kisah seperti ini sangat goyah dan lemah, ia tidak boleh diterima oleh akal yang waras. Bahkan tidak ada dalil naqli yang menyokongnya.

Penyakit yang menimpa Nabi Ayub a.s adalah satu penyakit yang tidak menyebabkan orang ramai bertempiaran lari daripadanya. Ia adalah satu penyakit yang kesannya tidak nampak pada kulit seperti reumatisme, penyakit tulang, sendi dan sebagainya.

Mata air

Ia dibuktikan di mana Allah SWT memerintahkan Nabi Ayub a.s supaya menghentakkan kakinya ke bumi, lalu terbit mata air panas dan dia terus mandi menggunakan air itu. Kemudian dia menghentakkan sekali lagi lalu keluar mata air yang nyaman lalu baginda meminumnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu (setelah dia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin). (Saad: 42)

Seorang sarjana Al-Azhar, Dr. Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah menyebut bahawa semua kisah tentang Nabi Ayub a.s termasuk dalam kisah Israiliyyat Bani Israel dan rekaan mereka terhadap para nabi. Orang-orang Yahudi, di samping mempunyai kitab Taurat yang berbentuk tulisan, mereka juga mempunyai Talmud iaitu taurat yang berbentuk lisan.

Talmud ialah kumpulan kaedah, pesanan, syariat agama, akhlak, penjelasan-penjelasan dan tafsiran serta ajaran yang riwayatnya dipindahkan dan dipelajari menerusi lisan dari satu ketika ke satu ketika yang lain. Oleh kerana takut lupa, lantaran masa yang berlalu, maka sebahagian mereka yang bertugas sebagai penulis telah menulisnya supaya kandungannya tidak lenyap begitu sahaja.

Khurafat-khurafat, dongengan-dongengan, cerita-cerita batil yang mereka ada-adakan itu dipindahkan daripada satu generasi ke satu generasi. Ini merupakan punca asli bagi Israiliyyat yang banyak terdapat dalam kitab-kitab tafsir dan buku-buku sejarah.

Utusan/Bicara_Agama/20140429
Tags: israiliyyat, khurafat, nabi, rasul, tahmud
Subscribe

  • Hidup berpasangan beri ketenangan

    MAKHLUK Allah SWT diciptakan berpasang-pasangan seperti firman-Nya yang bermaksud: "Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan semuanya…

  • Nusyuz undang kemurkaan ALLAH

    Nusyuz undang kemurkaan ALLAH FIRMAN ALLAH SWT: "Wanita-wanita yang kamu khuatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah…

  • Khutbah Jumaat: Sempurnakan agamamu

    Petikan Khutbah Jumaat: 31 Mac 2017 JAKIM Sempurnakan agamamu Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap telah memberi penekanan pentingnya…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments